Ad

Tuesday, 28 January 2014

Pengganti Rajagobal pertengahan bulan depan

Kelana Jaya: Aksi persahabatan antarabangsa dengan Filipina pada 1 Mac depan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bakal menjadi aksi pembuka tirai Harimau Malaya tahun ini namun biarpun tempoh itu nampak singkat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seakan tidak mahu terburu-buru untuk memperkenalkan jurulatih baru kebangsaan.

Jika sebelum ini badan induk bola sepak tanah air itu menyatakan bersedia untuk mengumumkan pengganti baru Datuk K Rajagobal awal bulan depan namun seakan ada rundingan yang belum selesai apabila mereka masih memerlukan sedikit masa lagi.


“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya akan umumkan apabila tiba masanya. Saya jangkakan jurulatih baru skuad kebangsaan akan diumumkan pada pertengahan bulan depan,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditemui semalam.

Pengendali dari Perancis Philippe Troussier dikatakan semakin hampir untuk menandatangani kontrak dengan FAM selepas mereka mengadakan pertemuan di Singapura November lalu.
 Foto
TROUSSIER dikatakan semakin hampir tandatangani kontrak dengan FAM.


Troussier, 58, bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun, Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Qatar dan Maghribi dikatakan ditawarkan gaji lumayan lebih RM5 juta setahun selepas FAM tidak menyambung kontrak Rajagobal yang berakhir 31 Disember lalu.


Selain Troussier beberapa nama seperti bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller, bekas jurulatih China dan Uzbekistan Bob Houghton, bekas jurulatih AS Roma Zdenek Zeman serta bekas pemain skuad juara Piala Dunia Perancis Marcel Desailly turut dikaitkan dengan kerusi panas itu.

Hamidin berkata, mereka tidak bimbang dengan persiapan Harimau Malaya yang akan meneruskan saingan dalam kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman pada 5 Mac depan kerana jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee kini mengendalikan tugas sebagai jurulatih sementara.

“Buat masa ini Kim Swee sedang memantau prestasi pemain dalam Liga M bagi aksi persahabatan nanti (menentang Filipina). Saya percaya beliau mampu menggalas tugas ini dengan baik sebelum FAM memperkenalkan jurulatih baru nanti,” katanya.

SUMBER MYMETRO ONLINE 28.1.14

No comments:

Post a Comment