Ad

Tuesday, 28 January 2014

TRW waspada hadapi PKNS FC

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
28 Januari 2014
TRW waspada hadapi PKNS FC
 TRW waspada hadapi PKNS FC Darby menagih kudrat pemain import dari Mesir, Mohamed Shawky apabila Kelantan bertemu PKNS FC di Kota Bharu, malam ini.

PASUKAN The Red Warriors  (TRW) akan turun dengan pendekatan lebih berhati-hati apabila melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, PKNS FC pada aksi ketiga saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pengendali pasukan, Steve Darby berkata, kejayaan PKNS FC mengejutkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada perlawanan kedua memberi amaran kepada barisan pemainnya agar tidak memandang mudah pertemuan ini.

“Saya kenal Wan Jamak Wan Hassan. Dia seorang jurulatih yang penuh tipu muslihat dan pakar taktikal. Saya tidak mahu menganggap pertemuan malam ini sesuatu yang mudah buat Kelantan biar pun kami ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Musim lalu, Kelantan berhempas pulas menewaskan mereka di sini tetapi saya tidak mahu ulas lanjut kerana ketika itu pasukan ini di bawah bimbingan Bojan Hodak. Musim ini kami tampil dengan wajah baharu dan begitu juga PKNS FC,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut jurulatih dari England itu, kehebatan tiga pemain import pasukan yang terkenal jolokan Semut Merah iaitu Patrick Ronaldinho Wleh, Karlo Primorac dan Hamka Hamzah bakal menjadi penghalang buat pasukannya untuk meraih tiga mata pada pertemuan ini.

Namun tegasnya, tiada percaturan khusus direncanakan untuk menyekat kegarangan tiga awang import itu, sebaliknya beliau percaya semangat berpasukan dimiliki anak buahnya ketika ini sudah memadai untuk menewaskan kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

“Saya tidak berminat dengan strategi ‘man-to-man marking’. Semua pemain akan bekerja seperti biasa di atas padang. Saya percaya pemain cukup bersemangat menghadapi perlawanan ini selepas membawa pulang tiga mata dari Kuching,” katanya.

Darby yang sekadar mengarahkan anak buahnya menjalani latihan ringan petang semalam, turut mengharapkan perancang tengah, Mohamed Shawky Aly dan Amar Rohidan benar-benar cergas untuk diturunkan malam ini.

“Keputusan sama ada Mohamed Shawky diturunkan atau tidak akan ditentukan esok (hari ini). Memang dia mahu bermain ketika bertemu Sarawak tempoh hari tetapi saya tidak mahu menanggung risiko. Saya harap dapat menggunakan khidmat dua pemain tersebut malam ini,” katanya.

“Jika itu berlaku, saya perlu membuat sedikit rombakan di bahagian serangan. Saya akan tengok kesesuaian sama ada Mohamad Ghaddar atau Francis Forkey Doe dahulu yang akan berada dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.

SUMBER SINAR HARIAN ONLINE 28.1.14

No comments:

Post a Comment