Ad

Saturday, 25 January 2014

Pemain pamer aksi positif

AZIZAN INCHE HARUN & NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
26 Januari 2014
Pemain pamer aksi positif
Pemain pamer aksi positif Dollah bangga prestasi pemain PDRM selepas menjinakkan JDT II, kelmarin.
KEJAYAAN menundukkan skuad Merah Biru 3-1 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, kelmarin membuktikan PDRM sudah bersedia menghadapi saingan seterusnya.

Ketua Jurulatih, Dollah Salleh memuji persembahan dipamerkan anak buahnya yang berjaya menunjukkan corak permainan seperti diinginkannya.

Menurut bekas jurulatih Pahang itu, pada perlawanan tersebut anak buahnya menunjukkan peningkatan yang positif berbanding ketika saingan Piala FA menentang Kuala lumpur SPA Selasa lalu.

"Saya begitu gembira dengan corak persembahan yang dipamerkan, pemain beraksi dengan baik dan boleh dikatakan kesemua pemain menampilkan aksi yang positif.

"Meskipun pada 10 minit awal perlawanan kita tak berapa bagus, tapi pemain mula bangkit. Malah ketika penjaga gol JDT II dibuang padang, baharu saya nampak keyakinan pemain semakin tinggi.

"Apa yang paling penting, corak yang diterapkan pemain amat melegakan saya dan apa yang saya ingin lihat pemain sudah buktikan," katanya,

Tambah Dollah, dengan corak permainan yang ditunjukkan pada perlawanan itu, beliau optimis barisan pemainnya akan lebih cemerlang pada perlawanan berikutnya.

"Biar pun begitu, saya berharap agar mereka tidak sekadar berpuas hati sebaliknya terus meningkatkan lagi tahap permainan mereka," katanya.

Dollah berkata, kemenangan itu satu permulaan baik yang diharapkan memperoleh kemenangan untuk saingan bertemu lawan seterusnya.

SINAR HARIAN ONLINE 26.1.14

No comments:

Post a Comment