Ad

Sunday 25 December 2016

Perang Pasifik bermula di KB

 
SEPASANG mata seorang askar pertahanan pantai British mengesan sesuatu yang aneh di ufuk Pantai Kuala Pak Amat, Kota Bharu (KB) 15 minit sebelum tengah malam. Dia dan beberapa anggota tentera daripada Rejimen Dogra ke-17 sedang berkawal di kawasan pantai itu ketika tiga bayang-bayang besar muncul dari kejauhan.

Bayang-bayang besar itu datang daripada tiga kapal pengangkut Jepun, Awagisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura Maru yang sedang menurunkan sauh kira-kira tiga kilometer dari kawasan pantai.

Kapal-kapal itu membawa 5,200 anggota tentera Jepun dari Detasmen Takumi yang diketuai oleh Mejar Jeneral Hiroshi Takumi. Gerombolan tentera Jepun itu turun ke kapal-kapal pendarat ketika laut sedang bergelora. Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan tentera Jepun yang mahu menawan Tanah Melayu dan Singapura.

Beberapa minit selepas itu, kapal-kapal perang negara Matahari Terbit itu melepaskan tembakan ke arah pantai menandakan merebaknya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

Kira-kira 25 minit selepas tengah malam, kumpulan hadapan Jepun mendarat di Pantai Kuala Pak Amat yang terletak antara Pantai Badang dan Pantai Sabak. Berlaku pertempuran sengit antara tentera Jepun dengan anggota Rejimen Dogra ke-17 di bawah pimpinan Leftenan Kolonel George Preston.

Tentera Jepun yang mendarat di kawasan pantai dibedil hebat oleh pasukan meriam British.

“Kubu-kubu kecil musuh yang dibina dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka,” demikian gambaran pertempuran itu yang ditulis oleh Kolonel Masanobu Tsuji dalam bukunya Rikusenshi-Shu.

70 minit lebih awal



Ads by Kiosked

LAKONAN semula pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu bertujuan untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan sejarah tanah air.

Dengan bantuan kereta kebal, tentera Jepun berjaya menawan Kota Bharu pada pukul 2 petang keesokannya, manakala hanya sebuah pesawat skuadron pengebom Blenheim terselamat dalam serangan udara Jepun di Butterworth, Pulau Pinang.

Pada 31 Januari, British melengkapkan pengunduran ke Singapura sekali gus menandakan kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun.

Kini, 75 tahun telah berlalu sejak peristiwa yang menandakan era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kru Jurnal berkesempatan mengikuti program Sambutan ke-75 Pendaratan Tentera Jepun di Pulau Kundor, Kelantan baru-baru ini yang dianjurkan oleh Kelab Peminat Sejarah Militer (KPSM) dengan kerjasama Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan dan Malaya Historical Group (MHG).

Program itu diadakan bagi menyuntik kesedaran kepada orang ramai mengenai peristiwa pendaratan Jepun di Kota Bharu tanggal 8 Disember 1941 itu sebenarnya lebih besar daripada yang disangkakan dari sudut sejarah.

Ketika penduduk dunia merasakan pengeboman Pearl Harbor menjadi detik permulaan Perang Dunia Kedua di Pasifik (Perang Pasifik), namun fakta itu ternyata salah kerana 70 minit sebelum peristiwa itu, tentera Jepun sudah pun mendarat di pesisiran pantai Kota Bharu, Kelantan.

Mungkin kerana pengaruh filem Hollywood Pearl Harbor arahan Michael Bay, ramai yang merasakan Perang Dunia Kedua di Pasifik (Perang Pasifik) bermula selepas Jepun mengebom pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Pearl Harbor. Ditambah pula dengan kisah-kisah dan rekod mengenai Perang Dunia Kedua banyak ditulis oleh orang Barat.

“Ramai antara rakyat Malaysia masih belum menyedari fakta bahawa pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu terjadi sebelum pesawat pertama Jepun muncul di pulau milik AS itu sekali gus menjadi detik rasmi bermulanya Perang Pasifik.

“Menurut rekod, konvoi kapal Jepun itu dilihat pada pukul 11.45 malam, 7 Disember dan tembakan meriam bermula pada pukul 12.30 pagi 8 Disember di Kota Bharu, sedangkan serangan ke atas Pearl Harbor bermula pada kira-kira pukul 1.20 pagi waktu Kota Bharu, bersamaan 7.55 pagi pada 7 Disember di Hawaii, AS.

“Walaupun terdapat beberapa catatan waktu yang berbeza daripada beberapa sumber, tetapi semua rekod itu menunjukkan serangan ke atas Kota Bharu bermula 50 hingga 70 minit lebih awal daripada serangan ke atas Pearl Harbor,” ujar Presiden KPSM, Rafely Rahmat.

Katanya, Jepun bertindak untuk menguasai Tanah Melayu kerana negara itu kekurangan sumber asli untuk meluaskan empayarnya.

Anjakan paradigma


TENTERA Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan sejam lebih awal daripada serangan Pearl Harbor.

“Tanah Melayu merupakan tempat yang strategik untuk penguasaan sumber kerana ketika itu ia merupakan pengeluar utama dua komoditi penting dunia iaitu getah dan bijih timah.

“Pada awal tahun 1940, Tanah Melayu mengeluarkan kira-kira 35 peratus getah dunia dan lebih 50 peratus timah dunia,” tambah Rafely.

Walaupun era penjajahan Jepun dipenuhi dengan air mata dan darah, peristiwa itu juga menjadi pemangkin kepada anjakan paradigma orang Melayu yang ketika itu merasakan mereka tidak boleh melangsungkan hidup tanpa kehadiran British.

Pengkaji sejarah Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan, Zafrani Arifin berkata, orang Melayu mula membuka mata terhadap sikap British yang hanya mengutamakan kepentingan sendiri.

“Pertahanan British yang tumpas dalam masa singkat melemahkan pengaruh British dan selepas Jepun tewas, semangat nasionalisme dalam diri bangsa Melayu mulai tertanam.

“Mereka sedar bahawa mereka mesti mengawal negara sendiri dan menggunakan hasil sumber negara untuk memakmurkan negara sendiri.

“Pendaratan Jepun itu secara tidak langsung mempercepatkan kemerdekaan negara serta negara-negara Asia yang lain,” tambahnya.

Jepun menyerah kalah secara rasmi di Tanah Melayu pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri tentera Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4TrmSw300 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment