Seorang anggota pergerakan 6
April (terlindung) dipukul sekumpulan penyokong Ketua Tentera Mesir, Abdel
Fattah al-Sisi di hadapan Dataran Talaat Harb, berhampiran Dataran Tahrir,
Kaherah, semalam. - AFP
KAHERAH 26 Jan. - Ulang tahun
ketiga kebangkitan rakyat di Mesir bertukar ganas selepas polis dan penyokong
kerajaan sementara Mesir bertempur dengan penyokong bekas Presiden Mohammed
Mursi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam.
Menurut Kementerian Kesihatan
Mesir hari ini, hampir 1,500 orang cedera dengan 250 daripadanya dilaporkan
parah dalam tunjuk perasaan yang berlaku di beberapa wilayah di negara ini.
Kementerian Dalam Negeri pula
memaklumkan, sebanyak 1,079 penunjuk perasaan ditahan dalam demonstrasi
tersebut kerana memiliki raifal, bom petrol, mercun, dan pelbagai jenis senjata
lain.
Menurut kementerian itu lagi,
beberapa orang anggota polis turut dilaporkan cedera dalam pertempuran.
Kejadian semalam bermula dengan
letupan kecil di pekarangan sebuah pusat latihan polis di utara Kaherah yang
menyebabkan seorang cedera, sementara 16 yang lain cedera apabila sebutir bom
kereta meletup berhampiran sebuah balai polis di bandar Suez.
Di Dataran Tahrir, pasukan
keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran ke udara bagi
menghalang penyokong Mursi daripada memasuki dataran itu yang menjadi simbolik
kepada penggulingan Hosni Mubarak pada 2011.
Mereka bagaimanapun memberi
laluan kepada penyokong kerajaan sementara bagi menyatakan sokongan kepada
Ketua Tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di dataran tersebut.
Pertempuran paling sengit
antara penyokong Mursi dan pasukan keselamatan berlaku di Alf Maskan, pinggir
bandar timur Kaherah yang menyaksikan kedua-dua pihak bertempur untuk tempoh
beberapa jam.
Menurut saksi, pasukan
keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan yang
membalas serangan itu dengan bom petrol.
Pihak keselamatan menganggarkan
dua terbunuh dalam kejadian itu, namun sumber meletakkan angka korban jauh
lebih tinggi iaitu 66 orang.
Di daerah Muhandiseen, barat
Kaherah, polis melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke udara bagi
menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di pekarangan masjid.
Pertempuran turut berlaku di
Iskandariah, Minya dan Ismailiya.
Sementara itu, empat tentera
Mesir maut dan sembilan lagi cedera dalam satu serang hendap oleh kumpulan
militan di Semenanjung Sinai hari ini, lapor sumber keselamatan.
Kejadian itu berlaku apabila
sekumpulan penyerang melepaskan tembakan ke arah sebuah bas dinaiki tentera
berhampiran pos tentera di Sinai Utara. - AFP/AP/REUTERS/AGENSI
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140127/lu_03/Mesir-berdarah-lagi#ixzz2rb1WjmEx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment