Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak meninjau harga
barang keperluan harian di pasar raya Econsave Balakong dekat Cheras, semalam.
- UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan
melancarkan kempen penurunan harga barang antara 15 hingga 70 peratus secara
serentak di seluruh negara sebagai bukti komitmen dalam menangani masalah kos
sara hidup yang kini membelenggu rakyat.
Penurunan harga itu melibatkan
sehingga 4,000 jenis produk keperluan harian terutama makanan segar, makanan
sejuk beku, makanan kering, makanan dalam tin, produk bayi dan kanak-kanak,
minuman serta produk bukan makanan.
Kempen enam bulan itu dirasmikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan melibatkan penyertaan 10 pasar
raya iaitu, Econsave, AEON, Mydin, NSK, 99 Speedmart, AEON BIG, Segi Fresh
Mart, Giant, KK Mart dan Tesco.
Dalam ucapan perasmiannya,
Najib berkata, kempen itu sebahagian pendekatan kerajaan bagi menangani masalah
peningkatan kos sara hidup walaupun dalam sesetengah isu, kenaikan harga barang
berada di luar kawalan pihak berkuasa.
"Kempen ini turut
membabitkan lebih 741 cawangan pasar raya yang terlibat dan sudah tentu dengan
pengurangan sehingga 70 peratus harga barang akan memberi lebih banyak pilihan
kepada pengguna.
"Bagi pihak kerajaan, kita
mengambil tanggungjawab ini untuk membantu rakyat menangani masalah kos sara
hidup dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang terlibat dalam
kempen ini," katanya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek
serta timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Terdahulu, Najib meluangkan
masa kira-kira sejam meninjau harga barang keperluan harian di Econsave
Balakong serta AEON Cheras Selatan.
Dalam perkembangan yang sama,
beliau berkata, kerajaan menggunakan empat pendekatan dalam menangani masalah
kos sara hidup dengan salah satu daripadanya ialah menjalinkan kerjasama dengan
pihak peniaga untuk menurunkan harga.
Selain itu, Perdana Menteri berkata,
kerajaan juga memperbanyakkan program bersifat kemahiran tambahan kepada rakyat
agar mereka mampu menikmati pendapatan lebih tinggi serta turut memperkenalkan
penetapan gaji minimum.
Kerajaan juga, katanya,
mengambil pendekatan mempelbagaikan bantuan kepada rakyat dan mengarahkan
tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140130/dn_02/Kempen-turun-harga-70-peratus#ixzz2rphPzIlm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment