Ad

Wednesday, 29 January 2014

Kota Darul Ehsan hilang gah

 Oleh HUSSAINI AMRAN
hussaini.amran@utusan.com.my
 
BATU monumen memuatkan catatan ringkas sejarah Kota Darul Ehsan turut hilang seri apabila tulisannya pudar tanpa penyelenggaraan.
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Pengguna kenderaan khususnya warga kota yang melalui Lebuh Raya Persekutuan pasti tahu apabila disebut Kota Darul Ehsan.

Mercu tanda itu yang terletak di sempadan Kuala Lumpur-Selangor sebelum ini sering menjadi bantuan kepada mereka yang belum mahir tentang jalan di ibu negara sebagai petunjuk arah.

Namun entah di mana silapnya, Kota Darul Ehsan yang tersergam indah merentasi Lebuh Raya Persekutuan dengan dua laras meriam di setiap gerbangnya kini kelihatan muram, kusam dan tidak bermaya.

Kota bercirikan seni bina Moor yang dibina dengan kos RM4.4 juta itu kini hilang gahnya ekoran tidak diselenggarakan dengan baik oleh pihak yang diamanahkan.
 
POKOK liar juga tumbuh di setiap sudut dan turut menutupi lambang kerajaan negeri Selangor.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi Kota Darul Ehsan malam tadi mendapati mercu tanda yang direka oleh Arkitek Negeri Selangor, Khalil Mansor itu muram tanpa diterangi cahaya lampu.

Lima kubah pada gerbang yang berpotensi menjadi tarikan pelancong itu kelihatan ‘tenggelam’ dalam kegelapan malam.

Hari ini, Utusan Malaysia sekali lagi mengunjungi Kota Darul Ehsan untuk melihat mercu tanda tersebut pada waktu siang.

Kota berwarna putih dan kuning itu nampak tidak berseri akibat dicemari asap puluhan ribu kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Persekutuan setiap hari.

Pokok-pokok kecil tumbuh meliar sehingga mencacatkan keindahan Kota Darul Ehsan malah ada tumbuhan yang melindungi lambang kerajaan negeri Selangor pada monumen tersebut.

Lebih dikesali, kota yang diibaratkan sebagai benteng yang mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Selangor dicemari dengan iklan-iklan haram menawarkan perkhidmatan menukar tiub motosikal.

Sebahagian struktur besi yang dipasang pada gerbang terbesar di Malaysia itu juga kelihatan berkarat.

Selain itu, tulisan pada batu peringatan telah pudar sehingga mengakibatkan catatan ringkas tentang pembinaan Kota Darul Ehsan sukar dibaca.

Akibatnya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Kota Darul Ehsan bukan sekadar berperanan sebagai mercu tanda yang membahagikan sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

Dirasmikan oleh Sultan Selangor kelapan, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 3 Januari 1982, monumen tersebut merupakan simbolik pengorbanan baginda dan rakyat Selangor menyerahkan sebahagian daripada negeri itu kepada Kerajaan Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Memetik laporan Utusan Malaysia pada 4 Januari 1982 tentang majlis perasmian gerbang berkenaan, Sultan Salahuddin menitahkan agar kota tersebut dipelihara buat selama-lamanya sebagai lambang kesucian dan kedaulatan Selangor serta keikhlasan baginda menyerahkan tanah seluas 24,350 hektar untuk dijadikan ibu negara Malaysia.

Malangnya, setelah 32 tahun berlalu, titah baginda itu seolah-olah tidak lagi dijunjung oleh pihak yang diberi amanah untuk menjaga Kota Darul Ehsan.

Ada pihak mendakwa, penyelenggaraan kota tersebut adalah di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut menafikannya dan memberitahu tanggungjawab itu digalas oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Difahamkan, kerja-kerja mengecat semula Kota Darul Ehsan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 2008.

Apa yang penting, penyelenggaraan Kota Darul Ehsan seharusnya dijalankan secara berterusan agar mercu tanda yang pernah tersergam megah di antara Selangor dan Kuala Lumpur itu tidak dibiarkan usang.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140122/dn_15/Kota-Darul-Ehsan-hilang-gah#ixzz2rqja7Etq © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment