Ad

Wednesday 29 January 2014

Memoir pujangga Affrini Adham

 Oleh Zainol Idris
Sasterawan
Bukannya Raja

Pengarang: Affrini Adham & Osman

Ayob.

Penerbit: Institut Terjemahan & Buku

Malaysia (ITBM)

Tebal: 249 halaman

Menjejaki sejarah kesusasteraan Melayu moden, nama Affrini Adham tidak boleh dipandang sipi. Walaupun tidak terukir dengan tinta emas, nama pena bagi Ahmad bin Ariffin yang lahir di Kampung Seberang Nyonya, Alor Setar itu telah menempah tempat tersendiri dalam ensiklopedia sastera tanah air. Beliau adalah antara ikon yang turut mewarnai dunia kesusasteraan khususnya puisi Melayu moden.

Dalam keadaan ketidakpastian British untuk melepaskan Malaya daripada penjajahannya, Affrini dengan penuh yakin bangun melaung dengan puisi, Malaya Pasti Merdeka

"bahawa kemerdekaan yang sekian

lama kita perjuangkan

telah dekat- mendekati

telah tegas dan nyata

Malaya pasti merdeka"

kita pasti merdeka!

kita adalah manusia berbangsa

dan bernegara

kita bukan boneka

kita pasti merdeka

di atas hak dan pertuanan kita.

(Malaya Pasti Merdeka, 1955)

Dalam kalangan penulis muda di utara tanah air, kepulangan Affrini ke sisi Tuhannya amat dirasai. Sifatnya yang suka merendah diri menyebabkan penulis muda tidak segan dan kekok untuk mendampinginya bagi mendapat bimbingan untuk berjinak-jinak dengan dunia penulisan.

Biarpun menceburi pelbagai genre penulisan yang mula digelumangi sejak 1946, seperti cerpen, novel, rencana dan drama; puisi lebih mempamerkan keunggulan malah mendominasi keterlibatannya sehingga akhir hayat.

Sebahagian besar daripada penulis era sebelum merdeka melibatkan diri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Begitu juga dengan Affrini. Beliau bukan saja melaungkan semangat nasionalisme melalui karya berlandaskan slogan ‘Seni Untuk Perjuangan’ tapi turut melibatkan diri dalam badan politik terawal seperti Seberkas. Ketika rakyat bangun menentang gagasan Malayan Union, Affrini turut terjun ke tengah dengan memimpin pemuda-pemuda kampungnya berarak dan berhimpun di Padang Court, Alor Setar.

Penglibatan Affrini dalam bidang sastera mendapat pengiktirafan melalui anugerah yang diberikan antaranya Tokoh Perintis Puisi Darul Aman (1984), Tokoh Budaya Negeri Kedah Darul Aman (1987) dan Anugerah Penyair GAPENA (2000).

Buku Sasterawan Bukannya Raja memuatkan sebahagian daripada memoir Affrini (yang tidak sempat disiapkan) manakala selebihnya disambung oleh sahabat karib beliau Dr. Osman Ayob.

Mengikut perancangan, memoir Affrini Adham, Sasterawan Bukannya Raja ialah satu projek penulisan di bawah skim Penulis Tamu DBP (Julai 2004 - Jun 2005) kemudian dilanjutkan hingga Disember 2005 atas permohonan beliau kerana masalah kesihatan.

Beliau menghadapi masalah buah pinggang dan terpaksa menjalani pembedahan, kemudian dikesan mengidap kanser usus. Beliau dengan gigih meneruskan penulisan memoir ini walaupun dalam kepayahan; bergelut dengan kesakitan di ranjang wad hospital. Namun belum sempat beliau meletakkan nokhtah terakhir pada karyanya, Affrini Adham terlebih dahulu dijemput mengadap Penciptanya.

Affrini hanya sempat menulis bahagian satu dan dua. Mengikut perancangan awal seperti yang diajukan kepada DBP galur memoirnya akan mengandungi 13 bahagian.

Dalam bahagian satu terdapat lima bab dengan judul: Jalur-jalur Windu I hingga Jalur Windu v. Dalam bab-bab ini Affrini memaparkan dengan terperinci kenangan zaman kanak-kanak hingga ke peringkat awal remajanya. Pengalaman hidupnya penuh dengan jaluran warna-warni melewati latar dan suasana sosial zaman pramerdeka yang beragam. Affrini yang kehilangan bapanya ketika masih dalam kandungan ibunya dibesarkan oleh bapa saudaranya Jamaluddin Mohd Salleh.

Peri minat awal Affrini terhadap kepengarangan dipaparkan sejak beliau di bangku sekolah lagi. Ketika bapa saudaranya diarah berpindah kerja dari Baling ke Jitra, Affrini ditumpangkan di rumah seorang guru kenalan bapa saudaranya, Cikgu Nadzim. Melihat gelagat Affrini yang beragan-angan menjadi pujangga dengan gemar mencatat di buku rampaiannya, Cikgu Nadzim secara berseloroh berkata; "Orang hidup dengan mata cangkul, bukan dengan mata pena." Akibatnya Affrini rasa tersindir lalu tidak bertegur sapa dengan gurunya selama tiga hari.

Sayang sekali Affrini tidak sempat mengisahkan kepada kita citra dan kehidupan kreatif dunia kepengarangannya yang melintasi ruang waktu lebih enam dekad itu.

Pada bahagian dua dengan judul-judul Di Sebalik Matahari Terbit i hingga iii, Affrini mengisahkan peri kehidupannya yang memasuki alam remaja dalam zaman penjajahan Jepun. Beliau sempat merakamkan beberapa episod detik peristiwa kekalahan British, kemenangan Jepun dan pemerintahan Jepun.

Bahagian tiga pula memuatkan tulisan Osman Ayob mengenai Affrini dengan judul: Affrini Adham dari Perpektif Osman Ayob. Menurut Osman, projek penulisan memoir Affrini agak terjejas dan mengalami kelewatan keuzuran yang dihadapinya.

Setelah disepakati antara pihak DBP, Affrini dan Osman Ayob; Osman diminta membantu dalam menyiapkan memoir tersebut; iaitu Affrini akan menyiapkan penulisannya sehingga bab lima, manakala bab enam hingga bab 13 dalam bentuk rakaman. Osman ditugaskan membuat transkripsi rakaman itu. Namun pada 22 September 2005 Affrini terlebih dahulu dijemput mengadap-Nya terlebih dahulu sebelum membuat rakaman.

Memandangkan manuskrip memoir separuh siap itu mempunyai nilai yang amat tinggi dan tidak mahu lenyap begitu sahaja, Osman Ayob mengambil inisiatif menyambung dengan menyiapkan bahagian tiga iaitu ˜Affrini Adham dari Perspektif Osman Ayob’.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20140126/sa_03/Memoir-pujangga-Affrini-Adham#ixzz2rqeYb2le © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment