PEMUSNAHAN habitat adalah
antara faktor menyebabkan kepupusan tapir.
KUALA LUMPUR 27 April -
Masyarakat di Malaysia rata-ratanya tidak menyedari haiwan tapir atau dikenali
sebagai 'gajah kerdil' kini semakin pupus di muka bumi.
Sehubungan itu, Zoo Negara
mengambil inisiatif dengan meraikan Hari Tapir Sedunia yang disambut pada 27
April setiap tahun sebagai langkah untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat
mengenai haiwan unik itu.
Timbalan Pengarah Zoo Negara,
Dr. Muhammad Danial Felix berkata, kesedaran untuk melindungi haiwan yang
semakin pupus itu adalah penting bagi menjamin kesinambungan spesiesnya.
Menurutnya, terdapat empat
spesies tapir di dunia dan 'Malayan Tapir' yang hanya dapat ditemui di Asia
merupakan spesies terbesar di dunia.
"Bilangan tapir semakin
merosot disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya ialah habitat asal
dimusnahkan untuk tujuan pembangunan, sekali gus mengganggu proses pembiakan
dan akhirnya menyumbang kepada kepupusan," katanya ketika ditemui di Zoo
Negara, dekat sini hari ini.
Muhammad Danial berkata,
menerusi program yang diadakan sempena sambutan tersebut, pengunjung
terutamanya golongan muda sedikit sebanyak dapat didedahkan dengan pelbagai
maklumat menarik mengenai haiwan itu.
Katanya, sambutan yang akan
berlangsung selama tiga hari bermula hari ini akan menganjurkan beberapa
aktiviti seperti pameran tapir, sesi memberi makan, dan ceramah mengenai
ekosistem haiwan tersebut.
"Kami di Zoo Negara
memandang serius mengenai kebajikan haiwan terutamanya spesies yang hampir
pupus.
"Usaha memupuk kesedaran
dalam kalangan masyarakat bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia melibatkan
pelbagai cabaran seperti tahap pemikiran, keadaan persekitaran dan
sebagainya," ujarnya.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Impak_Alam/20120428/al_01/Tapir-makin-pupus#ixzz2rsWh99No
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment