Pengunjung Jambatan Victoria di
Padang Rengas, Perak, tidak melepaskan peluang bergambar sewaktu dilancarkan
sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, baru-baru ini. - BERNAMA
PADANG RENGAS 19 Jan. - Pusat
Pelancongan Jambatan Victoria sedang meningkatkan pelbagai kemudahan asas termasuk
tempat letak kereta dan kawasan rehat di jambatan kereta api Victoria berusia
113 tahun dan tertua di negara ini.
Pengarahnya, Siti Norlizawati
Narawi berkata, langkah itu merupakan usaha pihaknya bagi menarik kehadiran
lebih ramai pelancong sama ada dari dalam atau luar negara ke tarikan
pelancongan terbaru di daerah ini.
Sebagai permulaan, katanya, 20
anak pokok ditanam di kawasan berkenaan baru-baru ini oleh Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Chenderoh, Zainun Mohd. Noor.
"Dalam usaha mempromosikan
jambatan ini, kita sentiasa merancang pelbagai program termasuk pameran
motosikal, aktiviti kebudayaan dan kesenian.
"Kita juga merangka
beberapa program bagi mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar agar lebih
cantik dan menarik untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini," katanya
ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Siti Norlizawati berkata, sejak
dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri
Abdul Aziz pada 12 Januari lalu, jambatan tersebut mula mendapat perhatian
ramai.
Katanya, dalam tempoh terdekat
80 pelancong dari Sweden akan berkunjung ke pusat pelancongan itu dan persiapan
sedang dijalankan termasuk mengadakan kenduri kampung bagi menyambut rombongan
berkenaan.
"Pusat Pelancongan
Jambatan Victoria juga akan menerima pelancong dari Ghana, Perancis dan Sweden
yang ingin melihat keistimewaan Jambatan Kereta Api Victoria ini dari dekat.
"Beberapa agensi
pelancongan yang dilantik memaklumkan telah menerima permohonan daripada
pelancong yang menyatakan hasrat mereka mengunjungi jambatan yang mempunyai
sejarah tersendiri ini," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140120/dn_25/Jambatan-Victoria-bakal-tarik-ramai-pelancong-luar#ixzz2rqnHBlol
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment