RIDHUAN TEE ABDULLAH
27 Januari 2014
MULANYA saya cuba bersangka
baik dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi,
Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh
sebuah syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya,
menjadikan saya jadi geram.
Mana tidaknya, lembaga sekolah
tersebut telah memaksa guru mualaf untuk membuka tudungnya dan diancam
keselamatannya jika tidak berbuat demikian.
Sedihnya, apabila guru tersebut
melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan serta-merta ke sekolah
lain.
Peliknya, tiada tindakan tegas
dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana keberanian kita? Mana dia
pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi manusia ini? Kejam sungguh
kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa. Kena pada bukan Islam, heboh
1Malaysia.
Saya ingatkan orang bukan Islam
telah insaf dan memahami perkara asas mengenai Islam. Maklumlah sudah lama
tinggal di tanah air tercinta ini. Paling kurang memahami kedudukan Islam
selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.
Apabila ada desakan mahukan
tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah tersebut, maka kita pun
berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan
rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.
Apa semua ini? Lebih meloyakan,
ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah tersebut memohon maaf secara
terbuka, maka kita pun beramai-ramai datang memberikan sokongan dan tepukan.
Sambil bersalaman dengan guru
mualaf tersebut, guru besar itu berkata: “Saya harap isu ini selesai dan
dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai dengan slogan 1Malaysia”. Kita
pun tutup fail. Wah… senang sungguh.
Mudah sangat hidup di Malaysia.
Bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila
kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus
salah, mereka terus betul.
Apakah kita sudah lupa isu
pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang didakwa mengeluarkan ‘ucapan
rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media ultra kiasu menghentam habis-habisan
pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri. Desakan
demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan ditukar.
Julai dan Ogos 2013, pengetua
SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima nasib sama kerana dikatakan memberi
ucapan rasis. September 2013, guru penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih,
Kajang, pun turut menjadi mangsa.
Pada Julai 2013 apabila gambar
murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan di tandas” semasa bulan Ramadan
tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu
tersebut sehingga habis FB guru besar turut digodam.
Pelbagai tuduhan dibuat tanpa
langsung memberi peluang kepada beliau membela diri. Beliau dan keluarga
dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis
di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.
Namun, dalam isu guru mualaf
dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap sepi. Kenapa tidak sensasikan isu
ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan atau meletakkan jawatan? Jawapannya
mudah, mereka sekapal.
Saya yakin, penghinaan ke atas
guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja dilakukan. Peliknya, guru
mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar itu.
Lebih menjengkelkan lagi,
ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan
bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan. Inilah sifat
orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beransur-ansur.
Benar, memaafkan seseorang itu
satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna, pesalah boleh terlepas begitu
sahaja.
Masih ingatkah kita pada zaman
Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain
dan menampakkan auratnya? Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.
Hari ini kita tidaklah sampai
ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk
memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya
dianiaya oleh musuh-musuh Islam.
Ingatlah! maruah dan keadaan
umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan
dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar. Lebih
menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu
dan Islam.
SUMBER SINAR HARIAN ONLINE 28.1.14
No comments:
Post a Comment