Oleh NURUL HUDA HASSAN dan
MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
sukan@utusan.com.my
Penyerang JDT, Luciano Figueroa
dikawal oleh tiga pemain Lions XII dalam perlawanan Liga Super di Johor Bahru
semalam, yang berkesudahan seri 2-2. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU - Pasukan pilihan,
Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri
apabila sekadar seri 2-2 menentang LionsXII pada saingan Liga Super di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam.
Bertambah mengecewakan, skuad
Harimau Selatan itu juga gagal mempertahankan kelebihan dua gol yang diperolehi
pada separuh masa pertama apabila barisan pemain muda Lions XII melakukan
kebangkitan bergaya dengan dua jaringan penyamaan pada babak kedua.
Perlawanan separuh masa pertama
di antara skuad kendalian Cesar Ferrando Jiminez dan Fandi Ahmad itu bermula
perlahan dengan tidak banyak percubaan menarik dilakukan oleh kedua-dua
pasukan.
Namun, giliran JDT terlebih
dahulu memecahkan kebuntuan apabila berjaya mendapatkan gol pertama menerusi
pemain importnya, Luciano Figueroa hasil lorongan cantik Pablo Aimar pada minit
ke 27.
Tersentak dengan gol
pendahuluan tuan rumah, kelab dari Singapura itu mula memperkemaskan rentak
mereka namun percubaan Khairul Amri Mohd. Kamal pada minit 32 hanya sekadar
melepasi palang.
Skuad Harimau Selatan tidak
perlu menunggu lama untuk menggandakan jaringan menerusi bekas pemain
antarabangsa Argentina, Pablo Aimar menerusi sepakan percuma menarik pada minit
ke 41 yang gagal dijangkau oleh penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.
Separuh masa kedua menyaksikan
anak-anak buah Fandi melakukan kebangkitan dramatik dan usaha keras mereka itu
membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan jurang melalui Khairul Amri pada
minit ke-67 yang menanduk kencang ke dalam gawang JDT.
Gol penyamaan Lions XII hadir
seminit kemudian hasil jaringan Muhd. Hafiz Abu Sujad yang mengambil kesempatan
daripada kelalaian pertahanan JDT sebelum merembat masuk tanpa dikawal oleh
mana-mana pemain
Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
kembali menemui rentak kemenangan selepas mengatasi Perak 1-0 hasil jaringan
Juan Manuel Arostegui pada minit ke-19 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang
dalam perlawanan yang dicemari insiden dua kad merah.
Mohd. Affize Faisal dari ATM
dan pemain import Perak, Kyaw Zayar Win, dilayangkan kad merah pada minit ke-88
apabila kedua-duanya terlibat dalam pergaduhan.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu mengalahkan pasukan adik, T-Team
dengan keputusan 2-0 bagi melonjakkan diri ke tangga teratas liga, berkongsi
kedudukan dengan pasukan Selangor.
Marcio Souza Da Silva meledak
jaringan sulung Terengganu pada minit ke-45 sebelum Ashaari Shamsuddin
memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga dengan gol pada minit
ke-59.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140129/su_02/Harimau-Selatan-sia-sia-peluang#ixzz2rmIQQoWP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment