Ad

Monday, 27 January 2014

Polis tolak penglibatan gereja

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my
 
SALAH satu kain rentang memaparkan kalimah Allah yang dipasang berhampiran sebuah gereja di Pulau Pinang, semalam.
BATU KAWAN 26 Jan. - Polis Pulau Pinang hari ini menyifatkan tindakan pihak tertentu memasang kain rentang yang tertera kalimah Allah sebagai provokasi melampau bagi membangkitkan kemarahan umat Islam.

Sambil menafikan penglibatan pihak gereja dalam perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya percaya pemasangan kain rentang itu bertujuan mewujudkan provokasi pihak-pihak tertentu terhadap isu berkenaan.

Katanya, polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan rondaan akan dipergiatkan di kawasan-kawasan terlibat khususnya di bandar raya Georgetown yang mempunyai kira-kira 40 buah gereja.

"Setakat ini tiga laporan polis telah diterima berhubung penggantungan kain rentang berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kita percaya kejadian ini tiada kaitan dengan pihak gereja tetapi didalangi pihak-pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha mewujudkan provokasi melampau," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Op Selamat peringkat negeri sempena cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Jumaat depan.

Awal pagi ini, penduduk di beberapa kawasan di negeri ini digemparkan dengan kain rentang yang digantung pihak tidak bertanggungjawab yang tertera perkataan Allah is great (Allah itu hebat) dan Jesus is the son of Allah (Jesus adalah anak lelaki Allah).

Penggantungan kain rentang berkenaan dilihat sengaja untuk menaikkan kemarahan umat Islam di negeri ini berhubung isu kalimah Allah yang sudah diputuskan mahkamah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di negara ini.

Tiga kain rentang berkenaan digantung masing-masing di perhentian bas berhadapan Gereja St. John Britto di Jalan Sungai Pinang, di bahagian luar pagar Gereje Assumption di Lebuh Farquhar dan di pagar Gereja The Immaculate Conception, Pulau Tikus, dekat sini.

Abdul Rahim berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (A) Akta Hasutan.

"Kita minta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan," ujarnya.

Terdahulu, selepas merasmikan Op Selamat peringkat negeri, beliau memberitahu statistik kemalangan di negeri ini meningkat empat peratus sepanjang tahun lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Peningkatan itu melibatkan jumlah kemalangan sebanyak 1,506 kes dan diharap dengan adanya Op Selamat ini jumlah kemalangan dapat dikurangkan terutamanya di musim-musim perayaan.

"Selain itu melalui Op ini kita sasar keselamatan di dua kawasan iaitu di jalan raya dan di kawasan perumahan. Kita mahu rakyat selamat ketika berada di jalan raya sehingga ke destinasi yang ditujui begitu juga selamat ketika berada di rumah dalam merayakan Tahun Baharu Cina," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140127/je_01/Polis-tolak-penglibatan-gereja#ixzz2raT60rrM © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment