Ad

Saturday, 25 January 2014

Harun istiqamah laksana tugas

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Januari 2014
Harun Taib Orang ramai mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Harun Taib
SHAH ALAM - Pemergian Allahyarham Datuk Harun Taib merupakan satu kehilangan besar khususnya kepada perjuangan Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Allahyarham merupakan seorang guru yang sangat terbuka dan tegas dalam menangani sesuatu perkara dan masalah.

“Komitmen yang diberikan oleh Allahyarham sangat tinggi. Sekalipun dengan berkerusi roda, beliau tetap bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya.

Bagi AJK Pas Pusat, DR Dzulkefly Ahmad, Allahyarham digambarkan sebagai seorang insan yang istiqamah dalam menjalankan tugas walaupun dalam keadaan uzur.

“Pas kehilangan seorang mutiara yang kerap menjadi suara semak imbang dalam urusan agama di negara ini.

“Allahyarham juga merupakan seorang yang amat tegas terutama dalam perbincangan jawatankuasa Pas pusat dan ketegasannya dalam setiap ucapan sangat mendidik kami,” katanya.

Manakala, ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan perjuangan Allahyarham sebagai perjuangan murni kerana sanggup mewakafkan dirinya untuk perjuangan Pas.

“Allahyarham mempunyai kekuatan hujah selain bernas dalam mengemukakan pandangan berdasarkan nas dan pandangan ulama," katanya.

Menurutnya,  Allahyarham juga menjadi nadi penting menggerakkan fikrah perjuangan Islam terutama dalam membina peribadi ahli Pas menggunakan konsep Islam yang syumul.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss pula menyifatkan Allahyarham merupakan antara tokoh yang dihormati oleh gerakan Islam luar negara.

“Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir terutamanya memanggilnya Maulana Harun Tayyib sebagai menghormati ilmu dan kepimpinannya,” katanya.

Katanya, allahyarham juga merupakan seorang ‘bapa’ yang banyak memberikan nasihat dan galakan kepada generasi muda supaya teguh dan kekal tawadduk dengan perjuangan Islam.

SINAR HARIAN ONLINE 26.1.14

No comments:

Post a Comment