Ad

Friday 31 January 2014

Chin Aun terima ucapan awal Tahun Baharu Cina dari Choon Wah

KUALA LUMPUR - Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini akan dikenang sebagai detik menyedihkan buat keluarga Wong Choon Wah apabila legenda bola sepak negara itu meninggal dunia awal pagi semalam akibat serangan jantung.

Peminat bola sepak tanah air sudah pasti berasa sedih dengan pemergian pemain tengah berwibawa itu pada usia 67 tahun kerana mendiang sentiasa diingati sebagai antara tonggak skuad Sukan Olimpik 1972 Munich.

Menurut rakan seangkatan dengan mendiang, Datuk Soh Chin Aun, beliau amat terkejut kerana menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sambutan Tahun Baharu Cina terlalu awal dari rakan sepasukannya itu.

"Selepas itu saya dapat tahu daripada isterinya bahawa beliau telah meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Sri Petaling dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul tiga pagi tadi (semalam)," katanya.

Jelas Chin Aun, Choon Wah bukan saja sempat menghantar mesej kepada dirinya malah kepada rakan-rakannya yang lain, sekali gus menimbulkan kehairanan kenapa ia dihantar terlalu awal.

Selain dikenali sebagai pemain yang beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan Sukan Olimpik 1972, Choong Wah juga antara kelompok awal pemain negara yang beraksi di luar negara apabila bersama kelab Liga Hong Kong, South China dari 1972 hingga 1974.

Antara pemain yang beraksi bersama Choon Wah di Olimpik 72 selain Chin Aun ialah Namat Abdullah, Ali Bakar, Mohamed Bakar, Wong Kam Fook dan Othman Abdullah, di bawah kendalian jurulatih, Jalil Che Din.

Pada perlawanan pertama menentang Jerman Barat yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3, Choon Wah berada dalam kesebelasan utama, pada aksi kedua dia membantu skuad negara menewaskan Amerika Syarikat 3-0.

Hasrat untuk melihat Malaysia mara ke pusingan seterusnya tidak kesampaian apabila Choon Wah dan rakan-rakan dibelasah 6-0 oleh Maghribi dalam perlawanan terakhir Kumpulan A.

Choon Wah juga merupakan bekas tonggak Selangor yang membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada era 70-an dan 80-an.

Sikap tenang dan kebolehan beliau dalam mengemudi jentera tengah pasukan kebangsaan menjadi sebutan dan pujian jurulatih dan peminat bola sepak tempatan ma

Mendiang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kwang Tong, Sungai Besi, 8 malam ini.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140201/su_03/Chin-Aun-terima-ucapan-awal-Tahun-Baharu-Cina-dari-Choon-Wah#ixzz2s2ZbIdxA © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kehilangan seorang legenda berpengaruh

 
MENDIANG Choon Wah (tiga dari kiri barisan tengah) ketika bersama skuad bola sepak negara pada era 70an MALAYSIA kehilangan seorang lagi legenda berpengaruh dalam arena bola sepak

Suasana pilu menyelubungi sambutan Tahun Baru Cina buat keluarga mendiang semalam, rakan-rakan dan para peminat bola sepak tanah air dengan pemergian bekas pemain tengah tersohor negara itu pada usia 67 tahun.

Rakan sepasukannya, Datuk Soh Chin Aun berkata, mendiang mengalami serangan jantung di kediamannya di Sri Petaling dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

"Saya mendapat tahu Wong Choon Wah meninggal dunia daripada isteri mendiang. Beliau memberitahu, Choon Wah diserang sakit jantung dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi tadi (pagi semalam).

"Saya memang terkejut, sebab Wong (Choon Wah) sempat menghantar SMS kepada saya dan rakan-rakan lain iaitu mesej Selamat Menyambut Tahun Baru Cina, tetapi saya hairan juga sebab SMS yang dihantar terlalu awal semalam," katanya ketika dihubungi semalam.

KOSMO ONLINE 1.2.14

PM sedih pemergian lagenda bola sepak

JAMILAH HAMZAH
31 Januari 2014
PM sedih pemergian lagenda bola sepak
SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut menyatakan kesedihan di atas kehilangan sebutir lagi permata negara, Wong Choon Wah.

Najib melalui Twitternya berkata, Choon Wah merupakan salah seorang pemain bola sepak hebat yang dimiliki negara.

"Choon Wah bermain pada Sukan Olimpik tahun 1972, di Munich," tulisnya.

Choon Wah yang meninggal dunia awal pagi ini akibat serangan jantung.
  
Suasana pilu menyelubungi sambutan Tahun Baharu Cina hari ini buat keluarga, rakan-rakan dan para peminat bola sepak tanah air dengan pemergian bekas pemain tengah tersohor negara itu pada usia 66 tahun.
  
Rakan sepasukannya, Datuk Soh Chin Aun berkata, mendiang mengalami serangan jantung di kediamannya di Sri Petaling di sini dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
  
"Saya mendapat tahu Wong Choon Wah meninggal dunia daripada isteri mendiang, beliau memberitahu Choon Wah diserang sakit jantung dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi tadi.
  

"Saya memang terkejut, sebab Choon Wah sempat menghantar SMS kepada saya dan rakan-rakan lain iaitu mesej Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, tetapi saya hairan juga sebab SMS yang dihantar terlalu awal semalam," katanya.

Sayap kelawar di cuping telinga

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD DESA
isyafiq.desa@kosmo.com.my
 
 SEMPIT dan gelap sambil sesekali kedengaran kibasan sayap sang kelawar di cuping telinga menambah keresahan hati.

Tambahan pula sumber cahaya hanya bergantung kepada sinaran matahari yang sesekali menerobos dari celahan dinding gua yang berusia ribuan tahun ini.

Pergerakan juga terbatas kerana pengunjung terpaksa berbaring di atas pelampung sejauh 200 meter semasa menempuh laluan sungai yang terdapat di dalam Gua Merapoh.

Mujur topi keselamatan yang dipakai lengkap dengan lampu hadapan dan berjaya melegakan tekanan apatah lagi selepas menyaksikan keindahan permukaan batu gua berkenaan yang berkilau bagaikan bintang di langit.

Demikian gejolak adrenalin yang akan dilalui peserta yang melakukan aktiviti cave tubing selama 30 minit di Gua Merapoh.

Seorang pengunjung, Akira Baharuddin, 21, berkata tekanan yang dirasai sepanjang 30 minit menyusuri gua berkenaan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Bagaimanapun katanya, saat tiba di lokasi yang dituju dan menyaksikan sendiri keunikan garis-garis pada dinding gua yang diselang-seli dengan batu bergemerlapan dapat mengubat seketika perasaan gemuruh sepanjang menyusuri air di gua itu.

“Kami diberikan latihan ringkas untuk membiasakan suhu tubuh dengan keadaan air gua. Air di gua ini juga kelihatan seperti bertakung dan tidak berarus.

“Selepas beberapa minit bermain dengan air, bermulalah perjalanan kami menyusuri air dengan melalui setiap ruang di dalam gua,” ceritanya ketika ditemui Kosmo!.

Akira menambah, cabaran utama cave tubing terletak pada ketahanan psikologi berbanding cabaran fizikal.
KEUNIKAN lapisan permukaan dinding yang terbentuk secara semula jadi di Gua Tahi Bintang menarik perhatian pengunjung.
 
Diapit

“Tubuh kita bagaikan diapit di antara dinding gua dan permukaan air. Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya menjerit. Tetapi jika anda berbaring dan kendurkan otot perasaan itu hilang serta-merta.

“Apatah lagi ketika anda membuka mata dan menyalakan lampu hadapan di topi keselamatan, anda pasti terpukau dengan ukiran dinding gua yang cantik,” jelasnya.

Aktiviti cave tubing sangat sesuai bagi mereka yang ingin melihat keunikan dinding gua dengan cara yang berbeza dan mencabar.

Dalam satu masa hanya lima orang dibenarkan mengikuti aktiviti itu. Alatan yang diperlukan adalah pelampung dan jaket keselamatan.

Namun, pengunjung perlu bersedia untuk basah sepanjang aktiviti itu dilakukan.

Bagi pengunjung yang tidak gemarkan aktiviti air, terdapat juga pilihan meneroka keindahan gua melalui ekspedisi berjalan kaki.

Antara gua yang sering menjadi pilihan dan buah mulut masyarakat tempatan ialah Gua 1001 Cerita yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi cave tubing.

Mengapa ia memegang gelaran Gua 1001 Cerita sering menjadi tanda tanya dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini.

Permukaan batu dan tanah yang sedikit lembap serta licin menyukarkan lagi pergerakan peserta. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, ukhuwah jelas terjalin dalam kalangan peserta sepanjang usaha menawan Gua 1001 Cerita.

Selepas berhempas-pulas hampir setengah jam melalui kawasan hutan renek yang basah dan ‘berperang’ dengan pacat serta lintah, permukaan dinding gua yang dipenuhi lakaran purba menyambut kedatangan pengunjung.

Ketika tiba di pintu masuk gua berkenaan, Gua 1001 Cerita tiada bezanya berbanding gua-gua yang lain. Seperti lazimnya, air menitik ke atas lantai bergema di dalam gua.
 
CORAK permukaan lantai dan dinding Gua Tahi Bintang terhasil daripada hakisan air sejak 400 tahun lalu.

Tetapi keunikan dan tarikan gua berkenaan terletak pada lakaran purba di dinding gua yang dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Kepelbagaian lakaran dan karakter pada permukaan dinding gua sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan pengunjung mengapa gua itu menerima jolokan Gua 1001 Cerita.

Ketika majoriti pengunjung leka merakamkan gambar dan foto lakaran di dinding gua, seorang pengunjung khusyuk menyentuh dan meraba setiap lakaran yang ada.

Jelas riak pada wajahnya mengekspresikan pelbagai persoalan, kadangkala mengerutkan dahi, kemudian termenung jauh sebelum duduk dan memangku dagu.

Tara Yean, 24, memberitahu, dia seakan-akan tergamam saat menyaksikan lakaran pada dinding gua tersebut.

Katanya, jika benar ia dilukis oleh orang asli kuno seperti yang didakwa masyarakat tempatan di sini, ia penemuan yang sangat berharga dan perlu dipelihara.

Muzium

“Inilah pertama kali dalam hidup saya menyaksikan lakaran yang berusia hampir seabad dengan mata saya sendiri. Malah, saya boleh sentuh dan membeleknya sepuas-puasnya.

“Pada kebiasaannya lakaran purba seperti ini hanya wujud atau dilukis semula dalam bentuk arkib di muzium. Perasaan sangat berbeza apabila berpeluang menyaksikan lukisan purba ini secara langsung,” katanya.

Ujarnya lagi, dia turut tergamam apabila menyaksikan setiap lukisan itu mempunyai gambaran masa hadapan seperti usaha untuk menerbangkan manusia.

“Mungkin kita mempunyai satu perasaan kononnya kitalah generasi yang penuh dengan idea dan impian yang menggunung tinggi.

“Tetapi lakaran di sini menjadi bukti bahawa manusia sebelum kita terlebih dahulu memikirkan pelbagai kaedah termasuk menerbangkan manusia,” katanya sambil membelek lakaran seperti manusia diikatkan pada sebuah layang-layang besar.

Selain Gua 1001 Cerita, Gua Tahi Bintang turut mempunyai keunikannya kerana dinding gua tersebut dipenuhi dengan ukiran semula jadi hasil hakisan air.

Ia digelar Gua Tahi Bintang kerana hakisan dan ukiran pada gua terbentuk bagaikan tahi bintang yang sedang jatuh.
 
PESERTA harus meredah kawasan hutan sebelum melangkah masuk ke Gua Merapoh.

Gua Tahi Bintang juga adalah gua yang paling mudah untuk dilawati dan menyimpan pelbagai fosil yang juga melambangkan usia gua berkenaan.

Walaupun gua tersebut paling mudah untuk dilawati, setiap batu gua yang memerlukan tempoh 10 juta tahun membentuk satu lapisan boleh mati sekiranya disentuh.

Gua berkenaan yang berusia hampir 400 juta tahun dipercayai pernah ditenggelami laut berdasarkan beberapa fosil cengkerang dan batu karang yang tertanam di dalam dindingnya.

Peserta ekspedisi, Yuslinda Fozi, 31, berkata, gua-gua yang terdapat di Merapoh perlu dipertahankan.

‘Kita terlalu mudah untuk tidak menghargai kelebihan alam semula jadi yang berada di sekeliling kita berbanding di negara luar. Apabila ia semakin pupus dan mula terancam baru kita hendak ambil tindakan.

“Pada saya sekiranya langkah lewat diambil untuk memulihara gua ini, tiada gunanya ia dipertahankan lagi,” katanya.

KOSMO ONLINE 30.1.14

Harimau puma masuk rumah

 
Seorang anggota Perkhidmatan Pertanian dan Ternakan Chile merakamkan gambar puma itu.

SANTIAGO, Chile - Seorang pemilik rumah terkejut apabila mendapati seekor harimau puma berada di dapur rumahnya di sini kelmarin.

Dia kemudian menghubungi pihak berkuasa tentang kehadiran haiwan tersebut.

Anggota-anggota Perkhidmatan Pertanian dan Ternakan Chile kemudian datang ke rumah pemilik itu dan melepaskan tembakan ubat pelali.

Haiwan itu kemudian dihantar ke sebuah zoo.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat bagaimana haiwan itu boleh memasuki rumah tersebut. - Agensi
 KOSMO ONLINE 31.1.14

Lembu pakai kaki palsu

KBTX
GAMBAR menunjukkan kedua-dua kaki plastik palsu anak lembu yang bernama Hero.

COLLEGE STATION, Texas - Seekor anak lembu yang kehilangan kedua-dua belah kaki belakangnya akibat masalah luka yang beku mampu berjalan selepas mendapat sepasang kaki palsu, lapor stesen televisyen KAGS TV kelmarin.

Anak lembu yang diberi nama Hero itu telah diselamatkan oleh seorang wanita, Kitty Martin pada April tahun lepas di Virginia, Amerika Syarikat (AS) kerana masalah luka itu.

Menurut Kitty, dia telah membuat panggilan telefon ke beberapa buat pusat haiwan di AS untuk merawat haiwan tersebut.

Pihak Kolej Universiti Perubatan Veterinar Texas A & M di sini kemudian bersetuju untuk mengambil haiwan tersebut dan memasang dua kaki plastik palsu untuk memudahkan haiwan tersebut berjalan. - Agensi

KOSMO ONLINE 31.1.14

Eyin tekad kuasai Sukan Asia

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
 
EYIN (kiri) berharap Tahun Kuda pada tahun ini membawa lebih banyak tuah dalam kariernya sebagai atlet wusyu negara.

PENYUMBANG pingat emas Sukan SEA ke-1000 negara, Phoon Eyin berharap Tahun Kuda bagi sambutan Tahun Baru Cina kali ini akan membawa tuah baginya untuk tersenarai dalam skuad negara pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan September depan.

Walaupun sedar dengan harapan yang bakal dihadapi selepas mempamerkan aksi mempesonakan ketika memenangi acara qiangshu di Myanmar Disember lalu, srikandi wusyu itu juga berharap dapat mengulangi skrip tersebut pada temasya empat tahun sekali itu nanti.

Tahun ini juga akan menjadi sambutan Tahun Baru Cina yang meriah bagi lepasan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu, namun Eyin mengakui dia juga harus menumpukan perhatian terhadap latihan.

"Selepas cuti sambutan Tahun Baru Cina, saya akan kembali menyertai kem latihan dan saya harap dapat lakukan yang terbaik kerana saya mahu tersenarai dalam kontinjen negara ke Sukan Asia.

"Saya masih belum tahu lagi bila tarikh sebenar pemilihan, tetapi keputusan sudah tentu akan terletak sepenuhnya di tangan jurulatih," kata Eyin.

Terdahulu, Eyin berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menyumbang emas ke-1000 buat kontinjen Malaysia sejak menyertai temasya dwi tahunan itu pada 1959.

Lebih menarik emas yang diraih itu turut melengkapkan sasaran skuad wusyu iaitu tiga emas.

Turut menyumbangkan emas pada Sukan SEA 2013 itu ialah Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuan menerusi acara nanquan wanita dan nandao wanita.

Selain acara qiangshu, Eyin juga mengakui dia juga tidak mempunyai masalah sekiranya beraksi dalam acara qingshu dan changquan jika tersenarai ke temasya Sukan Asia September depan.

Ditanya mengenai sasarannya sekiranya tersenarai dalam skuad Sukan Asia, Eyin berkata, dia hanya mengharapkan prestasi yang terbaik dan lebih cemerlang daripada Sukan SEA.

"Buat masa ini saya mahu tersenarai dahulu. Jika layak ia akan menjadi Sukan Asia saya yang pertama jadi saya akan cuba buat yang terbaik dan kalau boleh mahu memenangi pingat emas untuk negara," tambah Eyin.

KOSMO ONLINE 31.1.14

Sherwood 'pitam' terkena penangan City

LONDON - Pengurus Tottenham Hotspurs, Tim Sherwood mengakui kehebatan Manchester City selepas skuad kendaliannya dibelasah 1-5 dalam aksi Liga Perdana England di White Hart Lane, awal pagi semalam.

Menurut Sherwood, The Citizens layak mendakap trofi liga musim ini sambil menyifatkan skuad kendalian Manuel Pellegrini itu satu pasukan dari 'planet' lain.

Dalam perlawanan itu, gol-gol pelawat dicetak oleh Sergio Aguero, Yaya Toure, Edin Dzeko, Stevan Jovetic dan Vincent Kompany sementara gol saguhati Spurs dicetak oleh Etienne Capoue.

Lebih malang, Spurs juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Danny Rose dilayangkan kad merah selepas mengasari Eden Dzeko pada minit ke-50.

"City memang pasukan yang cukup berkualiti. Kami seolah-olah berdepan pasukan dari 'planet' lain.

"Dengan kualiti yang mereka miliki, memang mustahil buat mana-mana pasukan mengekang City untuk mendakap trofi liga musim ini," kata Sherwood.

KOSMO ONLINE 31.1.14

Sime Darby kembali dengan semangat baharu

PERASAAN kecewa dijinakkan Sarawak dalam aksi Liga Super, Selasa lalu pastinya mahu dibuang jauh-jauh oleh pengendali Sime Darby, Ismail Zakaria.

Selepas tersungkur di bumi Kenyalang dengan kekalahan 0-3, The Giant Killer pastinya mahu kembali bangkit melakar kemenangan menjelang pertemuan berdepan Felda United dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Selayang, minggu depan.

Menurut Ismail, setiap kesilapan ketika berdepan Bujang Senang tempoh hari wajar diperbaiki segera ketika berdepan The Settlers kelak.

"Kami mensia-siakan begitu banyak peluang yang terhidang di depan gol ketika berdepan Sarawak.

"Justeru, waktu rehat selama seminggu ini wajar dimanfaatkan pemain memulihkan semula keyakinan.

"Saya juga berharap barisan pemain mampu bangkit mencari kemenangan selepas ini," katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Ismail memberitahu, ketumpulan gandingan jentera serangan yang diterajui dua penyerang import, Wisdom Agblexo dan Dilshod Sharofetdinov juga wajar diperkemaskan jika berhasrat melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA kali ini.

Untuk rekod, Sime Darby melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas mengejutkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium MP Selayang pada 21 Januari lalu.

Sime Darby juga pernah bergelar naib juara Piala FA edisi 2012 sebelum dijinakkan Kelantan 0-1 di pentas final.

Selepas berdepan Felda United nanti, The Giant Killer bakal melayan kunjungan Selangor dalam aksi Liga Super di stadium yang sama empat hari kemudian.

Mereka kini terperosok di tangga kedua tercorot Liga Super dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan selebihnya tewas selepas tiga perlawanan setakat ini.

Ini merupakan kali pertama skuad kendalian Ismail beraksi dalam saingan Liga Super selepas muncul naib juara Liga Premier musim lalu.

KOSMO ONLINE 31.1.14

'Sukan Asia jadi keutamaan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
IRFAN (kiri) sudah tidak bersama skuad Harimau Muda A.

TIADA sebarang sasaran khusus yang cuba direalisasikan skuad Harimau Muda A ketika mengharungi Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane, Australia dari Mac hingga Ogos depan.

Sebaliknya, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee lebih mementingkan pengalaman yang diraih anak-anak buahnya dalam saingan liga itu menjelang misi utama mengharungi temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

“Jika berjaya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik sudah cukup bagus, namun saya enggan meletakkan sasaran khusus pada saingan NPL Queensland nanti.

“Asalkan pemain meraih pengalaman dan memberikan cabaran, saya sudah berpuas hati termasuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kedudukan pertengahan liga.

“Biarpun ia bukan liga utama Australia, saya percaya ia merupakan medan yang sesuai buat pemain meraih pengalaman sebagai persediaan sebelum temasya Sukan Asia.

“Apa yang pasti, temasya Sukan Asia jauh lebih penting buat saya dan Harimau Muda A,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi skuad kendaliannya sepanjang di Australia kelak ekoran kehilangan 10 pemain utama kali ini atas pelbagai faktor termasuk melebihi usia 23 tahun selain ada pemain tidak menyambung kontrak.

Antara pemain yang berhijrah termasuk kapten pasukan, Mohd. Irfan Fazail; pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas serta penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan yang kini beraksi bersama Johor Darul Takzim (Johor DT).

Selain ketiga-tiga pemain terbabit, penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan juga kembali semula ke negeri kelahirannya, Terengganu.

“Sebaik latihan bersambung, saya akan menguji 11 pemain baharu iaitu enam pemain Harimau Muda B (bawah 21 tahun) serta lima pemain Harimau Muda C (bawah 19 tahun) sebagai persiapan menghadapi Liga NPL Queensland kelak,” jelas Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beliau juga belum membuat keputusan muktamad mengenai senarai akhir 25 pemain yang bakal ‘terbang’ ke Australia Mac depan.

“Masih terlalu awal untuk diumumkan sekarang, saya hanya akan membuat keputusan berhubung skuad akhir Harimau Muda A selewat-lewatnya pertengahan Februari.

“Apa yang pasti, hanya pemain terbaik yang bakal dibawa ke Brisbane bagi menjamin persediaan mantap menjelang temasya Sukan Asia kelak,” kata beliau.

KOSMO ONLINE 31.1.14

Kim Swee: Masih ada tugas yang belum selesai


 

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
KIM SWEE (kiri) menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana kerana persiapan pasukan tetap menjadi keutamaannya.

SAMBUTAN Tahun Baru Cina kali ini pastinya ditunggu-tunggu pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beliau telah mula bercuti di kampung halamannya di Melaka semalam dan anak-anak buahnya hanya akan kembali menjalani latihan Ahad ini.

“Saya kini sudah bersama keluarga di Melaka dan pemain juga telah dilepaskan bercuti.

“Di kesempatan ini, saya juga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada kesemua peminat Harimau Muda yang menyokong perjuangan kami selama ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun jelas Kim Swee, beliau dan anak-anak buahnya tidak akan ‘beraya sakan’ memandangkan masih ada tugasan getir mengharumkan nama negara di temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

“Raya pun raya juga, tetapi masih ada tugas yang belum selesai.

“Selain temasya Sukan Asia, kami juga perlu bersedia mengharungi saingan Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane selama lima bulan bermula Mac depan.

“Jadi, saya harap kesemua pemain Harimau Muda A dapat mengekalkan kecergasan masing-masing sebelum kembali menjalani latihan Ahad ini,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga ingin melupakan kekecewaan selepas gagal mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

“Mana-mana jurulatih pastinya kecewa dengan kegagalan tetapi ia akan dijadikan pembakar semangat untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna pada masa depan.

“Saya juga berharap sambutan Tahun Baru Cina kali ini membawa tuah buat skuad Harimau Muda A pada temasya Sukan Asia kelak,” katanya yang turut mendapat kepercayaan sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya ketika ini.

KOSMO ONLINE 31.1.14

Thursday 30 January 2014

Preview Piala FA 2014 Pusingan Kedua Lions XII melawan Pahang

Tarikh  : 1 Februari 2014 (Sabtu)
Masa     : 7.45 malam
Tempat : Stadium Jalan Besar, Singapura.
REKOD PERLAWANAN 2014
PIALA SUMBANGSIH – PAHANG 1-0 LIONSXII
RAMALAN: LIONSXII 1-2 PAHANG
LionXII kebal digelanggang sendiri, tetapi Pahang tetap boleh menang kerana pemain Pahang sejak musim lalu terus berjuang hingg minit terakhir.
KEPUTUSAN PERLAWANAN
LionsXII

mln
Pahang
7.45mlm, Stadium Jalan Besar

BARISAN  KEMUNGKINAN
Barisan pemain LionsXII.
01  Izwan MahbudI
02  Shakir Hamzah
03  Afiq Yunus
04  Isa Halim  (C)
08  Hafiz Sujad
09  Faritz Hameed
15  Sufian Anuar
17  Faris Ramli
19  Khairul Amri Kamal
21  Safuwan Baharudin
23  Zulfahmi Arifin
Barisan Pemain Pahang
01 Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid
03 Mohd Saifulnizam Miswan
04 Damion Delano Stewart
06 Zeshan Rehman
13 Mohd Razman Roslan
20 Mohd Shahrizan Mohd Salleh
08 Azidan Sarudin
21 Mohd Hafiz Kamal
24 R. Gopinathan
09 Matias Ruben Conti

12 Azamuddin Mohd Akil

JDT goyah layan kunjungan T-Team

 Oleh Rizar Mohd Noor Cetak Emel Kawan
 
Johor Bahru: Ujian getir menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) tatkala memulakan kempen Piala FA apabila sekali lagi berdepan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Kemungkinan tanpa kelibat kapten Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengalami kecederaan paha kanan pasti memberi kesan buat perancangan pengendali skuad Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez yang harus memantapkan benteng pertahanan.


Apa pun, Jiminez masih memiliki pilihan sama ada menurunkan S Subramaniam atau Mohd Fadhli Shas mengemudi benteng bersama Baihakki Khaizan pada perlawanan itu.

Sedia 100 peratus

Selain itu, jurulatih dari Sepanyol itu perlu memastikan barisan serangan harus lebih tajam supaya langkah ke suku akhir tidak disekat oleh anak didik Mohd Azraai Khor Abdullah.

“Piala FA amat penting bagi JDT, kita perlu menang kerana sebagai finalis pada musim lalu, sasaran utama adalah menjuarai piala itu bagi memburu slot ke Piala AFC musim depan.

“Siapa yang ganti Aidil Zafuan belum diputuskan lagi kerana saya mahu penggantinya bersedia lebih 100 peratus untuk memastikan benteng sentiasa ampuh.
“Mungkin kelebihan kepada JDT yang beraksi di laman sendiri tetapi saya tidak mahu pemain terlalu selesa sebaliknya tumpuan dan disiplin di padang amat penting kerana pasukan lawan mampu membuat kejutan,” katanya semalam.


Sememangnya Jiminez harus berwaspada dengan corak permainan T-Team yang dianggap `pembunuh senyap' yang dibimbing Mohd Azraai memiliki kepakaran tersendiri membentuk barisan mantap dan bijak menyusun strategi.

Perak pula pertikai pengadil!

 Oleh Azizan Hashim Cetak Emel Kawan
 
Ipoh: Selepas pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan dan Sime Darby FC, Ismail Zakaria mempersoalkan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M), kini pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad pula melahirkan rasa terkilan dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain importnya.

Apa pun, Perak mengemukakan terus rayuan terhadap penggantungan Kyaw Zayar Win kerana mendakwa keputusan pengadil, Samsudin Ibrahim melayangkan kad merah kepada pemain Myanmar itu ketika aksi dengan ATM di Stadium Selayang, Selasa lalu tidak tepat.


Zayar Win digantung dua perlawanan kerana mengutip kad mereka pada minit ke-89 pada perlawanan di stadium MP selayang dan turut menerima hukuman sama ialah Affize Faisal Mamat.

Teleti rakaman video

Azhar berkata Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) terpanggil untuk membuat rayuan itu dalam usaha mencari keadilan kepada pemain tengah itu serta beberapa pemain lain sambil merayu kepada Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti rakaman video disertakan bersama bantahan demi keadilan.

“PAFA tidak berniat untuk mengkritik pengadil tetapi terkilan dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan itu. Jadi kami mengikut saluran betul dengan menghantar surat rayuan beserta bukti bagi menyokong tuntutan kami.

Berita  HARIAN ONLINE 31.1.14

Titans sedia diterkam

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
31 Januari 2014
Titans sedia diterkam
Titans sedia diterkam The Titans sedia berdepan ancaman JDT di Larkin, esok. Foto: Rosli Talib
PASUKAN berstatus kelab, T-Team bersedia diterkam harimau yang kelaparan dalam pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), esok.

Bagi pengendali The Titans, Mohd Azraai Khor Abdullah, itu bukan bermakna pasukannya mengaku kalah sebelum perlawanan tetapi sebaliknya bersedia berdepan Harimau Selatan yang dahagakan kemenangan.

JDT sebelum ini tumpas 1-0 di tangan T-Team pada aksi Liga Super dan hanya mengutip satu mata selepas terikat 2-2 menentang Lions XII di Larkin, Selasa lalu.

“Kami sudah bersedia untuk berdepan asakan JDT. Sudah tentu mereka ingin menumpaskan kami di laman mereka sendiri.

“Perlawanan itu juga boleh dianggap sebagai medan membalas dendam selepas kami dapat menumpaskan mereka, Sabtu lalu,” katanya, semalam.

Bekas jurulatih Perak itu memberitahu, perlawanan tersebut pasti menjadi perlawanan yang hebat buat kedua-dua pasukan.

“Saya jangkakan ia perlawanan yang sangat sukar kerana mereka dalam keadaan tertekan dan kami sudah bersedia,” katanya.

Dalam pada itu Azraai menambah, beliau akan memperbaiki kekurangan pasukannya selain mengekalkan corak perlawanan ketika pasukannya mengatasi JDT, tempoh hari.

SINAR HARIAN ONLINE 31.1.14

Permintaan yang keterlaluan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
TROUSSIER dikatakan meminta keistemewaan yang lebih banyak menguntungkan dirinya sahaja daripada misi membentuk skuad Harimau Malaya.

NAMPAK gayanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah tidak berminat lagi untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing, Phillipe Trousiier.

Ia gara-gara FAM dikatakan enggan lagi meneruskan perbincangan dengan Troussier selepas bekas pengendali Jepun itu dikatakan banyak 'songeh'.

Semalam, menurut sumber wartawan Perancis, Troussier yang ditawarkan kontrak tiga tahun untuk dilantik sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya, telah berunding dengan pihak teratas FAM bagi membincangkan hala tuju bola sepak negara di ibu negara.

Begitupun, perbincangan tersebut tidak menemui jalan penyelesaian apabila syarat yang ditetapkan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

“Troussier enggan FAM meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadapnya. Baginya, beliau sendiri yang mahu meletakkan hala tuju bola sepak negara.

“Selain itu, jika beliau tidak berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau mana-mana perkara berbangkit, Troussier mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera.

“Lebih memeranjatkan, sebagai contoh; jika FAM bersetuju melantiknya dan kemudiannya Trous- sier melepas jawatannya dalam tempoh setahun bersama Harimau Malaya, beliau mahu FAM tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun Troussier sendiri yang menamatkan kontrak tersebut.

“Kini, apa yang pasti, FAM sudah tidak 'berselera' dengan Troussier apabila perjanjian itu dilihat hanya menguntungkan Troussier sahaja,” kata sumber itu kepada Kosmo!, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM telah hampir pasti telah untuk mendapatkan sentuhan Troussier selepas mengadakan dua pertemuan tidak formal di China (Jun lalu) dan di Singapura pada November lalu.

Selepas itu, FAM hampir pasti untuk mendapatkan khidmat Troussier selepas badan persatuan induk bola sepak negara itu bersetuju untuk memenuhi tuntutan gaji yang dimahukan oleh bekas jurulatih FC Ryukyu sebanyak gaji AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun menerusi penajaan.

Buat masa ini, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya dan FAM enggan membuat keputusan terburu-buru untuk mencari calon pengendali import baharu selepas kesal dengan sikap Troussier.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton dikatakan berada dalam radar FAM.


SUMBER:kosmo 31.1.14