NIZAM ZAIN
25 Januari 2014
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk
Harun Taib Harun Taib
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemergian Almarhum Datuk Harun Taib sebagai
kehilangan seorang ilmuan dalam gerakan dakwah Islam sehingga akhir hayatnya.
Menurutnya beliau tidak jemu
mendidik dan berjuang kepada parti walaupun dalam keadaan uzur sebelum menghembuskan
nafas terakhir semalam.
"Sesungguhnya almarhum
telah pergi dahulu bertemu Tuhan Rabbul Jalil di saat Pas dan ummah masih
memerlukan bimbingan dan ilmu beliau.
"Almarhum sudah tidak
bersama kita, tetapi peninggalan ilmu Almarhum amat berbekas di hati para ahli
Pas serta pendokongnya yang tidak jemu mendidik dan berjuang walaupun beliau
keuzuran di akhir hayat beliau," katanya memetik ucapan takziahnya, hari
ini.
Harun yang juga Ketua Ulama Pas
meninggal dunia pada jam 12.10 awal pagi Sabtu dan beliau menghembuskan nafas
terakhirnya di sisi isteri dan anak-anaknya di Hospital Sultanah Nur Zahirah,
Kuala Terengganu.
Jenazah Almarhum Ustaz Harun
telah disolatkan kira-kira jam 10 pagi tadi di Markas Tarbiyah Kubang Lembik,
Manir, Kuala Terengganu.
Sementara, Timbalan Pesuruhjaya
Pas III Selangor, Khalid Samad pula berkata, beliau yang mengenali Almarhum
sejak 1983 itu menyifatkannya sebagai aktif dalam dewan ulama meskipun ketika
itu tidak memegang apa-apa jawatan tinggi.
"Saya kenal beliau sejak
1983 ketika mula-mula masuk Pas, selalu bersembang dengannya di Rusila dan
bermalam di rumahnya di Hulu Terengganu.
"Beliau merupakan seorang
yang cukup komited dalam perjuangan Pas dan merupakan kehilangan besar dari
segi ilmu dan pengalaman yang ada pada dirinya," katanya.
Bagi anak kepada bekas Presiden
Pas, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, pemergian Harun tiada tolok gantinya,
meskipun anak muridnya mampu meneruskan usaha dakwah dan legasi perjuangannya,
namun ilmu dan pengalamannya sukar dicari ganti.
"Beliau merupakan seorang
tokoh yang punyai pemikiran, ilmu dan sejarah yang bagus, pengorbanannya
sebagai ulama yang masuk politik secara langsung umpama permata buat kita.
"Kita bukan menyambung
peranan individu tetapi menyambung pemikiran dan legasi seseorang tokoh sukar
dicari ganti," katanya.
Tidak ketinggalan mengucapkan
takziah kepada keluarga Almarhum ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail yang berharap keluarga dan sanak saudara beliau tabah
menghadapi pemergiannya.
"PKR merakamkan ucapan
takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama Pas yang
telah meninggal dunia awal hari ini.
"Semoga ALLAH SWT
mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, dan menempatkan beliau di kalangan
orang-orang yang beriman," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari
ini.
SINAR HARIAN ONLINE 26.1.14
No comments:
Post a Comment