Ad

Friday, 31 January 2014

'Sukan Asia jadi keutamaan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
IRFAN (kiri) sudah tidak bersama skuad Harimau Muda A.

TIADA sebarang sasaran khusus yang cuba direalisasikan skuad Harimau Muda A ketika mengharungi Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane, Australia dari Mac hingga Ogos depan.

Sebaliknya, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee lebih mementingkan pengalaman yang diraih anak-anak buahnya dalam saingan liga itu menjelang misi utama mengharungi temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

“Jika berjaya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik sudah cukup bagus, namun saya enggan meletakkan sasaran khusus pada saingan NPL Queensland nanti.

“Asalkan pemain meraih pengalaman dan memberikan cabaran, saya sudah berpuas hati termasuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kedudukan pertengahan liga.

“Biarpun ia bukan liga utama Australia, saya percaya ia merupakan medan yang sesuai buat pemain meraih pengalaman sebagai persediaan sebelum temasya Sukan Asia.

“Apa yang pasti, temasya Sukan Asia jauh lebih penting buat saya dan Harimau Muda A,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi skuad kendaliannya sepanjang di Australia kelak ekoran kehilangan 10 pemain utama kali ini atas pelbagai faktor termasuk melebihi usia 23 tahun selain ada pemain tidak menyambung kontrak.

Antara pemain yang berhijrah termasuk kapten pasukan, Mohd. Irfan Fazail; pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas serta penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan yang kini beraksi bersama Johor Darul Takzim (Johor DT).

Selain ketiga-tiga pemain terbabit, penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan juga kembali semula ke negeri kelahirannya, Terengganu.

“Sebaik latihan bersambung, saya akan menguji 11 pemain baharu iaitu enam pemain Harimau Muda B (bawah 21 tahun) serta lima pemain Harimau Muda C (bawah 19 tahun) sebagai persiapan menghadapi Liga NPL Queensland kelak,” jelas Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beliau juga belum membuat keputusan muktamad mengenai senarai akhir 25 pemain yang bakal ‘terbang’ ke Australia Mac depan.

“Masih terlalu awal untuk diumumkan sekarang, saya hanya akan membuat keputusan berhubung skuad akhir Harimau Muda A selewat-lewatnya pertengahan Februari.

“Apa yang pasti, hanya pemain terbaik yang bakal dibawa ke Brisbane bagi menjamin persediaan mantap menjelang temasya Sukan Asia kelak,” kata beliau.

KOSMO ONLINE 31.1.14

No comments:

Post a Comment