Ad

Monday, 5 December 2016

'Tembok besar' Dominic

 
DOMINIC (kanan) tekad kekang serangan Filipina.
 Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Dominic Tan bersedia memastikan benteng Skuad Projek Sukan SEA 2017 tidak dibolosi lawan pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) Filipina di Manila, Khamis ini.

Dominic yang sering menjadi pilihan utama pengendali Frank Bernhardt setiap kali aksi membabitkan skuad projek itu, mengakui bersedia mencurahkan segala pengalaman dan ilmu yang diraih ketika bersama Johor DT untuk memperkukuhkan benteng pasukan negara.

“Untuk perlawanan seterusnya iaitu berdepan Filipina, saya rasa kami berada pada situasi cukup baik walaupun baharu saja dikumpulkan semula pada Khamis lalu.

“Namun disebabkan kami sudah lama beraksi bersama setiap kali adanya panggilan latihan pusat, saya rasa pasukan sudah bersedia untuk menghadapi aksi persahabatan itu.

“Saya sendiri akan menggunakan pengalaman yang ada di Johor DT untuk beraksi baik di bahagian pertahanan nanti. Apa yang penting, kami perlu raih kemenangan di sana,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Sementara itu, bagi penyerang muda skuad projek Muhammad Safawi Rashid, selepas digugurkan daripada skuad Harimau Malaysia bagi menghadapi Piala Suzuki AFF sebelum ini, dia bertekad untuk mencuri perhatian Bernhardt sekali gus mahu memastikan tempatnya terjamin dalam pasukan.

“Rezeki datangnya daripada Allah, saya telah berikan yang terbaik tetapi tiada rezeki untuk dipanggil ke AFF. Tetapi Alhamdulillah saya dipanggil menyertai skuad ini, jadi saya akan buktikan saya layak kekal,” kata Safawi.

Pasukan negara dijadualkan berlepas ke Manila pada Selasa depan bagi mengharungi satu aksi persahabatan antarabangsa bertemu skuad B-22 Filipina dua hari kemudian. Ia sebagai aksi gantian selepas FAM membatalkan pertemuan menentang pasukan B-22 Myanmar pada saat akhir.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:19 AM

No comments:

Post a Comment