Ad

Wednesday, 29 January 2014

Misteri atau spekulasi?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
 
Pembunuhan Kennedy.
DI sebalik keghairahan penduduk dunia ingin mengetahui kisah pembunuhan John F. Kennedy sehinggalah kepada kematian Puteri Diana, tanpa mereka sedari bahawa kisah-kisah tersebut mempunyai teori konspirasi tersendiri.

Akhbar The Telegraph, melalui rencana bertajuk The 30 greatest conspiracy theories atau 30 teori konspirasi terbesar mendedahkan, pelbagai teori konspirasi termasuk penemuan bangkai piring terbang UFO di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS) pada 1947 hinggalah kepada peristiwa pendaratan angkasawan pertama di bulan, selain kisah kematian Elvis Presley.

Teori konspirasi atau teori persekongkolan cuba menjelaskan suatu rancangan rahsia oleh sekelompok orang atau organisasi yang sangat berkuasa atau berpengaruh ke atas mangsa atau serangkaian peristiwa (pada umumnya politik, sosial atau sejarah).

Politik

Banyak teori konspirasi mendakwa peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah telah di dominasi oleh para konspirator belakang tabir yang memanipulasi kejadian-kejadian politik.

Pengikut teori itu pula terbahagi kepada dua. Kelompok pertama, mereka yang hanya percaya bahawa segala hal mungkin terjadi apabila ada dokongan alasan yang kuat, fakta tepat, data ilmiah, pendapat yang boleh disahkan kebenarannya, tokoh-tokoh yang nyata, sejarah yang memang wujud dan bukan mitos dan sebagainya.

Kelompok ini percaya John F. Kennedy sebenarnya tidak ditembak, tetapi diselamatkan oleh makhluk angkasa lepas.

Kelompok kedua ialah mereka yang percaya bahawa apa yang berlaku sudah dirancang sedemikian rupa, yang sering kali dikaitkan dengan mitos, legenda, kuasa ghaib dan sebagainya.

Misalnya, mereka percaya bahawa peristiwa 11 September 2001 sudah dirancang sebagaimana yang terlihat pada lipatan wang kertas AS$20 apabila kita melipat wang itu sedemikian rupa akan tercipta gambaran menara berkembar World Trade Centre yang terbakar.

John F. Kennedy ditembak pada Jumaat , 22 November 1963 di Dallas, Texas pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau mati kerana mengalami kecederaan teruk akibat tembakan peluru ketika berada di dalam kereta bersama konvoi yang mengiring Kennedy dan isterinya, Jacqueline Kennedy.

Tempoh penyiasatan selama sepuluh tahun yang melibatkan pihak Suruhanjaya Warren (Warren Commission) pada tahun 1963 sehingga 1964, Jawatankuasa Pilihan Dewan Senat Amerika Mengenai Pembunuhan (1976-1979) dan beberapa badan penyiasatan kerajaan menyimpulkan bahawa Kennedy telah dibunuh oleh Lee Harvey Oswald.

Pun begitu, suspek utama pembunuhan ini tidak sempat dibicarakan kerana telah dibunuh oleh Jack Ruby semasa suspek masih dalam siasatan polis.

Keraguan mengenai penjelasan rasmi mengenai suspek utama pembunuhan ini iaitu Oswald masih lagi tidak jelas. Oswald dikesan menembak Kennedy dari Texas Book Depository di Plaza Dealey. Rakaman gambar berkaitan konvoi yang mengiring Kennedy sejurus sebelum dia ditembak telah diambil oleh Abraham Zapruder pada pukul 8 pagi, hari pembunuhan Kennedy.

Rakaman gambar tersebut menjelaskan bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat das tembakan telah dilepaskan ke arah Kennedy dan ini sekali gus bercanggah dengan dakwaan Suruhanjaya Warren yang menyatakan hanya terdapat tiga das tembakan. Detik-detik yang terkandung dalam rakaman gambar tersebut juga membayangkan bahawa tembakan tidak hanya datang dari satu sudut sebaliknya kejadian tersebut seolah-olah memperlihatkan terdapat lebih seorang penembak. Bukti ini turut disokong oleh beberapa saksi kejadian ketika itu. Ramai yang percaya dengan anggapan bahawa beberapa das tembakan terjadi di sebalik himpunan orang ramai yang berpiket di sebalik plaza tersebut.

Pada tahun 1979, Jawatankuasa Pilihan Dewan Senat Amerika mengenai pembunuhan itu mendapati laporan siasatan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Suruhanjaya Warren mengalami keraguan yang nyata dan ketara. Jawatankuasa tersebut juga menyimpulkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat das tembakan yang wujud dan memungkinkan wujudnya konspirasi. Namun, kajian terkini telah dijalankan bagi melihat kesahihan fakta tersebut yang turut melibatkan Akademi Sains Kebangsaan.

Kejadian yang mengemparkan lebih separuh abad lepas ialah berkaitan teori konspirasi penemuan piring terbang milik makhluk asing (undidentified flying objects) UFO. Kejadian tersebut berlaku di Roswell, New Mexico pada 7 Julai 1947. Pihak pentadbir AS menjelaskan bahawa benda tersebut bukan UFO tetapi sekadar objek berbentuk piring terbang. Saksi pula memberikan pandangan yang berbeza mengenai kejadian ini.

Ada yang mengatakan melihat serpihan besi berselerak jatuh ke bumi dan ada juga yang menyaksikan letupan besar di udara sebelum objek tersebut terhempas ke tanah. Beberapa tahun kebelakangan ini, ada saksi mendakwa sejumlah askar telah dilatih untuk berdepan dengan makhluk asing itu. Pada tahun 1989, bekas pemilik syarikat pemakaman, Glenn Dennis mendakwa dia terlibat dengan bedah siasat makhluk asing yang dibawa dari tapak Roswell.

Teori konspirasi ini telah menjadi bualan hangat sehingga diubahsuai ceritanya oleh pihak tentera AS.

Namun kejadian ini disangkal oleh pihak AS kerana mereka mendakwa bahawa kejadian tersebut tidak melibatkan makhluk asing. Sebaliknya ia kejadian yang melibatkan alat kaji cuaca yang jatuh ke bumi. Laporan yang dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Tentera Udara AS pada 1995, menyimpulkan bahawa kejadian pada 1947 itu melibatkan sebuah projek rahsia kerajaan yang dikenali sebagai Projek Mogul.

Projek itu melibatkan pesawat atau ballon yang digunakan untuk mengesan ancaman bom atom dan juga peluru berpandu oleh pihak Kesatuan Soviet.

Benarkah terdapat kuasa misteri yang menyebabkan kapal dan pesawat hilang di Segi Tiga Bermuda atau ini hanya satu lagi teori dirancang ?

Terletak di bahagian barat Lautan Atlantik Utara, Segi Tiga Bermuda meliputi kira-kira 500,000 batu persegi perairan kawasan Bermuda, Florida dan Puerto Rico.

Mungkin kehilangan sebilangan kapal di kawasan tersebut ada kebenarannya tetapi penjelasan kehilangan tersebut menimbulkan pelbagai teori konspirasi.

Teori ini mengatakan ada pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kehilangan tersebut. Ada yang mengatakan makhluk luar angkasa harus dipersalahkan, manakala yang lain mengatakan kawasan ini ialah sebahagian Atlantis yang hilang.

Misteri Segi Tiga Bermuda sebenarnya wujud sejak zaman Cristopher Columbus mengembara di lautan pada tahun 1492. Dalam catatan beliau, dikatakan ada beberapa kejadian ganjil berlaku kawasan ini.

Namun secara umum, Segi Tiga Bermuda menjadi legenda dunia pada tahun 1950 apabila seorang wartawan, Edward Van Winkle Jones menulis sebuah artikel tentang hilangnya sejumlah pesawat dan kapal secara misteri pada akhir tahun 1940-an.

Menurut teori konspirasi, wang maya yang melibatkan kad kredit dan debit telah dicipta oleh ‘kumpulan rahsia’ yang merancang untuk menguasai dunia.

Rancangan ini diwujudkan untuk menghapuskan kertas dan mata wang syiling supaya rakyat bergantung sepenuhnya kepada perbankan elektronik. Apabila matlamat ini berjaya dicapai , ‘kumpulan rahsia’ akan menyebabkan blackout elektronik di seluruh dunia dan pada masa yang sama akan memadam maklumat akaun bank semua orang. Ini sekali gus mewujudkan keadaan huru-hara dan panik.

Teori konspirasi ini melibatkan dakwaan bahawa angkasawan Apollo tidak mendarat di bulan . Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah menyebarkan berita dan mengesahkan kapal angkasa Apollo telah mendarat di bulan melalui pelbagai bahan bukti seperti gambar, telemetry tape, transmisi video dan batu.

Namun, orang ramai terus beranggapan bahawa peristiwa ini hanyalah helah pihak NASA . Melalui gambar ketika kapal Apollo mendarat di bulan pelbagai komen dilontarkan. Misalnya, permukaan bulan menunjukkan sebuah kerusi di sebalik batu gambar bendera Amerika yang dipacak itu bergerak dalam arah yang pelik, kurangnya bintang di persekitaran bulan dan bayang-bayang angkasawan dalam arah yang berbeza.

Pada tahun 1974, Bill Kaysing menerbitkan sebuah buku berjudul We Never Went to the Moon: America’s Thirty Billion Dollar Swindle. Buku ini mengatakan bahawa Amerika telah memalsukan pendaratan di bulan. Namun kita semua maklum bahawa teori ini tidak benar dan akhirnya ia berlalu dengan sendiri .

Kisah kemunculan wabak AIDS atau Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit yang disebabkan virus HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang kononnya dicipta, sebenarnya sinonim dengan filem-filem antarabangsa yang mengisahkan bagaimana sesuatu virus itu sengaja dicipta. Begitu juga dengan HIV yang dikatakan dicipta secara genetik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1974. Teori Dr. William Campbell Douglass mengatakan virus itu direka oleh WHO. Ada juga yang berpendapat virus tersebut direka untuk menghapus etnik Afrika.

Sebenarnya, HIV/AIDS ialah penyakit yang mula dikenal pasti secara tepat pada era 1980-an. Virus ini mula dikesan apabila kebanyakan lelaki homoseksual dari California dan New York menghidap sejenis penyakit aneh serta kanser yang sukar dirawat. Pada masa itu, AIDS masih belum diberi nama.

Pada tahun 1982, pegawai perubatan menggunakan istilah Acquired immunodeficiency syndrome atau AIDS untuk menerangkan jangkitan-jangkitan luar biasa ini.

Hasil daripada kajian, saintis percaya virus tersebut berasal daripada sesuatu yang tiada kaitan langsung dengan manusia.

Bagaimanapun, pada tahun 1999 sekumpulan pengkaji dikatakan telah menjumpai punca virus AIDS yang dikatakan berasal daripada Cimpanzi di Afrika.

Terdapat juga beberapa bukti lain yang menunjukkan bahawa jangkitan AIDS telah wujud sejak 1957. Menurut Dr. Hillary Koprowski yang pernah menjalankan suntikan polio kepada rakyat Afrika, bahawa satu uji kaji serum menggunakan tisu ginjal monyet yang dijangkiti virus telah dijalankan dan ia menunjukkan keputusan yang hampir sama dengan AIDS.

Serum ujian itu dinamakan SV40 yang dipercayai boleh menyerang dan menghancurkan sistem ketahanan badan manusia.

Dalam satu pertuduhan, Dr. Koprowski mengaku telah mengendalikan pelaksanaan suntikan polio, namun dia menolak tuduhan terlibat dalam penciptaan virus AIDS.

Bagaimanapun, bukti-bukti menunjukkan bahawa permulaan virus AIDS ialah di Afrika Tengah, tempat pertama bermulanya vaksin polio kepada kira-kira 300,000 orang Afrika pada tahun 1957 hingga 1960 oleh Dr. Koprowski.

Namun, sehingga ke hari ini, masih tiada bukti kukuh yang dapat menjelaskan bahawa AIDS ialah ‘rekaan’ pihak tertentu.

Malangnya, ada pihak-pihak tertentu yang tidak mahu ‘mencipta’ vaksin yang mampu menyembuhkan AIDS hinggakan orang bukan sasaran turut menjadi mangsa.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140119/re_12/Misteri-atau-spekulasi?#ixzz2rqouJJ6E © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment