Oleh Ridzuan Abdul Rahman
Penyingkiran kumpulan SYJ yang
dianggotai Shuk, Yassin dan Jihan dari saingan minggu ke-11 Maharaja Lawak Mega
2013 sememangnya sudah diduga penonton.
Berbanding kumpulan lain,
mereka saban minggu menduduki tiga kedudukan terbawah atau ‚bottom three‘.
Selepas berhempas pulas
berusaha menampilkan idea-idea komedi, mereka terpaksa akur apabila akhirnya
ditunjukkan jalan keluar dalam saingan yang berlangsung di Dewan Wawasan,
Jitra, Kedah, Jumaat lalu.
Walaupun berjaya menggeletek
juri dan penonton dalam segmen Karoot Komedia, mereka gagal membuktikan
kehebatan berlawak menerusi tema ‚silent comedy‘ yang sukar difahami penonton.
AKSI terakhir SYJ dalam
Maharaja Lawak Mega.
Jihan berkata, setiap minggu
SYJ sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Namun, mereka berpuas hati
kerana dapat menampilkan idea terbaik kepada peminat dan juri.
“Tak dinafikan perasaan
terkejut tetap ada apabila diumumkan terkeluar. Cuma kami faham SYJ adalah
kumpulan baru berbanding kumpulan lain yang sudah ada kelompok peminat
tersendiri. Apabila masuk saja dalam kelompok Top 6, persaingan memang amat
sengit.
“Kami cuba buat eksperimen
dengan tampilkan sketsa kartun dalam ‘silent comedy’, malangnya kurang difahami
ramai. Apapun berada dalam MLM sangat bermakna kerana memberikan pengalaman
baru dalam karier kami,” katanya.
Menurutnya, walaupun SYJ
bersifat projek khas dan mereka tidak pernah bersama dalam mana-mana
persembahan sebelum ini, perjuangan sehingga ke peringkat suku akhir sudah
cukup membuktikan keserasian mereka berlawak bersama.
“Saya tetap gembira kerana
mampu bertahan sehingga tahap ini. Sepanjang terbabit dalam MLM, kami terpaksa
tolak banyak tawaran lain kerana tumpukan perhatian untuk bertanding. Sekarang
sudah sampai masanya untuk sambung semula kerja dalam bidang seni.
“Saya sekarang terbabit sebagai
penyampai Carta Fulamak Sinar bersama Shahrol Shiro yang bersiaran setiap pagi
Sabtu. Kami digandingkan untuk tempoh percubaan selama dua minggu kerana
selepas ini akan ada slot sendiri. Sekiranya ada tawaran persembahan bersama
SYJ, saya takkan menolak,” katanya.
Seperti Jihan, Shuk juga kini
bergelar penyampai ERA setiap pagi Sabtu bergandingan dengan Sasha Al Khred.
“Syukur peluang untuk saya
makin terbuka luas. Saya juga semakin fokus dengan bidang seni dan mungkin
selepas ini saya akan terbabit dengan program Skool Of Lawak juga terbitan
Astro. Saya juga akan terbabit dengan program Lawak Utagha The Musical di Universiti
Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 16 Februari nanti,”katanya.
Yassin pula berkata, dia akan
terus berlawak dengan mana-mana pasangan, namun keutamaan tetap diberikan
kepada SYJ.
“Walaupun sibuk dengan MLM,
saya sempat lagi berlakon filem Kawanku Mati Dalam Rumah Sewa yang turut
menampilkan Bocey. Menerusi MLM, peminat dapat lihat saya masih bernyawa dalam
industri seni,” katanya.
Apapun, program yang pertama
kali berlangsung di Kedah ini meninggalkan kenangan tersendiri kerana mendapat
sambutan hebat dengan kehadiran kira-kira 3,500 penonton. Ruang dewan yang
terhad juga menyaksikan ada sebahagian penonton terpaksa menonton menerusi
skrin besar yang disediakan di luar.
Bahkan, program ini turut
mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudi meluangkan
masa untuk menonton dan bermesra dengan peminat yang hadir.
Maharaja Lawak Mega minggu
ke-12 akan berlangsung dari Johor Bahru, Jumaat ini.
Ketua Kumpulan Saluran Premium
Astro, Nizam Sani berkata, keputusan untuk mengekalkan sama ada lima peserta
yang masih kekal untuk ke final atau menyingkirkan sebuah lagi kumpulan hanya
akan diketahui pada persaingan malam itu di Johor Bahru.
“Kami memang sengaja hasilkan
format ini supaya peminat tak boleh agak apa yang akan berlaku. Ini juga
membawa maksud agar peserta tak rasa selesa dan bersikap sambil lewa ketika
bertanding nanti.
“Saya boleh katakan persaingan
semakin hebat dan perbezaan peratus setiap kumpulan sangat sengit. Sesiapa yang
tak ‘perform’ pasti akan terkeluar nanti,” katanya yang memberitahu peserta
dikehendaki membuat dua persembahan.
Shuib akhirnya puas
Saingan MLM sebelum ini
mengiktiraf Jepp dan Rahim daripada Sepahtu sebagai sebagai peserta paling
menyerlah atau ‚man of the match‘. Kali ini tuah menyebelahi Shuib apabila
diumumkan memenangi gelaran itu.
Bagaimanapun segelintir pihak
melihat anugerah yang dimenangi ini berdasarkan rasa kasihan ramai pihak
memandangkan Sepahtu menggunakan subjek ini dalam persembahan mereka.
Menjawab perkara ini Shuib
berkata, dalam berlawak apa saja bahan boleh digunakan asalkan tidak
menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Dalam berlawak, kita tak perlu
ajar untuk faham. Apa saja bahan yang berguna, saya akan gunakan. Tak salah
untuk guna ‘point’ berkenaan isu kereta yang dimenangi dan ‘man of the match’.
Saya tahu kemenangan saya akan dikaitkan dengan perkara ini.
“Sebelum ini pun ada yang tanya
saya juga. Saya sendiri tak pasti sama ada kemenangan ini kerana dasar simpati
atau apa. Cuma yang diharapkan dengan adanya anugerah ini, saya dan anggota
Sepahtu akan buat yang terbaik untuk persembahan seterusnya,” katanya.
Sememangnya persembahan setiap
peserta malam itu boleh dianggap menghiburkan. Paling mencuit hati ialah
persembahan Jambu yang mengenakan barisan juri termasuk Datuk Yusof Haslam
sebagai pemandu. Biarpun dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak, Yusof mengakui
tidak ambil hati.
“Ini adalah program lawak dan
kita tak boleh emosi. Jambu sangat bijak berlawak dan saya sudah dapat agak
mereka akan kenakan saya. Sebagai juri saya tak ambil serius perkara ini. Ia
bukan bawa maksud saya dihina. Ia konsep lawak yang bijak dan boleh digunakan
dalam berlawak.
“Saya sebenarnya rasa seronok
apabila terbabit dalam program ini kerana dapat lepaskan tekanan. Ramai yang
sebelumnya ingat saya serius tapi rupanya tidak. Tak dinafikan populariti saya
juga meningkat sejak terbabit dalam MLM sehingga ke mana-mana pun orang
menegur,” katanya.
Terus kekal bersaing pada
minggu depan ialah Shiro, Sepahtu, Jambu, Bocey dan Nabil.
No comments:
Post a Comment