Ad

Saturday, 17 December 2016

Buru import baharu

 
LIRIDON (kanan) kekal perkasa Helang Merah.
Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas mengekalkan khidmat Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva, Kedah kini memburu dua import untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Bang Seung Hwan, Thiago Augusto dan Shane Smeltz.

Jurulatih Tan Cheng Hoe berkata, keutamaan akan diberi untuk mengisi posisi pertahanan tengah dan penyerang bagi melengkapkan kuota pemain import di samping membawa masuk beberapa pemain tempatan.


“Kedah mengambil keputusan tidak menyambung kontrak Seung Hwan. Oleh itu, kami perlu mencari pemain import baharu untuk mengemudi benteng terutama di bahagian pertahanan tengah.

“Posisi ini sangat penting kerana kami perlu mencari pemain yang benar-benar berkaliber. Seung Hwan menjalankan tugasnya dengan baik selama dua musim bersama Kedah dan saya berharap dapat mencari pengganti lebih bagus,” ujar Cheng Hoe.

Sebelum ini, Cheng Hoe agak risau memikirkan bahagian pertahanan kiri susulan kecederaan serius Ariff Farhan Mohd Isa serta penghijrahan Azmeer Yusof ke Kuala Lumpur.

Namun, kehadiran Fitri Omar dari Pulau Pinang membuatkan beliau bernafas lega.

Di samping itu, kenyataan pemain pertahanan kanan, Rizal Ghazali akan kekal bersama pasukan turut menggembirakan Cheng Hoe.

Oleh itu, selain fokus kepada usaha mencari pengganti Seung Hwan, beliau kini hanya perlu memikirkan soal penyerang import.

“Dengan pulihnya Sandro daripada kecederaan dan kini kembali ke dalam pasukan, kami hanya memerlukan seorang lagi import sebagai penyerang utama.

“Kami perlu mencari penyerang baharu kerana Thiago dipinjam dari FELDA United manakala kontrak Shane hanya selama enam bulan. Kami tidak bercadang mengekalkan mereka.

“Setakat ini kami sudah mengenal pasti calon sesuai untuk posisi pertahanan tengah dan penyerang utama. Saya berharap kami akan dapat menandatangani mereka dalam masa terdekat supaya persiapan rapi dapat dijalankan.

“Saya juga sudah mengukuhkan bahagian tengah dengan kehadiran Akram Mahinan dari JDT II. Mungkin ada seorang dua lagi pemain tempatan menyertai kami bagi mengisi kekosongan Sabree Mat Abu, Amar Rohidan dan Shafizan Hashim,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:19 AM

No comments:

Post a Comment