Oleh Azizan Hashim
Ipoh: Perak mendakwa pemain
tengah, Kyaw Zayar Win yang dilayangkan kad merah ketika menentang Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) di Stadium MP Selayang, Selasa lalu tidak bersalah.
Justeru pengurus pasukan Bos
Gaurus, Datuk Azhar Ahmad meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya
meneliti semula keputusan yang dibuat demi mengembalikan integriti sukan itu.Zayar Win digantung dua
perlawanan serta didenda RM1,500 kerana mengutip kad merah pada minit ke-89
perlawanan yang menyaksikan Perak tumpas 0-1 itu.
Azhar berkata, beliau diarahkan
kepimpinan negeri supaya membuat rayuan kepada FAM terhadap hukuman
penggantungan itu.
ZAYAR Win (kanan) digantung dua
perlawanan serta denda RM1,500.
“Secara peribadi saya rasa
Zayar Win tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia jatuh selepas ditampar pemain
lawan dan bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum mengemukakan pertanyaan
kepada pengadil, Shamsuddin Ibrahim. Sebaliknya dia pula yang dilayangkan kad
merah.
“PAFA bukan hendak mencari
salah pengadil atau mengecam pegawai perlawanan. Sebaliknya kami mahu mencari
keadilan serta melaporkan kepincangan itu kepada FAM seperti yang dimahukan
badan induk bola sepak negara itu.
“Saya yakin pegawai FAM yang
berwibawa mampu membuat keputusan rasional. Jadi jika berlaku sebarang
kesilapan saya berharap mereka akan mengubahnya demi memperbetulkan keadaan,”
katanya.
Selain kontroversi kad pemain
tengah itu, Azhar berkata gol Juan Manual Arostegui pada minit ke-18 itu juga
meragukan dan berharap jawatankuasa berkenaan akan membuat penilaian.
“Biarlah mereka yang arif dan
berwibawa membuat keputusan mengenai gol itu. Ada pelbagai andaian mengenainya
setakat ini.
“Jika ada kesilapan pengadil
biarlah jawatankuasa itu membuat pembetulan. Dengan cara ini pengadil kita akan
dapat diperbetulkan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
2014/01/31
No comments:
Post a Comment