SHAHRUL Ashraf Salehuddin (tiga
dari kiri) bersama kru Penyingkap Fakta ketika ditemui di Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
HANTU, pontianak, jembalang,
pelesit, langsuir, toyol dan bunian merupakan antara istilah yang sering
digunakan bagi merujuk kepada makhluk halus yang hidup di alam ghaib.
Mendengar istilah tersebut
sudah cukup menakutkan bagi kebanyakan masyarakat tetapi tidak bagi sekumpulan
individu yang dikenali sebagai Penyingkap Fakta (PF).
Ditubuhkan pada Julai 2011, PF
giat menjalankan tinjauan dan kajian terperinci di pelbagai lokasi yang didakwa
'keras' dan kerap berlaku gangguan atau penampakan makhluk halus.
Menurut salah seorang krunya,
Shahrul Ashraf Salehuddin, PF bukan kumpulan pemburu hantu tetapi melakukan
kajian paranormal dengan menggunakan peralatan tertentu bagi menyingkap fakta
sekali gus mendedahkan hasil siasatan.
Antara peralatan yang digunakan
adalah penyukat medan elektromagnetik, perakam audio parabola, jangka suhu,
kamera perakam pergerakan infrared, alat bantuan kecemasan, lampu dan 'walkie-talkie'.
"Kami terdiri daripada
pelbagai latar belakang kerjaya yang mempunyai kepakaran masing-masing dan yang
menyatukan kami adalah minat sama iaitu merakam audio dan video menggunakan
peralatan elektronik.
"Apa yang kami dedahkan
menerusi kajian paranormal adalah hasil tinjauan dan dapatan sebenar. Kami
tidak menggunakan istilah hantu, sebaliknya sesuatu penemuan itu disebut
sebagai entiti paranormal," katanya.
Tambahnya, amalan kurafat atau
kaedah yang memesongkan akidah adalah dilarang sama sekali digunakan semasa
kajian dilakukan.
Mengulas tentang lima tempat
paling berhantu di negara ini, katanya, terdapat faktor yang menyebabkan
sesebuah rumah atau kediaman itu sering kali didakwa berpuaka atau menyeramkan.
"Antaranya, rumah itu yang
dibiarkan kosong serta tidak berpenghuni sehingga menimbulkan perasaan tidak
enak dengan keadaan di sekelilingnya.
"Faktor seterusnya boleh
jadi disebabkan sejarah, kejadian misteri atau peristiwa pembunuhan yang pernah
berlaku di rumah berkenaan," ujarnya.
Pada hakikatnya, rumah atau
bangunan yang dibiarkan kosong dan kotor dalam tempoh lama akan menjadi
kediaman jin yang lazimnya menyukai benda yang kotor.
"Kebiasaannya manusia
tidak boleh melihat makhluk tersebut, namun makhluk itu boleh dilihat apabila ia
menyerupai rupa bentuk tertentu. Sebab itu, kadang-kadang apabila terpandang
sesuatu jelmaan, ada yang mendakwa ia hantu.
"Jika dilihat dari segi
pandangan Islam, Allah mencipta tiga jenis makhluk di atas muka bumi iaitu
malaikat, jin dan manusia. Justeru, entiti paranormal yang didakwa dilihat itu
tergolong daripada jin," katanya.
Berikutan faktor yang
mengundang pelbagai persoalan, maka tidak hairan mengapa lokasi berkenaan
dikatakan seram dan sering dikunjungi penggemar aktiviti paranormal.
Tambah beliau, rumah-rumah
berkenaan turut menjadi tumpuan mereka yang gemar melakukan aktiviti pemujaan
bagi menilik nasib atau mendapatkan nombor ramalan.
"Tujuannya tidak lain
tidak bukan adalah untuk meminta pertolongan daripada jin yang mendiami rumah
itu agar ditunaikan permintaan khususnya mereka yang ingin cepat kaya.
"Sebab itu, setiap kali
kajian dilakukan di rumah-rumah berkenaan, ada sahaja alat pemujaan seperti
colok, lilin serta buah-buahan ditemui. Bahkan ada yang turut menyajikan nasi
beserta lauk," katanya.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_01/Rumah-kosong-kotor-kediaman-jin#ixzz2rpjtwz4k© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment