MARLISSA MOHAMMAD KAMAL
26 Januari 2014
Evolusi medan kutub bumi
Keratan akhbar Sinar Harian 30 Disember tahun lalu.
CUACA tidak menentu sejak
akhir-akhir ini mencetuskan pelbagai spekulasi dan turut menjadi topik hangat
yang sering diperkatakan oleh pengguna laman sosial.
Selain itu, ada juga pihak
tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan mesej berantai berhubung pelbagai
teori perubahan cuaca ekstrem pada masa ini hingga menyebabkan masyarakat mudah
percaya tanpa mengambil kira fakta sains.
Dakwaan salji turun di negara
beriklim tropika, Indonesia juga adalah satu lagi laporan berita palsu pihak
tidak bertanggungjawab untuk mencemaskan masyarakat selepas insiden penurunan
salji di Vietnam dan Mesir.
Fenomena salji di Malaysia juga
adalah satu perkara mustahil walaupun cuaca sejuk luar biasa sedang melanda
negara ini.
Hal ini kerana, Malaysia
terletak di garisan Khatulistiwa yang mempunyai dua musim sepanjang tahun.
Sebelum ini, isu anjakan kutub
bumi yang dikaitkan dengan hari kiamat juga heboh di kebanyakan blog, namun
wujud pertikaian berhubung kebenaran perkara itu.
Bagaimanapun, teori sains yang
dijelaskan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) ini
diharap dapat merungkai kekeliruan paparan sebelum ini.
Medan magnet bumi pernah
menyongsang
Menurut saintis, medan magnet
bumi sebenarnya menyongsang beberapa kali sejak beribu tahun lalu.
Dalam kata lain, jika manusia
hidup kira-kira 800,000 tahun lalu dan memegang kompas di tangan mereka, ia
akan menunjuk ke arah selatan.
Ini kerana, kedudukan kompas
magnetik ditentukan berdasarkan kutub bumi dan arah Utara-Selatan akan berubah
180 darjah jika kutub medan magnet terbalik.
Persoalannya kini adalah,
adakah keadaan tersebut akan memberi kesan dramatik?
Hasil daripada rekod fosil dan
geologi diperoleh daripada ratusan tahun ketika berlakunya penyongsangan kutub
menunjukkan ia sebenarnya tidak memberi kesan dahsyat seperti yang didakwa
sesetengah pihak.
Proses penyongsangan kutub
adalah satu peraturan alam yang tidak dapat dielakkan sejak 20 juta tahun lalu
dan ia berlaku setiap 200,000 hingga 300,000 tahun sekali.
Bagaimanapun, kutub tidak
menyongsang sepenuhnya kerana medan magnet saling menarik dan menolak antara
satu sama lain, di mana beberapa kutub turut muncul pada latitud pelik ketika
proses tersebut.
Saintis meramalkan proses
pembalikan terbabit telah berlaku beratus kali sejak lebih tiga bilion tahun
lalu, namun ia dikatakan berlaku lebih kerap atau setiap sejuta tahun sekali
selepas Zaman Dinosaur.
Tiada perubahan drastik pada
flora, fauna
Kajian ke atas aktiviti medan
magnet dan rekod fosil diperoleh dari endapan teras pada permukaan laut dalam
dikatakan boleh memberi penjelasan kepada saintis berhubung perubahan kutub
magnetik.
Medan magnet bumi ditentukan
berdasarkan pemagnetan lava kerana ia berada di dasar laut di Rabung Tengah
Atlantik, di mana benua Amerika Utara dan Eropah berpecah.
Difahamkan, lava membeku itu
sebenarnya mampu mewujudkan rekod orientasi medan magnet pada masa lalu seperti
bunyi rekod pita rakaman.
Kali terakhir kutub bumi
menyongsang adalah kira-kira 780,000 tahun lalu yang turut digelar saintis
sebagai pembalikan Brunhes-Matuyama.
Rekod fosil menunjukkan proses
tersebut tidak memberi perubahan drastik terhadap flora dan fauna.
Selain itu, endapan teras pada
zaman terbabit juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam aktiviti glasier
berdasarkan jumlah isotop oksigen pada permukaan tersebut.
Keadaan itu membuktikan proses
penyongsangan kutub tidak akan menjejaskan putaran paksi bumi walaupun
kecondongan paksi bumi memberi kesan besar kepada iklim dan pengglasieran.
Proses penyongsangan kutub juga
sebenarnya tidak tetap dan ahli geofizik agak pasti bumi mempunyai medan magnet
kerana teras besi padunya dikelilingi lautan cecair logam panas.
Aliran cecair besi di dalam
teras bumi mencipta arus elektrik yang seterusnya mewujudkan medan magnet.
Saintis dapat mengukur
pergerakan dalam teras dengan memerhatikan perubahan di dalam medan magnet,
Menurut kajian mereka, kutub
magnet bumi telah berganjak pada jarak lebih 1,100 kilometer (km) sejak awal
abad ke-19.
Bagaimanapun, anjakan tersebut
didakwa berlaku lebih cepat pada masa ini dengan anggaran jarak kira-kira 64 km
setahun berbanding kira-kira 16 km setahun pada awal abad ke-20.
Medan magnet tidak hilang
Satu lagi hipotesis mengenai
penyongsangan kutub mengandaikan proses itu akan menyebabkan bumi kehilangan
medan magnet yang berfungsi sebagai pelindung daripada ribut solar.
Saintis mendakwa medan magnet
sememangnya boleh berubah-ubah tetapi tidak ada sebarang petunjuk bahawa ia
akan hilang sepenuhnya.
Medan magnet yang lemah akan
menyebabkan peningkatan jumlah kecil radiasi solar tetapi kesan itu tidak
membawa maut kerana atmosfera tebal bumi mampu memberi perlindungan terhadap
kemasukan zarah matahari secara terus.
Kajian sains menunjukkan
penyongsangan kutub magnet dari skala masa geologi adalah satu fenomena yang
biasa berlaku sejak ribuan tahun lalu.
Bagaimanapun, keadaan yang
menyebabkan proses itu berlaku tidak dapat diramalkan sepenuhnya kerana sebagai
contoh gerakan kutub utara mungkin boleh bertukar haluan.
Rekod geologi berusia jutaan
tahun juga menunjukkan pembalikan kutub tiada kaitan dengan senario hari kiamat
seperti yang dihebohkan banyak pihak dengan tujuan untuk menakut-nakutkan
masyarakat pada ketika ini.
Sumber:
http://www.nasa.gov/topics/earth/features/2012-poleReversal.html
SINAR HARIAN ONLINE 26.1.14
No comments:
Post a Comment