Ad

Thursday 31 December 2015

Nama dan gelaran Nabi Muhammad SAW

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
      Di dalam kitab Muhammad karangan Muhammad Redha, terdapat hadis yang menerangkan nama-nama Baginda SAW selain Muhammad atau Ahmad. Kisah bagaimana nama Muhammad diperoleh oleh ibunda baginda. Sewaktu Baginda dikandungkan oleh ibunya Aminah pada bulan pertama, datang Nabi Adam di dalam mimpi Aminah dan berkata berilah nama anakmu itu dengan nama Muhammad. Pada bulan kedua, Aminah juga didatangi oleh Nabi Adam dan seterusnya meminta kepadanya supaya diberikan nama Muhammad sehinggalah bulan kesembilan.[1]


[1]Rusydi Ramli Al-Jauhari,Biografi Agung asulullah Sallahu Alayhi Wasallam,(Batu Caves: Must Read Sdn Bhd,2012),2.

Penyabong, tempat persinggahan lanun

25 Disember 2015 6:20 PM 
DI atas batu besar inilah kumpulan lanun gemar menyabung ayam sehingga timbulnya nama Penyabong.

KISAH di Mersing juga berkait rapat dengan kewujudan sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Penyabong. Perkampungan ini terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Mersing dan lima kilometer dari pekan Endau.
Penyabong terkenal dengan pantai Pasir Lanun yang mempunyai kisah di sebalik namanya. Menurut cerita orang kampung, asal nama Penyabong timbul ketika kumpulan lanun di Laut China Selatan pada kurun ke-19 menjadikan kawasan di situ sebagai tempat persinggahan mereka.
Laut China Selatan ketika itu merupakan laluan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dari Pantai Timur ke Singapura serta dari China.
Maka lanun-lanun yang berada di sekitar laluan itu sering menjadikan pantai di sekitar Mersing sebagai tempat perlindungan dan mengatur strategi serangan ke atas kapal-kapal pedagang. Bagi mengisi masa lapang, kumpulan lanun itu sering mengadakan aktiviti sabung ayam.
Kerana itu, pantai itu akhirnya diberi nama Penyabong. Malah, terdapat sebuah batu besar di tepi pantai Penyabong yang dikatakan menjadi tempat lanun-lanun itu bermain sabung ayam. Batu itu masih wujud sehingga ke hari ini.
Menurut Ketua Kampung Mukim Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh, pantai Pasir Lanun yang terletak di Kampung Penyabong itu pula mendapat nama apabila kawasan itu sering menjadi tumpuan lanun-lanun dari sekitar Laut China Selatan untuk berehat.
“Pernah terjadi pergaduhan antara kumpulan-kumpulan lanun yang singgah di Penyabong. Mereka berebut untuk mengambil bekalan air sehingga menyebabkan pergaduhan berlaku. Malah, peperangan antara lanun dan kapal-kapal pedagang juga pernah berlaku di sini,” katanya kepada S2.
Wan Azman berkata, Penyabong asalnya dihuni oleh beberapa nelayan yang menjadikan tempat itu sebagai pangkalan untuk menangkap ikan sejak dahulu lagi. Sehingga ke hari ini, aktiviti nelayan dan menangkap merupakan hasil pendapatan utama bagi penduduk di situ.
“Ketika Penyabong mula dihuni, terdapat beberapa lagi kampung yang wujud berdekatan seperti Tanjung Resang, Teluk Sari dan Kampung Sisik. Kesemuanya mempunyai kisah tersendiri bagaimana ia mula diduduki,” katanya.
Katanya, menurut cerita orang-orang tua, Tanjung Resang dibuka oleh seorang individu yang berasal dari Terengganu dikenali sebagai Pak Lah. Ketika itu katanya, Pak Lah yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan perahu payang singgah di suatu kawasan untuk berlindung daripada ribut.
“Pada masa itu, dia berteduh di bawah pokok Resam. Kebetulan, kawasan itu merupakan sebuah tanjung. Jadi, mengikut loghat Terengganu, dia memanggil tempat itu Tanjung Resang,” katanya.
Kemudian, tempat itu mula didatangi orang-orang berasal dari Terengganu yang terus menetap di situ. Manakala, asal kewujudan Kampung Sisik pula diambil sempena seekor Penyu Sisik yang mendarat di pantai dekat situ untuk bertelur.
Menurut cerita juga, kewujudan Teluk Sari pula ekoran kisah bagaimana seseorang perlu mengambil masa sehari suntuk dan bermalam di situ sebelum sampai ke destinasi sama ada ke Mersing atau Endau.
Katanya, kini, aktiviti pelancongan menjadi tarikan utama di Penyabong apabila semakin banyak chalet-chalet dan resort yang menarik dibuka dan ditawar pada harga berpatutan, selain wujudnya perusahaan kecil dan sederhana memproses makanan laut dan juga gerai-gerai makanan tradisi masyarakat setempat seperti nasi dagang, keropok lekor, sata, kuih-muih dan banyak lagi.
Selain itu, kata Wan Azman, ada juga penduduk tempatan mengusahakan kelong di pesisir pantai Penyabong. Terdapat beberapa pulau berdekatan Penyabong antaranya Pulau Acheh, Pelandok dan Pulau Tengah.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/penyabong-tempat-persinggahan-lanun-1.172817#sthash.cetCcJpT.dpuf

Bahaya guna surat khabar

PROF. MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR  |  28 Disember 2015 6:20 PM
NASI lemak yang dibungkus dengan surat khabar boleh menjejaskan
NASI lemak yang dibungkus dengan surat khabar boleh menjejaskan kesihatan. GAMBAR HIASAN
SABAN hari menjadi rutin masyarakat kita membaca untuk mendapatkan penge­ta­huan atau maklumat ter­kini. Bahan bercetak seperti surat khabar, majalah, brosur, ma­hupun poster promosi dihasilkan dalam kuantiti yang amat banyak pada setiap masa. Maka berlakulah lambakan bahan cetakan ini sebagai salah satu sisa pepejal.
Sejajar dengan langkah kitar semula dalam pengurusan sisa pepejal di negara ini, terdapat segelintir pengusaha makanan menggunakan bahan-bahan bercetak tersebut terutamanya surat khabar sebagai pembungkus makanan. Paling kerap digunakan adalah sebagai pembungkus nasi lemak.
Adakah pembungkusan makanan ini adalah langkah kitar semula yang selamat? Adakah kita cukup yakin yang bahan karbon hitam, apatah lagi bagi cetakan berwarna yang mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti logam berat dan pelarut tidak terdedah pada kita? Bagaimana dengan agen penyakit yang rentan keadaan kering seperti penyakit tuberkulosis atau batuk kering yang menghasilkan spora tidak melekat pada kepingan surat khabar itu?
Bagi memberi gambaran yang lebih jelas, kita lihat proses pindah tangan surat khabar dari pengedar hingga ke pembeli makanan dalam menjelaskan permasalahan ini.
Risiko di pusat pengedar
Setiap awal pagi, pusat-pusat pengedar akan menerima sejumlah ribuan naskhah surat khabar bagi edaran hari itu. Apabila lori-lori yang membawa surat khabar ini tiba, ribuan naskhah surat khabar akan diturunkan di tepi jalan tanpa mengira kebersihan permukaan tersebut.
Berapa ramai pengedar yang mengambil berat akan kebersihan naskhah surat khabar ini? Berapa ramai yang menyediakan lapik bagi menggelakkan kekotoran pada naskhah surat khabar yang paling bawah? Adakah kita pasti tiada haiwan pembawa penyakit berkeliaran di kaki lima tersebut?
Bolehkah kita bezakan antara naskhah yang bersih dengan tercemar dengan air kencing tikus yang hampir sama baunya dengan pelarut yang digunakan dalam pencetakan naskhah itu? Belum ada satu kajian pun yang pernah dijalankan untuk menilai risiko tersebut di dalam mahupun di luar negara.
Memang tiada kes leptospirosis (demam kencing tikus) dikesan dari pembungkus nasi lemak. Tetapi itu semua hanyalah anggapan sahaja kerana tiada kajian khusus dilakukan. Leptospirosis kini menjadi penyakit berjangkit kedua utama selepas demam denggi di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Risiko pembaca
Menjadi lumrah surat khabar itu dibaca semasa sedang berehat sambil menikmati sarapan mahupun makanan tengah hari. Ada juga yang suka membaca di dalam tandas. Berapa ramai mereka ini, kita tidak pasti. Tapi kita semua tahu mereka itu wujud, dan mungkin kita juga adalah sebahagian dari mereka.
