ORANG ramai memenuhi kawasan
banglo usang yang turut dikenali Vila Nabila di Jalan Skudai, Johor Bahru,
selepas tersebar cerita mengenai kehilangan beberapa remaja baru-baru ini
SEBUAH vila yang beralamat di
Nombor 65, Jalan Skudai, Johor Bahru yang terbiar tanpa penghuni sejak lebih 40
tahun lalu baru-baru ini mencuri tumpuan orang ramai.
Seluruh negara kecoh apabila
media tempatan melaporkan kehilangan seorang remaja, Mohamad Izzat Izzudin
Hussin, 16, di vila tersebut.
Bagaimanapun, kehilangan remaja
itu terjawab apabila dia ditemui di rumah seorang rakan keesokan harinya.
Rentetan daripada itu, ramai
yang mahu tahu apakah sejarah dan kisah sebenar di sebalik kewujudan vila
tersebut.
Terdapat banyak versi tentang
kewujudan vila berkenaan yang tidak diketahui kesahihannya.
Salah satu versi adalah kisah
pembunuhan sebuah keluarga berketurunan Kaukasia yang didalangi oleh pembantu
rumah mereka.
Menurut cerita yang disampaikan
dari mulut ke mulut, kesemua mayat penghuni termasuk anak mereka bernama Nabila
telah ditanam di satu lokasi di dalam kawasan vila tersebut.
Namun, ada juga versi yang
mengatakan mayat Nabila telah disimen di dalam dinding kediaman berkenaan.
Di sebalik misteri yang wujud,
segelintir pihak percaya pelawat yang mahu memasuki vila berkenaan mestilah
dalam jumlah yang genap.
Jika pelawat datang dalam
kumpulan yang ganjil maka kumpulan itu akan diekori 'sesuatu' bagi menjadikan
jumlahnya genap.
Justeru, 'kehilangan' Mohamad
Izzat yang memasuki vila berkenaan bersama rakannya pada November tahun lalu
adalah kerana dikatakan melanggar pantang larang tersebut.
Vila yang dikenali ramai
sebagai Vila Nabila itu sebelum ini sememangnya sering menjadi tumpuan
segelintir pihak termasuk golongan remaja terutama pada malam minggu.
Menyelusuri vila yang terletak
di atas bukit dan menghadap Selat Johor itu, hati pastinya bercampur-baur
memandangkan persekitarannya yang sunyi.
Banglo yang terletak di atas
bukit itu sudah reput dimamah waktu dengan sebahagian bumbungnya runtuh dan
kawasan sekelilingnya ditumbuhi dengan pokok-pokok liar.
Akar-akar pokok yang berselirat
dan melingkari salah satu daripada tiga bangunan yang terdapat di vila itu
menjadi bukti betapa vila itu telah lama ditinggalkan sehingga ada yang
menganggap kawasan itu sebagai 'keras'.
Namun, bagi pegawai penyelidik
sejarah di Yayasan Warisan Johor, Kamdi Kamil, semua cerita yang dicanang
tentang vila itu hanya mitos semata-mata.
Sebaliknya beliau menegaskan,
vila itu dahulunya dikenali sebagai Christine Place yang dimiliki oleh seorang
hartawan Cina tempatan bernama Yap Sing Hock, bekas pengarah syarikat Lien Ho
Corporation Bhd.
"Nama Christine diambil
sempena nama anak perempuannya iaitu Christine Yap Tse Yeeng. Bagaimanapun,
selepas hartawan itu diisytiharkan bankrap, rumah itu dibiarkan kosong.
"Saya sendiri tidak tahu
bagaimana boleh timbul nama Vila Nabila, siapa itu Nabila?" katanya yang
turut mengesahkan vila berkenaan sudah kosong sejak beliau berpindah ke Kampung
Melayu Majidee, Johor Bahru pada awal tahun 70-an.
Kamdi memberitahu, terdapat dua
lagi Christine Place di Johor Bahru iaitu di Jalan Abdul Samad, namun kediaman
tersebut telah dirobohkan, manakala sebuah lagi di Jalan Tebrau yang merupakan
tapak kediaman bekas Menteri Besar, Datuk Onn Jaafar.
Semakan terbaharu pula
mengesahkan Vila Nabila itu dimiliki penama Low Sue Heng yang beralamat di
Nombor 4, Ridley Park, Singapura.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_05/Siapa-beri-nama-Vila-Nabila#ixzz2rpoT4UVR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment