Ad

Tuesday 20 December 2016

Pengarang Pengasuh-Muhammad Yusuf Kenali.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
      Muhammad Yusof Kenali (1879-1933), ulama dan tokoh pendidik Kelantan. Beliau dilahirkan di Kenali, Kubang Kerian, Kelantan. Tok Kenali juga dikenali sebagai Haji Awang Kenali. Nama sebenarnya ialah Muhammad Yusuf bin Ahmad. Beliau mendapat pendidikan awal di Kota Bharu, berguru dengan ulamak terkenal seperti Tuan Tabal, Haji Abbas, Haji Ismail Khadi, Haji Abdullah Pasir Pekan, Haji Awang @ Muhammad Zain Atas Banggol, Haji Nik Abdullah, Haji Nik Wan Daud dan Haji Pak Chik Musa.

      Pada akhir tahun 1887, beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah. Beliau berguru dengan Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Al-Fatani, Sheikh Muhammad Hasbullah, Sayyid Bakri Syata dan Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Al-Minangkabau. Sewaktu di Mekah, bakatnya sebagai orang alim terserlah.

      Pada pertengahan tahun 1904, beliau mengiringi gurunya Sheikh Wan Ahmad berkunjung sambil belajar ke Mesir, Syria dan tempat-tempat lain di Timur Tengah. Pada awal tahun 1909 beliau pulang ke tanah air lalu membuka sekolah pondok di Kampung Paya kemudian mengajar di Masjid Besar Kota Bharu sebelum berpindah Kampung Belukar mengajar tatabahasa Arab, tafsir al-Quran, tauhid, feqah, tasauf, ilmu kerohanian dan perubatan.

      Pondok di Kampung Paya dan Belukar ini terletak di Mukim Kenali, lalu kedua-duanya disebut sebagai Pondok Kenali.Tok Kenali juga bergiat cerga dalam bidang pentadbiran dan kemasyarakatan.

      Beliau mempelopori penubuhan Majlis Ugama Islam dan Istiadat  Melayu Kelantan 1915 serta menjadi anggota Jemaah Ulamak Majlis 1918, pengasas dan Pengarang Kehormat Pengasuh 1918, pendiri Al-Jamiyyah Al-Asriyyah di Kota Bharu 1924, Penolong Mufti 1929, menterjemah sebahagian daripada Tafsir Al-Khazin dan kitab Al-Umm 1929/1930, Ketua Pelajaran Agama di Masjid Muhammadi dan di Madrasah Al Muhammadiah Januari 1931-1930.

      Tulisannya banyak tersiar di dalam Pengasuh dan Al-Hidayah. Sumbangan Tok Kenali ialah melahirkan angkatan ulamak dan pendakwah kenamaan dan mempunyai keahlian dalam pelbagai bidang pengajian di serata pelosok Asia Tenggara pada pertengahan abad ke 20. Antaranya ialah Haji Abdullah Tahir Bunut Payung, haji Ali Salahuddin Pulau Pisang, Sheikh Uthman Jalaluddin Seberang Perai, Sheikh Anjon Asahan, Sumatera Timur, Haji Yaakob Legor Thailand, Datok Haji Ahmad Maher Al-Azhari, Haji Idris Al-Marbawi, Datok Haji Ismail Yusuf, Mufti Kelantan, Datok Haji Abdul Rahim Yunus Mufti kerajaan Johor, Haji Hasab Abu Bakar Mufti Kerajaan Melaka dan Datok Haji Hassan Yunus Menteri Besar Johor.

      Tok Kenali meninggal dunia pada 9 November 1933 ketika berusia 65 tahun dan dikebumikan di Kubang Kerian, Kelantan. Sebagai memperingati jasanya, Tok Kenali mendapat pengormatan daripada Universiti Kebangsaan  Malaysia sebagai tokoh ulamak silam 1977/1978.

       Karya-karya Tok Kenali yang dimuatkan di dalam Pengasuh.

Pensejarahan sosial.
  1. Muhammad Yusof Kenali, “ Kemanusiaan”, Pengasuh, Bil.1, 11 Julai 1918, hlm.2.
  2. Muhammad Yusof Kenali, “Kesempurnaan Manusia Dan Bahagiannya,”Pengasuh, Bil.2, 21 Julai 1918, hlm.5-6.
  3. ___________,“Keinsanan”,Pengasuh, Bil.1, 11 Julai 1918, hlm.3.
  4. Muhammad Yusuf Kenali, “Menjernih Kekeruhan,”Pengasuh, Bil.3, 8 Ogos 1918, hlm.2-3.
  5. ___________. “Kesukaan dan Kedukaan”, Pengasuh, Bil.16, 15 Februari 1918, hlm. 6.
  6. _________, Bil.8, 20 Oktober 1918, hlm.1.
  7. _________. “Menuntut Kemuliaan dan Kemenangan”, Pengasuh, Bil.8, 20 Oktober 1918, hlm.3.
  8. Muhammad Yusuf Al-Kelantani, “Madrasah Muhammadiah Al-Kelantani”, Pengasuh, Bil.1, , 11 Julai 1918, hlm.6-7.
Pensejarahan politik.
  1. “Soal-Jawab”, Pengasuh,Bil.4, 22 Ogos 1918, hlm.3.
  2. Muhammad Yusuf Kenali, “Seruan”,Pengasuh, Bil.5, 7 September 1918, hlm.2-3.
  3. Pengasuh, “Nasihat,”Pengasuh,Bil.5, 7 September 1918,hlm.1-2.
  4. ________. “Dan Pengharapan Yang Besar”,  Pengasuh, Bil.6, 21 September 1918, hlm.6-7.

Pensejarahan Ekonomi.
  1. Muhammad Yusuf Kenali, “Seruan”, Pengasuh, Bil.5, 7 September 1918, hlm.3.
  2. Muhammad Yusuf Kenali, “Soal dan Jawab,”Pengasuh, Bil.9, 5 November 1918, hlm.1.


No comments:

Post a Comment