Ad

Thursday 30 January 2014

Rentak Selangor belum sempurna

 
RANGEL muncul wira apabila meledak gol kemenangan Selangor di Stadium MBPJ kelmarin.

PERMUKAAN padang tidak rata menjadi antara punca corak permainan hantaran pendek atau lebih dikenali sebagai 'Tika- Taka' yang diperaga Selangor musim ini dilihat tidak begitu sempurna.

Pemain tengah Selangor, Abdul Shukur Jusoh mengakui situasi tersebut meskipun Gergasi Merah berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas juara Piala Malaysia, Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya kelmarin.

Katanya, keadaan permukaan padang di Stadium MBPJ menyebabkan bola sering melantun sehingga menyebabkan para pemain sukar untuk beraksi dengan lebih baik.

"Keadaan padang memberikan kami masalah untuk bermain cantik. Macam mana nak main 'Tiki-Taka' kalau bola asyik melantun saja.

"Jika selepas ini kami dapat bermain di atas padang yang baik, mungkin kami dapat menjayakan corak permainan 'Tiki-Taka'.

"Musim ini, ketua jurulatih (Mehmet Durakovic) lebih gemar kami mengamalkan teknik hantaran pendek tetapi tidak sama seperti gaya Barcelona. Kami belum sampai pada tahap itu.

"Kami rasa teknik ini sesuai dengan kami kerana semua pemain Selangor selesa dan suka untuk 'memegang' bola," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Shukor turut memuji semangat dipamerkan rakan-rakan sepasukannya terutama wira Selangor, Paolo Rangel yang meledak gol tunggal pada perlawanan tersebut.

Jelasnya, kesungguhan dipamerkan semua pemain memberikan tiga mata penuh kepada Gergasi Merah biarpun terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh satu minggu.

"Jurulatih banyak memberikan motivasi kepada kami sebelum perlawanan dan saya gembira dengan semangat juang yang dipamerkan rakan sepasukan.

"Kami telah memaksa diri untuk bermain habis-habisan dan memang saya akui, selepas tamat perlawanan, kami berasa terlalu penat.

"Saya berpuas hati kerana kami menang, cuma saya kurang gembira kerana tidak banyak membantu Rangel.

"Rehat seminggu ini memberikan kami tempoh berehat secukupnya kerana selepas ini banyak pasukan kuat perlu ditempuhi. Saya berharap kami dapat kekalkan momentum kemenangan ini," katanya.

KOSMO ONLINE 30.1.14

No comments:

Post a Comment