Ad

Wednesday, 29 January 2014

'Kami cuma tidak bernasib baik'

 JOHOR BAHRU - Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menentang Lions XII dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin disifatkan pemain sebagai tiada nasib.

Pemain pertahanan JDT, Baihakki Khaizan berkata, skuad Harimau Selatan tidak bernasib baik dalam beberapa situasi dan ditambah pula semangat juang pasukan pelawat yang cukup tinggi.

"Kami sudah memperoleh dua gol, namun apa yang berlaku itu adalah bola sepak. Saya kenal pasukan (Lions XII) dan mereka bukan mudah untuk menyerah kalah, itulah sikap mereka.

"Saya harap kami dapat bangkit bagi mengharungi perlawanan akan datang," katanya.

Pada masa sama, bekas pemain Lions XII itu berharap pasukan JDT akan mempamer aksi terbaik ketika bertemu T-Team pada pusingan kedua Piala FA di sini Sabtu ini, sekali gus mencatatkan kemenangan.

"Keputusan seri itu diharap tidak melemahkan semangat pasukan kerana kami sudah memberi yang terbaik.

"Kami masih banyak perlawanan yang perlu ditempuhi, terus berfikiran positif, tidak perlu tunjuk siapa betul dan siapa salah kerana kita semua sudah cukup matang untuk terima segala keputusan," katanya.

Sementara itu, Amri Yahyah turut menyifatkan pasukannya tiada nasib dalam perlawanan kelmarin.

Bekas pemain Selangor itu berharap pasukannya melupakan kekecewaan itu untuk memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

"Semua pemain sudah memberikan yang terbaik, bukan hanya dalam perlawanan menentang Lions XII, tetapi dalam setiap perlawanan yang ditempuhi. Kini tumpuan perlu diberi kepada Piala FA kerana kami mahu melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

Jurulatih LionsXII, Fandi Ahmad pula begitu berpuas hati dengan tahap disiplin ditunjukkan anak-anak buahnya ketika menentang JDT yang pernah dibimbing legenda bola sepak Singapura itu.

Katanya, sukar apabila berdepan dengan sebuah pasukan seperti JDT selain bermain di hadapan puluhan ribu peminat yang memenuhi stadium.

"Kami terkejut apabila ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, namun saya gembira mereka mampu bangkit dengan setiap orang memberikan yang terbaik, ini bukan mudah.

"Saya perlu mengakui memang sukar, namun pujian perlu diberikan kepada pemain kerana bermain bersungguh-sungguh dengan penuh semangat untuk meraih mata," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140130/su_07/Kami-cuma-tidak-bernasib-baik#ixzz2rq6Sf1iP © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment