Ad

Wednesday 29 January 2014

Rekod bersih Kelantan lebur

 Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
 
KAPTEN Kelantan, badhri Radzi (depan) cuba dihalang pemain PKNS pada aksi yang berkesudahan PKNS menang 2-1 di Kota Bharu malam tadi.

REKOD tanpa kalah Kelantan musim ini lebur ditangan Selangor PKNS selepas tumpas mengejut 1-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors bermula hambar pada 20 minit pertama apabila setiap gerakan yang dilancarkan mudah dibaca pemain pasukan lawan.

Usaha tuan rumah untuk memburu jaringan awal akhirnya berhasil menerusi tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 yang melepasi jangkauan penjaga gol pelawat Mohd. Ramezey Che Ros.

Seminit kemudian, tonggak import Kelantan Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya melepasi palang gol biarpun ketika itu Ramezey sudah terkeluar daripada posisinya.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-39.

Dua minit berselang, pelawat mengukuhkan cengkaman menerusi gol kedua mereka hasil jaringan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor untuk menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.

Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-46.

Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.

Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudahpun ternganga.

Tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila peluang demi peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan dengan baik oleh jentera serangan The Red Warriors diketuai oleh Forkey Doe.Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER: KOSMO ONLINE 29.1.14

No comments:

Post a Comment