Ad

Wednesday, 14 December 2016

Stadium Batu Kawan siap lebih awal


 

ARKIB : 21/01/2000
Stadium Batu Kawan siap lebih awal
DR. Koh Tsu Koon (tengah) dan beberapa pemimpin kanan kerajaan melawat Stadium Batu Kawan di Seberang Perai, semalam. Stadium itu akan digunakan pada Sukma 2000.

STADIUM Batu Kawan di Seberang Perai Selatan akan siap sepenuhnya kira-kira dua setengah bulan lebih awal dari tarikh bermulanya temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2000 iaitu pada 25 Mei depan.

Stadium tersebut yang bernilai RM104 juta itu dan mampu menampung 40,000 orang penonton, adalah stadium terbaru dan termoden bagi kawasan utara Semenanjung.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, walaupun termoden dengan peralatan canggih untuk kemudahan pelbagai acara sukan, kos pembinaannya boleh dianggap murah.

''Saya berpuas hati dengan kemajuan pembinaan stadium itu yang berkonsepkan stadium terbuka kerana pembinaan strukturnya telah 100 peratus siap.

''Stadium ini sebenarnya telah 90 peratus siap dari segi keseluruhan seni bina dan 85 peratus siap dari segi kerja landskap,'' katanya kepada pemberita di Nibong Tebal semalam.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukma 2000, bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Hilmi Yahaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perasmian dan Penutup acara itu, telah menghabiskan lebih dua jam untuk mendengar taklimat kemajuan dan tinjauan pembinaan stadium itu.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Penerangan dan Perpaduan Negeri, Jahara Hamid; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Koay Kar Huah serta para pegawai kanan kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Dr. Koh berkata, keseluruhan Stadium Batu Kawan dijangka siap pada bulan Mac ini dan dalam masa lebih dua bulan ini sebelum bermulanya Sukma 2000, pelbagai kekurangan dalam kompleks stadium ini boleh dibaiki.

''Dengan itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam projek ini, kerana bertungkus lumus untuk memastikan stadium ini siap mengikut jadual dan boleh digunakan tepat pada masanya.

''Oleh itu juga, kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Koay untuk membincang dan membuat persiapan rapi mengenai perabot dan peralatan yang diperlukan dalam stadium ini.

''Pihak stadium juga akan menyediakan peralatan canggih untuk memudahkan pihak media cetak dan elektronik membuat liputan.

''Kerajaan negeri sememangnya mengambil berat mengenai kemajuan sukan di negeri ini dan sebagai tuan rumah Sukma 2000, kerajaan akan pastikan ia dilangsungkan dengan cemerlang,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mulai sekarang, setiap dua minggu, dua Exco kerajaan negeri yang terbabit, Jahara dan Koay akan membuat lawatan dan selepas April nanti, mereka akan membuat lawatan setiap minggu.

Mereka tambahnya, akan membuat laporan kemajuan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri.

Dr. Koh berkata, mulai bulan depan, satu pasukan kerajaan negeri yang terdiri daripada beberapa Exco kerajaan negeri termasuk Dr. Hilmi dan Jahara akan membuat lawatan ke seluruh negeri untuk membuat promosi mengenai Sukma 2000.

''Mereka akan mengunjungi Menteri-menteri Besar dan pihak-pihak yang terbabit dengan sukan, untuk membuat jemputan rasmi ke negeri ini dan menyertai temasya sukan itu nanti,'' katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM12 juta untuk menyediakan pelbagai aspek persediaan Sukma 2000 termasuk promosi, persediaan para atlet negeri dan subsidi kepada persatuan-persatuan sukan.

Di samping temasya Sukma nanti, tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengadakan Pesta Pulau Pinang Khas.

Oleh itu, kerajaan negeri, meminta rakyat negeri ini memberikan sokongan dan kerjasama untuk turut bersama menyaksikan acara sukan terulang negara dan pertama di alaf baru di negeri ini, pada akhir Mei depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SszGDzAY © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment