ARKIB : 19/04/1999
LANGKAWI 18 April - 'Segala
Puji bagi Allah' dan 'Tahniah Malaysia', itulah reaksi Azhar Mansor yang hari
ini mencipta sejarah sebagai pelayar solo pertama negara melepasi Tanjung Horn
pada pukul 2.45 petang waktu Malaysia.
Dengan membuktikan semangat 'Malaysia
Boleh', Azhar berjaya mengelilingi tanjung yang cukup digeruni itu bersama
kapalnya, Jalur Gemilang (JG) yang 'sarat' dengan kerosakan sejak enam hari
lalu.
''Tidak ramai pelayar yang
pernah mengelilingi Tanjung Horn dengan tiang kapalnya patah, namun kita
berjaya melakukannya,'' ujar Azhar dalam e-melnya ke Pangkalan Darat JG petang
ini.
Selain tiang utama patah,
kerosakan berlaku pada radar, kompas, alat pemanas serta antena radio VHF dan
SSB.
Azhar mengemudi JG mengelilingi
tanjung tersebut menerusi Laluan Drake, kira-kira 24 batu nautika dari daratan,
dibantu dengan cuaca yang baik.
Biarpun angin bertiup cuma lima
hingga 10 knot, JG tetap meluncur agak deras pada purata enam knot dengan
sekadar bergantung pada layar sementara (jury-rig) yang diikat pada tunggul
tiang utama.
''Saya terasa seperti muncul
kembali ke alam nyata, selepas sebulan setengah melayari perairan selatan dunia
sejak meninggalkan Tanjung Leeuwin, Australia dulu,'' katanya.
Mengimbas kembali pelbagai
dugaan yang dihadapinya, Azhar berkata, Lautan Selatan adalah satu mimpi ngeri
dengan ribut yang cukup dahsyat manakala permukaan laut bergelombang besar.
''Ia merosakkan kapal, memberi
banyak tekanan kepada krew (beliau). Saya dan JG terselamat,'' kata pelayar
berusia 41 tahun itu.
Insiden paling buruk berlaku
pada hari ke-69 pelayarannya apabila tiang JG patah selepas diasak gelombang
besar.
Tambah beliau, sekarang ialah
masa untuk memikirkan haluan ke utara mengarahkan ke timur untuk ke Kepulauan
Falklands bagi urusan membaik-pulih JG.
Menurutnya, itulah langkah yang
praktikal dan wajar untuk peringkat ini.
Sementara itu, pasangan petugas
pangkalan darat JG, Noel Belman dan isterinya, Sandy, dalam kenyataan bersama
mereka hari ini yakin tidak ramai pelayar yang berpeluang menceritakan
pengalaman yang sama seperti yang di Alami oleh Azhar.
Mereka menyanjung tinggi Azhar
atas semangat tidak mudah mengaku kalah biarpun puas diasak gelombang besar,
angin sehingga 65 knot (120 kilometer sejam), ribut hujan batu dan cuaca sejuk.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4RbL82U5Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment