PENUNJUK perasaan antikerajaan
berhimpun di luar sebuah pusat mengundi di pusat bandar Bangkok semalam.-
REUTERS
BANGKOK - Seorang pemimpin
demonstrasi antikerajaan ditembak mati semalam ketika penunjuk perasaan menawan
beberapa pusat pembuangan undi di sini untuk menghalang pilihan raya umum yang
dijadualkan pada 2 Februari depan.
Lebih dua juta pengundi telah
mendaftar untuk mengundi awal sebelum pilihan raya tersebut diumumkan oleh
Perdana Menteri Sementara Thailand, Yingluck Shinawatra.
Yingluck mengadakan pilihan
raya awal sebagai usaha untuk menamatkan krisis politik di Thailand.
Dalam keganasan terbaharu
semalam, seorang pemimpin pembangkang mati ditembak oleh penyerang tidak
dikenali di bandar raya ini.
Dia ditembak semasa berucap di
hadapan penyokongnya tengah hari semalam manakala sembilan lagi dilaporkan
cedera dalam serangan itu.
Polis mengesahkan mangsa yang
mati dikenali sebagai Suthin Taratin. Suthin aktif menggerakkan penunjuk
perasaan untuk menentang kerajaan pimpinan Yingluck.
Pada masa yang sama, penunjuk
perasaan antikerajaan menawan beberapa pusat pembuangan undi di sini dan
beberapa wilayah lain.
Sebanyak 45 pusat membuang undi
terpaksa ditutup akibat tindakan tersebut.
"Sebanyak 45 daripada 50
pusat pengundian di sini terpaksa ditutup selepas beberapa jam dibuka,"
kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Surapong Tovi- chakchaikul.
"Bagaimanapun, pengundian
masih diteruskan di beberapa wilayah di negara ini termasuk di wilayah utara
yang menjadi kubu kuat parti Yingluck," tambahnya.
Yingluck yang masih enggan
berundur atau menangguhkan pilihan raya itu dijangka menemui para pegawai
Suruhanjaya Pilihan Raya esok selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan yang ia
boleh ditangguhkan akibat krisis berkenaan.
Kumpulan penunjuk perasaan
mendesak Yingluck meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pembentukan
sebuah kerajaan baharu dengan anggota-anggota Kabinet yang dilantik untuk
melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk membasmi rasuah.
Yingluck membubarkan Parlimen
lebih awal bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 2 Februari depan
tetapi dibantah penunjuk perasaan antikerajaan yang bimbang beliau akan kembali
berkuasa.
Para penunjuk perasaan itu
menuduh Yingluck menjadi boneka abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin
Shinawatra yang kini hidup dalam buangan di luar negara.
Pihak tentera menggulingkan
Thaksin pada tahun 2006 selepas terdapat dakwaan pemerintahannya dicemari
rasuah dan penyalahgunaan kuasa. - AFP
Sumber KOSMO ONLINE 27.1.14
No comments:
Post a Comment