Ad

Thursday, 1 December 2016

Karya agung dan kebanggaan kita

ARKIB : 22/04/1999
KETIKA ini antara yang menjadi kebanggaan ialah Litar Formula 1 di Sepang yang bertaraf dunia. Litar yang menelan belanja RM286 juta itu menjadi mercu tanda penting pembangunan sukan negara dan langkah awal mengindustrikan sukan untuk alaf akan datang.

Sebelum ini kita berbangga memiliki tiang bendera tertinggi di dunia yang terpacak di Dataran Merdeka. Selain itu kita berbangga menghasilkan kek terpanjang dan melahirkan juara makan sate (tentunya bertaraf dunia).

Tetapi berapa orang pula yang merasa bangga kerana dalam masa yang singkat Yayasan Karyawan berjaya menghasilkan tiga karya agung: Sulalat Al Salatin, Hikayat Hang Tuah (versi mutakhir) dan Tuhfat al-Nafis?

Sebenarnya ini adalah langkah awal mencungkil kembali sekian banyak karya agung Nusantara yang ditenggelamkan oleh sistem sosial, modenisasi dan pengaruh-pengaruh luar terhadap pemikiran rakyat.

Suatu ketika sebelum lahirnya Yayasan Karyawan, bentuk karya seperti ini sudah semacam hilang relevannya dalam jadual negara menuju modenisasi.

Kerana itu selain kita berbangga memiliki sekian banyak bangunan tercanggih, pencapaian dari aspek intelektual sekali gus mempamerkan jati diri juga wajar menjadi kebanggaan. Kalau Nusantara, khususnya Melayu, mahu bangun sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia, karya-karya agung ini antara kayu ukurnya.

Tetapi seperti biasa, sastera, kesusasteraan dan dunia kesenimanan di negara ini semacam tidak relevan dengan agenda utama. Kita masih tidak percaya karya-karya yang mengalirkan sudut pandangan intelektual bangsa boleh menjadi jambatan untuk ke persada dunia.

Siapa peduli dengan karya-karya klasik agung ini kalau tanpa Yayasan Karyawan yang menyelongkar sekian banyak khazanah yang kita sendiri timbuskan ke dalam lumpur. Pada tanggapan sesetengah daripada kita, apa yang karya agung boleh lakukan untuk memajukan negara?

Lalu tidak hairanlah kalau sebelum lahirnya Yayasan Karyawan, karya-karya klasik ini terbiar. Tetapi pada masa yang sama kita mengenali Shakespeare menerusi Hamlet, Othello atau Macbeth. Sebenarnya karya-karya agung ini bukan sahaja menjulang nama Shakespeare tetapi tamadun Inggeris.

Semua bangsa bertamadun di dunia memiliki karya agung mereka. Karya agung ini umpama wajah, pemikiran, prinsip malah maruah sesuatu bangsa. Rusia misalnya pasti berbangga dengan War and Peace karya Leo Tolstoy sementara Perancis pula dengan karya agung bangsanya, Robespiere Equality.

Karya-karya agung Ernest Hemingway pula seperti Old Man and the Sea dan Farewell to Arms menjulang tamadun Amerika. Tetapi kerana sikap dan keutamaan kita yang jarang kepada hal-hal begini, karya besar lagi klasik terbiar sehinggalah Yayasan Karyawan diwujudkan.

Misalnya kita secara jujur lebih berbangga bercakap tentang sebuah panggung yang termoden daripada memikirkan bagaimana mahu menghasilkan karya terbaik. Tambah jelas lagi negara mahu menghasilkan filem box office daripada filem yang ada sedikit cerdiknya.

Apa lagi yang tidak ada di negara ini? Bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau tiang bendera tertinggi di dunia? Semuanya kita miliki kecuali ada sedikit kelewatan mengemukakan karya-karya klasik dalam keghairahan yang sama seperti menunggu tegaknya bangunan tertinggi di dunia.

Mungkinkah kerana objek-objek seperti bangunan dan tiang bendera ini senang dilihat dan dibuktikan dengan mata, atau sememangnya kita tidak memberi keutamaan kepada hal-hal yang tidak berupa objek seperti ini?

Kewujudan Yayasan Karyawan dianggap menyelamatkan sekian banyak karya-karya klasik yang boleh dijadikan cermin bangsa. Malah mencungkil kembali karya-karya agung Nusantara adalah sebahagian daripada landasan gelombang kebangkitan Asia.

Yayasan Karyawan adalah projek patriotik yang bertolak daripada kesedaran mahu meletakkan diri di antara lebih 200 karya agung bertaraf dunia. Peranan Yayasan Karyawan tentunya besar. Selain menjalankan penyelidikan, yayasan yang diterajui oleh Datuk Hassan Ahmad ini juga bertanggungjawab mencari karya agung Melayu yang berada di luar negara.

Hikayat Hang Tuah misalnya, yang mengandungi 146,000 perkataan yang dilahirkan semula oleh Yayasan Karyawan menonjolkan jati diri bangsa. Lebih daripada itu watak Hang Tuah sendiri mewakili cita-cita besar bangsa terhadap zamannya selain membawa kita melihat kembali jatuh bangun Melaka.

Kita terlupa kepada Hang Tuah. Dan suatu ketika dulu banyak yang bercakap tentang watak Brutus dalam naskhah teater Julius Caesar. Malangnya kebanyakan mereka bukanlah pejuang sastera tetapi pejuang politik kerana Brutus ada relevan dengan politik.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4ReZEPRiz © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment