11 Disember 2016 12:11 AM
Khairul Fahmi
KUALA LUMPUR 10 Dis. – Walaupun status penyertaan Kelantan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan masih tidak menentu, namun penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan, dia tetap setia bersama The Red Warriors.
Khairul Fahmi, 27, berkata, kontraknya bersama Kelantan hanya akan tamat pada hujung 2017, namun dia enggan menekan butang panik biarpun menyedari majikannya mempunyai masalah kewangan yang kritikal.
“Saya tetap setia bersama Kelantan, lagi pun kontrak saya masih berbaki setahun,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditanya apakah dia sudah mula mencari pasukan baharu gara-gara kedudukan Kelantan yang bergelut ketika ini, Khairul Fahmi berkata, dia tidak mahu memikirkan tentang masalah kewangan The Red Warriors.
Katanya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya tidak boleh jawab mengenai perkara itu. Pihak pengurusan akan menjawab hal itu. Saya minta maaf,” katanya lagi.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Khamis depan mungkin menjadi detik hitam buat bola sepak Kelantan sekiranya Kafa masih gagal menyelesaikan masalah kewangan yang amat kritikal.
Tarikh itu merupakan hari penting bagi Kafa yang mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan hala tuju mereka sebelum Liga M 2017 dibuka Januari ini.
Perkara tersebut disahkan Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail selepas mengakui, pihaknya mengalami masalah kewangan yang amat serius sehingga kantung persatuan kosong untuk membiayai pasukan musim depan.
Malah, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang tajaan dan paling mengecewakan apabila Kerajaan Pas Kelantan tidak memberi apa-apa bantuan kepada persatuan tersebut.
Badan induk bola sepak Kelantan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal bersaing secara kompetitif, namun persatuan masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan Presiden, awal bulan lalu.
Sebelum ini, pengurusan Kafa menawarkan kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk mengambil alih teraju kepemimpinan bagaimanapun ditolak Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/apek-setia-bersama-kelantan-1.418567#sthash.0N5RT35V.dpuf
No comments:
Post a Comment