Ad

Sunday 25 December 2016

Kalimuthu rindu saat bersama Tunku

 
KENANGAN Kalimuthu bergambar bersama kereta rasmi Tunku Abdul Rahman (gambar kecil).

SEPERTI biasa, R. Kalimuthu bangun lebih awal berbanding penghuni-penghuni lain di sekitar Residensi yang terletak di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur. Ketika itu jalan tersebut dikenali sebagai Jalan Brockman.

Sebagai salah seorang pemandu peribadi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ketika itu Ketua Menteri Tanah Melayu, sudah menjadi rutinnya menghantar anak-anak Tunku ke sekolah atau membeli pelbagai barangan basah di pasar berhampiran.

Bagaimanapun, pada 30 Ogos 1957, Kalimuthu mempunyai tugas yang lebih berat dan mencabar berbanding rutin sebelumnya.

Dia diarahkan bertugas untuk membawa Tunku menghadiri upacara pengistiharan kemerdekaan negara yang bakal diadakan di Padang Kelab Selangor menjelang tengah malam.

“Tidak hairanlah, hari itu saya begitu bersemangat bekerja. Pagi-pagi lagi saya sudah bangun membasuh kenderaan rasmi Tunku dan memastikan ia berada di dalam keadaan baik," kata anak kelahiran Kampung Paya Rumput, Melaka itu.

Sekitar pukul 11 malam, 30 unit ahli Perikatan bermotosikal dan pasukan polis pengiring telah tiba di Residensi. Kehadiran mereka adalah untuk mengiringi kenderaan Tunku sehingga ke Padang Kelab Selangor.

Kalimuthu yang kini menumpang di rumah salah seorang anaknya di Jinjang Selatan, Kuala Lumpur berkata, Tunku yang segak berbaju Melayu pada malam itu kelihatan begitu ceria sepanjang perjalanan.

Katanya, biarpun laluan di sekitar ibu negara ketika itu agak sesak dengan kehadiran orang ramai dan pelbagai jenis kenderaan, namun konvoi yang dinaiki tetap berjalan lancar.

Perasaan sebak

“Sebaik tiba, saya terkejut melihat ribuan rakyat jelata telah memenuhi sekitar Padang Kelab Selangor dan Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Kesemua mereka bersorak. Sebaik melihat kenderaan dan kelibat Tunku, laungan Merdeka tiba-tiba bergema di sekitarnya,” ceritanya.

Selepas menurunkan Tunku yang disambut beberapa pemimpin masyarakat, dia mula meletakkan kenderaan di kawasan yang dikhaskan untuk tetamu-tetamu kehormat yang telah tiba lebih awal.

Biarpun sekadar melihat dari jauh, Kalimuthu tetap berbangga kerana menjadi salah seorang individu penting dalam sejarah negara pada malam itu.

“Sebaik melihat bendera Union Jack diturunkan, perasaan saya tiba-tiba menjadi sebak.

“Siapa sangka, Tanah Melayu akhirnya mencapai kemerdekaan yang diidam-idamkan setiap rakyat jelatanya,” ujarnya yang kini uzur akibat sakit tua.

Keesokannya, 31 Ogos 1957, sekali lagi dia diarahkan untuk membawa Tunku ke Stadium Merdeka.

Pagi itu, Tunku kelihatan segak dengan pakaian khas yang sering dipakai oleh pembesar-pembesar Melayu dan kerabat diraja Kedah.

Katanya, stadium yang baru siap itu bergema dengan laungan kemerdekaan sebaik Tunku selesai membaca watikah kemerdekaannya di atas pentas.

“Saya juga tidak melepaskan peluang menjerit laungan Merdeka bersama-sama Tunku pada pagi itu,” jelasnya.

Kalimuthu mula mengenali Tunku ketika bertugas sebagai penghantar surat di Persatuan Bola Sepak Selangor.

Ketika itu Tunku bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya.

“Tunku menawarkan saya bekerja sebagai pemandu sambilan. Hanya selepas tahun 1957, barulah saya bekerja secara rasmi dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan,” jelasnya.

Dikurniakan 14 cahaya mata, 27 cucu dan 11 cicit hasil perkahwinan daripada dua orang isteri, Suppamah (meninggal dunia) dan S. Thenam, Kalimutuhu berkata, dia berkhidmat sebagai pemandu Tunku selama lebih 40 tahun sebelum bersara pada tahun 1990.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia begitu menghormati Tunku yang disifatkan seorang negarawan yang ulung dan tiada tolak bandingnya.

“Rutin hariannya begitu sibuk dengan pelbagai urusan dan mesyuarat di seluruh negara. Bagaimanapun, dia tetap mempunyai masa untuk bersama keluarga atau bermain golf yang menjadi sukan kegemarannya,” katanya.

Menyifatkan Tunku sebagai seorang majikan yang berdedikasi dan sentiasa menjaga kebajikan para pekerja, Kalimuthu berkata, dia sentiasa merindui kenangan bersama Tunku suatu ketika dahulu.

“Saya antara insan bertuah yang dapat berdamping dengan Tunku sepanjang usianya. Semua kenangan itu akan sentiasa terpahat dalam memori saya,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4TrjZCf2b Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment