Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my
Burung upeh di Kuala Gula kini
berdepan dengan ancaman kepupusan dipercayai akibat faktor persekitaran.
Mungkin segelintir pencinta
burung telah menyedari bahawa burung upeh yang dianggap unik ini diancam
kepupusan.
Burung ini sering ditemui di
Kuala Gula, Daerah Kerian Perak dan menjadikan kawasan tersebut sebagai
habitatnya dan dengan ancaman yang dihadapi, ia bagaikan satu mimpi mengerikan
bagi spesies tersebut
Sejak tahun 1980an lagi burung
tersebut telah dipantau perkembangannya namun, tinjauan yang dilakukan
baru-baru ini mendapati bilangannya semakin menurun.
Justeru, bagi menangani masalah
tersebut, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah
melancarkan usaha konservasi ke atas spesies burung tersebut.
Menurut Pegawai Hidupan Liar
Perhilitan, Rahmah Ilias, pada tahun 1998, Persatuan Pencinta Alam Malaysia
(MNS), bersama Zoo Negara dan Perhilitan telah menjalankan program Pengenalan
Semula dan Pembiakan Burung Upeh.
Zoo Negara juga telah
membekalkan tiga induk jantan dan tujuh induk betina yang kemudiannya
ditempatkan di Taman Alam Kuala Selangor dan diuruskan oleh MNS bagi tujuan
tersebut.
"Burung-burung ini telah
diletakkan di dalam sebuah sangkar yang besar di taman tersebut dan beberapa
cubaan membuat sarang telah direkodkan pada tahun 2002 dan 2003.
"Kemudian kita berjaya
menemui lima biji telur dan berjaya menetas. Namun ke semua anak burung
tersebut tidak berjaya sampai ke peringkat dewasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui pada program Kembara Bersama Media (KBM), Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar (NRE) di Kuala Gula, Perak, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, pada tahun
berikutnya ke semua burung tersebut telah terlepas dan hidup di sekitar Taman
Alam sehingga ke hari ini.
Bertitik tolak daripada usaha
tersebut, sekali lagi pihak Zoo Negara dan Perhilitan menganjurkan program
pembiakan dan pengenalan semula spesies burung upeh di Kuala Gula.
Pada 4 Mac 2007, Perhilitan dan
Zoo Negara telah menjalankan program pelepasan semula burung upeh sejumlah
lapan ekor iaitu empat jantan dan empat betina.
Burung-burung tersebut
dibiakkan di dalam Zoo Negara sebelum diserahkan kepada Perhilitan untuk diasuh
agar mampu berdikari di habitat liar.
Antara asuhan yang diberikan
kepada burung-burung tersebut adalah latihan pemakanan yang mana spesies unggas
itu diberi ikan hidup secara kerap.
Jelas Rahmah, pada peringkat
awal spesies unggas itu tidak memakan ikan hidup berikutan ia biasa diberikan
ikan mati, lama kelamaan ia mula membiasakan diri.
Apabila burung-burung itu
dilihat mampu untuk mencari makanan sendiri, ia dilepaskan ke sekitar Kuala
Gula.
Setelah dilepaskan,
burung-burung tersebut akan dipantau oleh Perhilitan menggunakan kaedah radio
telemetri untuk mengetahui kawasan keliaran dan pergerakan populasi baru yang
telah dilepaskan.
Program pelepasan tersebut akan
terus dijalankan sehingga populasi yang stabil diwujudkan semula di Kuala Gula.
Projek selama lima tahun
tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 100 ekor burung upeh dibiakkan dan
sehingga kini hampir 36 ekor telah dilepaskan.
Pemantauan yang dilakukan
selepas enam bulan program pelepasan dijalankan mendapati burung, tersebut
telah mula bersarang.
Seterusnya pada Jun 2010,
pemantauan yang dilakukan menemui beberapa sarang dan pada Ogos tahun yang sama
terdapat beberapa ekor anak burung telah ditemui.
Ia sekali gus menunjukkan
bahawa program pelepasan tersebut perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi
memastikan kestabilan bagi bilangan spesies burung upeh terus berkekalan.
Biarpun terdapat usaha membiak
dan melepaskan semula burung tersebut di kawasan yang sama namun masih terlalu
banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan objektif usaha tersebut berjaya
dicapai.
Sementara itu, menurut Ketua
Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr.
Ahmad Ismail, program pengenalan semua sesuatu spesies burung itu perlu
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin kejayaan program
tersebut.
"Banyak perkara perlu
diambil perhatian sepenuhnya ketika keputusan untuk melaksanakan program
pengenalan semula burung upeh ini.
"Antaranya adalah keadaan
persekitaran habitat, keadaan burung, adaptasi burung, penerimaan masyarakat
setempat serta pelbagai lagi faktor," ujarnya ketika di temui baru-baru
ini.
Dr. Ahmad yang juga merupakan
ahli majlis MNS berkata, burung upeh yang dibiakkan di dalam kurungan tidak
memiliki kemahiran untuk hidup di habitat liar.
Justeru, burung upeh memerlukan
masa untuk menyesuaikan diri keadaan habitat sebenar bagi memudahkannya untuk
mencari makan, membiak seterusnya tidak pupus.
Katanya, beberapa program
pelepasan burung upeh telah dijalankan di Kuala Gula sebelum ini namun program
tersebut pada peringkat awalnya tidak menunjukkan keputusan yang
memberansangkan.
"Malah ada sesetengah
burung upeh ini hilang tanpa dapat dikesan, berkemungkinan mati akibat
ditangkap penduduk setempat mahupun diserang haiwan pemangsa," katanya.
Ini kerana burung upeh yang
baru dilepaskan masih belum mampu berdikari untuk mencari makanan sendiri malah
amat jinak kepada manusia berikutan ia mengenali manusia sejak kecil.
Kajian yang dilakukan oleh Dr.
Ahmad bersama beberapa penyelidik dari UPM mendapati penduduk setempat masih
lagi tidak memahami kepentingan konservasi burung tersebut.
"Hampir 47 peratus
penduduk yang ditemubual di Kuala Gula ini menyatakan mereka tidak memahami
konsep dan usaha konservasi yang sedang dilakukan di sana.
"Kita sudah buat kajian
demografik berdasarkan pelbagai kaum dan mendapati mereka tidak memperolehi
maklumat yang tepat dalam usaha konservasi burung upeh," ujarnya.
Sehingga kini beliau bersama
beberapa penyelidik dari UPM masih menjalankan kajian dan pemerhatian terhadap
burung upeh berbekalkan dua dana geran yang telah diperolehinya.
Dana geran tersebut
disumbangkan oleh Perhilitan dan daripada Skim Geran Universiti Penyelidikan
(RUGS) telah dikhaskan untuk melakukan penyelidikan burung upeh atau lebih
mudah dikenali dengan nama Milky Stork.
Kajian yang perlu dilakukan
pada peringkat seterusnya adalah berkenaan tahap kemandirian (survival) ,
kebolehan beradaptasi dengan dunia luar, gangguan habitat yang sedang melanda
kawasan Kuala Gula.
Sambil melahirkan rasa
kecewanya, Dr. Ahmad menegaskan pembangunan, perladangan serta penerokaan
kawasan hutan paya bakau yang giat dilaksanakan sekitar Kuala Gula mampu
memberi impak negatif kepada burung upeh.
Biarpun kejayaan demi kejayaan
dilakarkan menerusi program pembiakan ex-situ di Zoo Negara bagi mengembang
biak burung upeh, namun realitinya kadar kemandirian burung tersebut di habitat
asal amat rendah akibat faktor-faktor tersebut.
"Kita masih boleh menemui
burung-burung tersebut di sana (Kuala Gula) namun ia tidak membiak seperti yang
diharapkan kerana sukar untuk mencari habitat yang benar-benar sesuai untuk
bersarang.
"Burung ini sangat unik,
malah tempat untuk ia bersarang pun memerlukan kriteria yang tertentu,
ketinggian tertentu, cabang atau dahan yang sesuai," katanya.
Terdapat beberapa usaha telah
dilakukan membina sarang tiruan telah dilakukan namun ia tidak berjaya menarik
perhatian burung untuk bersarang.
Ditambah pula dengan faktor
kawasan hutan yang semakin mengecil akibat aktiviti pertanian.
Contohnya terdapat beberapa
kawasan paya bakau yang mati akibat pembuangan air tawar daripada kawasan
takungan air tawar di dalam kawasan pertanian secara berlebihan.
"Apabila tahap kemasinan
air paya bakau berubah dan menurun secara mendadak, pokok-pokok yang terdapat
di sekitarnya tidak dapat bertahan lalu mati.
"Kematian pokok-pokok yang
menjadi habitat dan kawasan kediamannya sekali gus menjejaskan kadar survival
burung-burung tersebut," katanya.
Selain itu, pokok-pokok yang
telah mati menjadikan kawasan tersebut lapang seterusnya menyebabkan burung
upeh mudah terdedah kepada pemangsa ketika mencari makan di sana.
Beliau turut mengutarakan
cadangan agar diadakan kawasan pembiakan khas (in-situ) di Kuala Gula bagi
memudahkan burung upeh untuk beradaptasi di kawasan tersebut.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Impak_Alam/20120625/al_01/Populasi-burung-upeh-kian-terancam#ixzz2rsV9eyBg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment