PERASAAN kecewa dijinakkan
Sarawak dalam aksi Liga Super, Selasa lalu pastinya mahu dibuang jauh-jauh oleh
pengendali Sime Darby, Ismail Zakaria.
Selepas tersungkur di bumi
Kenyalang dengan kekalahan 0-3, The Giant Killer pastinya mahu kembali bangkit
melakar kemenangan menjelang pertemuan berdepan Felda United dalam pusingan
kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Selayang, minggu depan.
Menurut Ismail, setiap
kesilapan ketika berdepan Bujang Senang tempoh hari wajar diperbaiki segera
ketika berdepan The Settlers kelak.
"Kami mensia-siakan begitu
banyak peluang yang terhidang di depan gol ketika berdepan Sarawak.
"Justeru, waktu rehat
selama seminggu ini wajar dimanfaatkan pemain memulihkan semula keyakinan.
"Saya juga berharap
barisan pemain mampu bangkit mencari kemenangan selepas ini," katanya
kepada Kosmo! kelmarin.
Ismail memberitahu, ketumpulan
gandingan jentera serangan yang diterajui dua penyerang import, Wisdom Agblexo
dan Dilshod Sharofetdinov juga wajar diperkemaskan jika berhasrat melangkah
lebih jauh dalam saingan Piala FA kali ini.
Untuk rekod, Sime Darby melangkah
ke pusingan kedua Piala FA selepas mengejutkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium MP Selayang pada 21 Januari lalu.
Sime Darby juga pernah bergelar
naib juara Piala FA edisi 2012 sebelum dijinakkan Kelantan 0-1 di pentas final.
Selepas berdepan Felda United
nanti, The Giant Killer bakal melayan kunjungan Selangor dalam aksi Liga Super
di stadium yang sama empat hari kemudian.
Mereka kini terperosok di
tangga kedua tercorot Liga Super dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan
selebihnya tewas selepas tiga perlawanan setakat ini.
Ini merupakan kali pertama
skuad kendalian Ismail beraksi dalam saingan Liga Super selepas muncul naib
juara Liga Premier musim lalu.
KOSMO ONLINE 31.1.14
No comments:
Post a Comment