Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
EYIN (kiri) berharap Tahun Kuda
pada tahun ini membawa lebih banyak tuah dalam kariernya sebagai atlet wusyu
negara.
PENYUMBANG pingat emas Sukan
SEA ke-1000 negara, Phoon Eyin berharap Tahun Kuda bagi sambutan Tahun Baru
Cina kali ini akan membawa tuah baginya untuk tersenarai dalam skuad negara
pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan September depan.
Walaupun sedar dengan harapan
yang bakal dihadapi selepas mempamerkan aksi mempesonakan ketika memenangi
acara qiangshu di Myanmar Disember lalu, srikandi wusyu itu juga berharap dapat
mengulangi skrip tersebut pada temasya empat tahun sekali itu nanti.
Tahun ini juga akan menjadi
sambutan Tahun Baru Cina yang meriah bagi lepasan pelajar Tingkatan 5 Sekolah
Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu, namun Eyin mengakui dia juga harus menumpukan
perhatian terhadap latihan.
"Selepas cuti sambutan
Tahun Baru Cina, saya akan kembali menyertai kem latihan dan saya harap dapat
lakukan yang terbaik kerana saya mahu tersenarai dalam kontinjen negara ke
Sukan Asia.
"Saya masih belum tahu
lagi bila tarikh sebenar pemilihan, tetapi keputusan sudah tentu akan terletak
sepenuhnya di tangan jurulatih," kata Eyin.
Terdahulu, Eyin berjaya melakar
sejarah tersendiri apabila menyumbang emas ke-1000 buat kontinjen Malaysia
sejak menyertai temasya dwi tahunan itu pada 1959.
Lebih menarik emas yang diraih
itu turut melengkapkan sasaran skuad wusyu iaitu tiga emas.
Turut menyumbangkan emas pada
Sukan SEA 2013 itu ialah Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuan menerusi acara
nanquan wanita dan nandao wanita.
Selain acara qiangshu, Eyin
juga mengakui dia juga tidak mempunyai masalah sekiranya beraksi dalam acara
qingshu dan changquan jika tersenarai ke temasya Sukan Asia September depan.
Ditanya mengenai sasarannya
sekiranya tersenarai dalam skuad Sukan Asia, Eyin berkata, dia hanya
mengharapkan prestasi yang terbaik dan lebih cemerlang daripada Sukan SEA.
"Buat masa ini saya mahu
tersenarai dahulu. Jika layak ia akan menjadi Sukan Asia saya yang pertama jadi
saya akan cuba buat yang terbaik dan kalau boleh mahu memenangi pingat emas
untuk negara," tambah Eyin.
KOSMO ONLINE 31.1.14
No comments:
Post a Comment