WALAUPUN usianya akan
menjangkau ke angka 92 tahun pada 28 Januari ini tapi PROF. DIRAJA UNGKU ABDUL
AZIZ UNGKU ABDUL HAMID masih sihat bukan saja secara fizikal tetapi masih lagi
berupaya menulis dan mengeluarkan idea-idea bernas. Kehidupannya kini juga
lebih ceria dengan kehadiran isteri baharu di sisi yang dikahwininya hampir
setahun lalu.
Beliau yang mesra dengan
panggilan Pak Ungku bertemu jodoh dengan Rahaiah Baheran yang merupakan bekas
Senator Parlimen selama dua penggal mulai tahun 1991.
Saya sudah mengenali dia
hampir 20 tahun. Kami berdua sudah solo. Mungkin inilah dikatakan
jodohnya," kata Pak Ungku sambil tersenyum.
Dalam wawancara bersama
wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, MARHAINI KAMARUDDIN, RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH dan jurugambar, ZAINI HUSIN di kediamannya, Astana Damansara,
Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Pak Engku turut berkongsi pelbagai isu
mengenai bahasa Melayu, perpaduan kaum dan ekonomi.
Pak Ungku Aziz menjelaskan
sesuatu kepada sidang pengarang Mingguan Malaysia.
MINGGUAN: Apakah pandangan Pak
Ungku tentang perpaduan negara sekarang?
UNGKU AZIZ: Bahasa ialah
penyatuan bangsa. Kita ada bahasa Melayu yang boleh menyatukan semua bangsa di
negara kita. Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Mereka harus
jelas tentang peranan dan apa yang dipimpin. Jangan terlalu mengutamakan
pangkat dan duit. Kita harus hidup bersederhana, barulah kita boleh
melaksanakan segala yang dirancang demi perpaduan.
Apakah yang perlu kita lakukan
untuk mempertahankan apa yang kita ada sekarang termasuk Perlembagaan negara?
UNGKU AZIZ: Apa yang kita ada
sekarang menunjukkan bahawa sistem yang kita ada itu betul. Tetapi apa yang
kita mahu ialah keadaan sekarang ini jadi semakin baik. Bagi saya, Perlembagaan
tidak perlu dicuit. Apa yang sedia ada cukup baik untuk perpaduan dan masa
depan negara.
Bagaimana Pak Ungku melihat
perpaduan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sekarang?
UNGKU AZIZ: Pada pandangan
saya, perpecahan bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, ini
termasuklah Melayu kota dengan Melayu luar kota. Melayu dalam UMNO dengan
Melayu dalam Pas dan PKR. Antara orang Melayu yang muda dengan tua.
Hal ini sama kalau dibuat
perbandingan dengan Arab Spring yang tak akan terjadi sebab orang Melayu
sendiri banyak masalah yang tidak diatasi.
Bukan saya nak komen tapi dalam
kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut. Tokoh itu mesti
garang dan bersemangat.
Pada hari ini tak ramai
pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini
- tiada pendirian yang teguh.
Pemimpin macam Winston
Churchill, dia tak suka kompromi. Pemimpin macam dia berpendirian tetap dan
berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?
Kalau pemimpin itu tegas, kalau
dia kata jangan buang sampah di tepi jalan, orang suka atau tidak dia tidak
peduli. Itu pendiriannya.
Orang Melayu kita sejak beratus
tahun lalu ada yang suka tikam dari belakang. Ini diajarkan oleh penjajah
kepada orang Melayu dan diamalkan sampai sekarang.
Bagaimana Pak Ungku melihat isu
kenaikan harga barang ketika ini?
UNGKU AZIZ: Harga barang naik
kerana kuasa pasaran. Kita tidak boleh menghalang keadaan ini. Tetapi apa yang
lebih penting ialah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini.
Orang Melayu merupakan golongan
yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki
15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang.
Saya dilatih oleh arwah bapa
saya supaya tidak berhutang sejak usia saya tujuh tahun lagi.
Saya masih ingat ketika saya
berusia 17 tahun, saya mahu membeli kamera tetapi duit saya tidak cukup. Apa
yang saya lakukan ialah menyimpan duit dan akhirnya saya berjaya membeli kamera
tersebut. Malah kereta pertama yang saya beli tunai ialah kereta terpakai jenis
Ford lama.
Saya juga telah melakukan
penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu
yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan.
Saya lihat orang kampung akan
menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya
mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya
cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).
LUTH sebenarnya membantu
ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang
Bagaimana Pak Ungku melihat
penggunaan bahasa Melayu sekarang?
UNGKU AZIZ: Bahasa rasmi negara
ialah bahasa Melayu. Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa
rojak. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya
kita.
Ada perkataan bahasa Melayu
yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan
bahasa Melayu.
Saya tahu bahawa bahasa
Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna
masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Saya tidak nafikan bahasa Cina
(Mandarin) bakal menguasai global dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.
Apakah yang perlu dilakukan
bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan? Ini kerana
ada kaum yang langsung tidak mahu mempelajari bahasa Melayu.
UNGKU AZIZ: DI Amerika Syarikat
kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau
mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa
Inggeris Amerika.
Bukan bahasa Inggeris England.
Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya
boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan
menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika.
Berbagai kemudahan disediakan
kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, termasuk institusi-institusi pelajaran
untuk orang dewasa.
Namun tidak ada kaum imigran
yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima
sebagai bahasa rasmi.
Sebaliknya rakyat Amerika amat
bangga dengan bahasa Inggeris Amerika.
Keadaan berbeza dengan
Malaysia, kita tidak ada kelas khas untuk mereka yang tidak tahu menggunakan
bahasa Melayu.
Apa salahnya kita wujudkan
kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang
luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu.
Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa
Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan.
Kita mesti ada satu bahasa
untuk semua orang sebagai simbol perpaduan.
Bagaimana Pak Ungku melihat
peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu?
UNGKU AZIZ: Masalah paling
utama ialah kita tiada penguasaan. Lama-kelamaan semangat cintakan bahasa
Melayu akan hilang. Kita ada banyak rancangan tetapi pelaksanaan kurang. Itulah
yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa. Mereka harus melaksanakan kuasa,
kalau tidak, semuanya akan terlepas.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140126/re_01/Pemimpin-mesti-berani#ixzz2rmwIy6rL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment