Ad

Wednesday, 29 January 2014

Kemenangan bangkit semangat Sarawak

KUCHING - Kejayaan mengutip tiga mata pertama setelah menewaskan Sime Darby FC 3-0 kelmarin menjadi pemangkin kebangkitan Sarawak dalam kempen Liga Super musim ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, kemenangan itu mengembalikan keyakinan anak-anak buahnya selepas kalah dalam dua perlawanan pertama liga musim ini.

"Bagi saya, adalah perkara biasa kalah atau menang dalam bola sepak. Apa yang penting, anda perlu belajar daripada kesilapan lalu.

"Kami bermain dengan sangat baik ketika menentang Sime Darby, pasukan yang selama ini sering memberi kesukaran kepada Sarawak," ujar Alberts.

Menurut Alberts lagi, beliau tidak terlalu terkejut dengan kemenangan tersebut kerana sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya agar mempamerkan semangat juang serta disiplin yang tinggi setiap kali ke padang.

Begitupun katanya, pada akhirnya terpulang kepada pemain untuk menterjemahkan kemenangan.

Tambah Alberts, beliau juga berpuas hati dengan kemenangan itu walaupun gol diperoleh menerusi dua sepakan penalti dan sepakan bebas.

"Saya tidak kisah cara kami menghasilkan gol kerana apa yang penting kami menang dan berjaya meraih tiga mata berharga," katanya lagi.

Sarawak kalah dalam dua perlawanan pertama liga selepas tunduk 2-0 kepada ATM dalam aksi pembukaan, selain tumbang 0-1 kepada Kelantan dalam perlawanan di tempat sendiri.



SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140130/su_05/Kemenangan-bangkit-semangat-Sarawak#ixzz2rq5K9Kyl

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment