Ad

Wednesday, 29 January 2014

Popular tetapi seram

 
BLOK bangunan yang tersimpan rahsia hanya diketahui segelintir pengunjung mahupun penghuni apartmen tersebut.
SIAPA sangka di sebalik menjadi tumpuan pelancong, sebuah apartmen di kawasan peranginan Genting Highland menyimpan rahsia seram.

Ada yang mendakwa pernah melihat kelibat lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

Ada juga mendakwa pernah mendengar bunyi seperti orang sedang 'flush' tandas berulang kali.

Begitu juga ada yang mendakwa pernah merakam gambar makhluk berbulu dan bersaiz seperti seorang kanak-kanak, selain turut melihat kelibat nenek tua sedang berbaring di atas katil.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Siti, 30, berkata, apartmen itu dikatakan berhantu berikutan banyak kes bunuh diri berlaku di bangunan tersebut.

"Kes bunuh diri ini dikatakan berpunca daripada kekalahan dalam pertaruhan judi. Kecewa dengan kekalahan tersebut, ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.

"Namun, tidak semua yang tahu memandangkan kes tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum," katanya.

Apa yang pasti, ujarnya lagi, sebahagian daripada penghuni mahupun pengunjung pernah melalui pelbagai pengalaman yang menyeramkan.

"Saya dan suami pernah melalui situasi menyeramkan ketika menginap semalaman di apartmen itu pada 2009.

"Ketika melangkah masuk ke apartmen tersebut, tiada apa yang meresahkan kerana bilik tersebut berada dalam keadaan baik dan kemas.

"Namun keadaan berubah pada waktu malam. Semasa kami berbaring di atas katil, suami saya hendak memegang tangan saya, tetapi tiba-tiba tangannya ditepis kuat. Dia terkejut kerana mendapat reaksi seolah-olah saya tidak mahu disentuh," katanya.

Hairan dengan situasi itu, suami Siti mengalihkan sedikit wajahnya ke arah tepi dan amat terkejut apabila terpandang kelibat seorang wanita berambut panjang mengurai.

"Ketika itu, dia tidak menjerit atau memaklumkan kepada saya tentang apa yang dilihat. Dia hanya berkata esok kita perlu keluar dari sini," katanya.

Dalam pada itu, menurut Siti, dia turut melihat kelibat bayang-bayang sedang lalu di hadapan pintu bilik mandi, sedangkan suaminya dilihat sedang berehat di atas sofa.

"Saya baru selesai mandi dan sebaik sahaja saya membuka pintu, saya ternampak bayang-bayang tersebut," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140125/lk_04/Popular-tetapi-seram#ixzz2rpncQXeN © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment