Pemain PKNS, P. Gunalan cuba
membuat sepakan akrobatik untuk menyelamatkan kubu pasukannya daripada asakan
Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu malam tadi. PKNS menang 2-1.
KOTA BHARU - The Red Warriors
dimalukan di hadapan kira-kira 25,000 penyokong sendiri selepas tewas 1-2
kepada PKNS dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, semalam.
Beraksi di laman sendiri dengan
sokongan padu penyokong setia, babak pertama perlawanan jelas dikuasai Kelantan
yang garang melancarkan banyak gerakan berbahaya namun dipatahkan dengan mudah
benteng pertahanan pelawat.
Serangan demi serangan pasukan
tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 apabila Kapten Pasukan,
Badhri Radzi melakukan hantaran pendek sebelum ditanduk masuk Ahmad Fakri
Saraani.
Seminit kemudian, tonggak
import Kelantan, Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan
selepas rembatannya sekadar melintasi gawang gol PKNS biarpun penjaga gol Mohd.
Ramezey Che Ros sudahpun tertewas ketika itu.
Tersentak dengan jaringan awal
tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi
kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit
ke-39.
Kerapuhan benteng pertahanan
The Red Warriors semakin ketara apabila pasukan pelawat berjaya menambah
jaringan dua minit kemudian menerusi lorongan mudah Mohd. Aminuddin Mohd. Noor
yang hanya perlu berdepan Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menutup aksi babak
pertama berpihak kepada PKNS.
Sebaik sahaja babak kedua
bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang
tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor namun berjaya ditepis keluar oleh Khairul
Fahmi pada minit ke-46.
Kelantan pula kembali
menggandakan asakan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan
jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal
menepati sasaran.
Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam
Wan Zakaria pula terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya
melewati palang walaupun pintu gol sudah pun ternganga.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140129/su_06/Red-Warriors-digigit-Red-Ants-di-laman-sendiri#ixzz2rmccMt6M
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment