Ad

Saturday 24 December 2016

Tahap kedua Penerbitan Akhbar di Tanah Melayu 1901-1925

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

      Menurut Noriah Dermawan, pada tahap kedua perkembangan akhbar Melayu (1901-1925) diterbitkan lagi “…11 buah akhbar”[1] Akhbar pertama yang diterbitkan  dalam jangkamasa ini ialah Jambangan Warta.[2] Antara akhbar terpenting pada tahap ini ialah “Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1907. [3] Manakala pengarangnya “Mohd. Eunos Abdullah muncul sebagai Bapa Persuratkhabaran Melayu.”[4] Beliau terkenal sebagai Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu dari tahun 1907 hingga 1909 dan  Lembaga Melayu dari tahun 1914 hingga 1931.

      Utusan  Melayu  tidak  bersifat  radikal  tetapi  cuma  menyiar  berita tempatan dan Tanah Melayu  serta  berita  Perang  Dunia  Pertama. Lembaga  Melayu  pula merupakan akhbar harian termaju sebelum pecah Perang Dunia Kedua. Melalui kedua-dua akhbar ini Eunos berjuang untuk kebajikan dan peluang lebih luas diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu.[5] Pada 9 Februari 1932, dia menerbitkan akhbar harian Perkhabaran Dunia tetapi  ia terbit selama enam minggu sahaja.[6]

            Seterusnya pada awal abad ke 20, gerakan Kaum Muda pimpinan Syed Sheikh Al-Hadi telah  menerbitkan   akhbar    Neraca,[7]   Idaran  Zaman[8]  dan Saudara[9] untuk menyebarkan pendapat Kaum Muda. Neraca   beredar  di  kalangan  golongan  terpelajar  dari kaum terpelajar di Negeri-Negeri Selat, guru agama dan orang-orang alim di Semenanjung Tanah Melayu.[10] Sebaliknya Kaum Tua menerbitkan akhbar   Lidah Benar [11] dan   Suara  Benar[12].Suara Benar banyak menyentuh soal-soal sosial, ekonomi, agama dan politik.[13] Kedua-kedua buah akhbar ini telah menentang gerakan pembaruan  Kaum  Muda  dan  menuduh  mereka tidak beramal ibadat. Akibatnya akhbar Kaum Muda diharamkan oleh kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Persaingan fahaman Kaum Muda dan Kaum Tua juga berlaku di  Kelantan sebuah negeri yang bercorak keagamaan.

            Menurut W.R. Roff, pada tahun 1920-an bidang  kewartawanan  Melayu mula masuk ke zaman baru apabila akhbar-akbar Melayu di Tanah Melayu mula  membahaskan hal yang berkaitan dengan orang-orang Melayu. Contohnya membahaskan  kedudukan  sosio-ekonomi Melayu yang mundur berbanding bangsa asing, kedudukan bahasa Melayu dan melaporkan kegiatan kelab dan persatuan. Antara akhbar yang membahaskan isu ini ialah Lidah Teruna,[14] Perjumpaan Melayu,[15] dan Pengasuh.

      Lidah Teruna dan Perjumpaan Melayu menjadi  alat  untuk  membincangkan  masalah  kemajuan Melayu dan menyebarkan ilmu pengetahuan  kepada  pembaca.  Pengasuh  pula  membincangkan soal agama,  mendaulatkan bahasa Melayu, menyiarkan perkembangan persatuan dan kelab di Tanah Melayu, isu-isu pelajaran  tinggi  dan politik  semasa di Tanah Melayu. 

            Seterusnya Idaran zaman[16] dan Saudara[17] turut memperjuangkan corak baru perjuangan Kaum Muda. Saudara  sebuah  akhbar  yang  berpengaruh  di Malaya kini lebih mementingkan kemajuan  politik, dan  sosial  orang-orang  Melayu  daripada  ketelitian  pertelingkahan agama antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Sebagai akhbar yang berpengaruh di Tanah Melayu Saudara telah mengasaskan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya  (PASPAM).[18] PASPAM ialah sebuah pertubuhan pertama yang bersifat kebangsaan kerana mempunyai ahli dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuk juga dari Brunei. Manakala akhbar-akhbar yang kurang penting kerana jangka hayat yang pendek ialah, “…Taman Pengetahuan, Bintang Sembilan, Perjumpaan Melayu dan Nun.[19]




              [1]Noriah Dermawan, Sejarah Akgbar-Akhbar Melayu Di Perak 1893-1940-an ,hlm.14.
             [2]Akhbar ini diterbitkan setiap minggu  pada hari Khamis, di bawah pimpinan Abdul Ghani Muhammad Kassim. Akhbar ini pendek umurnya dan lenyap pada tahun 1901 juga.
              [3] ibid., hlm.322.
[4]ibid. , hlm.  19.


[5]ibid. , hlm.  27.

              [6] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998, hlm.1555.
[7]Neraca diterbitkan di Singapura oleh Hj.  Abbas Tahan 1911-1915.

[8]Idaran Zaman diterbitkan di Pulau Pinang 1925-1930.

[9]Saudara diterbitkan di Pulau Pinang 1925-1930.

[10]W. R.  Roff,  Nasionalisma Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1975, hlm.  20.

[11]Lidah  Benar diterbitkan di Kelang Selangor September 1929-1935.

[12]Suara Benar diterbitkan di Melaka pada September 1932, Febuari 1933.

              [13]Khoo Kay Kim, “Melaka Dalam Zaman Moden,” dlm. JEBAT, Bil. 9 1979/80, hlm.32.
[14]Lidah Teruna diterbitkan oleh Persekutuan Orang Islam Muar, Johor pada  tahun 1920.

[15]Perjumpaan Melayu, diterbitkan di Bandar Maharani Muar 1925.

[16]Idaran Zaman  diterbitkan  di  Pulau  Pinang  antara tahun 1925-1930 dan Mohd.  Yunus Abdul Hamid menjadi Pengarang pertama.

[17]Saudara diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi di Pulau Pinang antara tahun1928-1941.

[18]Tujuan penubuhan PASPAM ialah bagi memperbaiki kebajikan orang-orang Melayu.  PASPAM dipimpin oleh Syed  Alwi, S. M  Zainalabidin, Sheikh  Abdullah  Al-Maghribi  dan  Hamidon  Mohd.   Hasyim.  Selepas persidangan pertama pada 11 November 1934 di Taiping bilangan ahli PASPAM meningkat kepada 12000 orang.
              [19]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an, hlm.19. 

No comments:

Post a Comment