Bersih mana pun tandas seperti di Jepun, tidak terkecuali dari pelbagai kuman. Baik di rumah atau di hospital, juga tidak terkecuali. Kajian tempatan juga menunjukkan kuman boleh tersebar ke udara semasa kita mengepam tandas tersebut sebagai titis-titis air yang halus. Dan adalah tidak mustahil, segala jenis kuman turut melekat pada surat khabar yang dibawa masuk ke dalam tandas tadi. Ia tercemar sama ada melalui titis air halus, mahupun melalui sentuhan tangan pembaca.
Dan berapa ramai dari pembaca surat khabar juga terdiri dari mereka yang tidak sihat dan diketahui boleh menjangkiti orang lain melalui udara pernafasan, percikan darah mahupun najis mereka. Memang kedengaran seperti tidak mungkin berlaku, tetapi seyakin mana kita yang kuman-kuman seperti tuberkulosis, kuman penyakit tangan kaki dan mulut, virus hepatitis, kepialu, taun dan sebagainya tidak ada pada surat khabar tersebut.
Risiko pembuat makanan
Di negara ini, nasi lemak dan roti canai diiktiraf sebagai makanan kegemaran. Namun begitu, terdapat risiko tersembunyi yang harus diketahui oleh setiap pengusaha makanan. Risiko dedahan bahan cemar berlaku terutamanya ketika proses pembungkusan makanan tersebut. Keadaan berminyak kedua-dua makanan, nasi lemak dan roti canai, menyebabkan tangan pengendali tersebut berminyak.
Apabila mereka menyentuh kepingan surat khabar tersebut, lapisan minyak pada tangan akan melarutkan dakwat kepada cecair minyak. Ini akan memindahkan butiran karbon, logam berat dan pelarut ke telapak tangan pengendali tersebut. Dan secara tidak langsung, segala perkakasan dan makanan yang dikendalikan akan dicemari.
Dari segi toksikologi, kebanyakan bahan larut resap lemak adalah berbahaya. Sebagai seorang pegawai perubatan, saya masih ingat ketika memberikan kursus pengendali makanan di selatan tanah air 15 tahun lalu. Guna pembungkus makanan yang bersih, jangan guna surat khabar atau majalah untuk mengelakkan pencemaran makanan dengan bahan kimia.
Tambahan juga pada peringkat ini, pengendali makanan sendiri sebenarnya mendedahkan diri kepada risiko kesihatan yang agak serius. Bahan tersebut boleh melintasi lapisan membran otak dan mampu menyebabkan masalah saraf sekiranya pendedahan terus berlaku untuk suatu jangka masa yang berbeza mengikut ketahanan imun badan seseorang.
Risiko pembeli makanan
Bagi peminat nasi lemak, mereka boleh dianggap mengalami dua kali tahap risiko kesihatan. Pertamanya, dari sikap yang suka membelek surat khabar ketika makan di gerai-gerai. Minyak sambal atau kuah di hujung jari, boleh melarutkan bahan kimia dakwat cetakan dan akan melekat pada tangan. Ia akan masuk ke dalam sistem penghadaman bersama nasi lemak tersebut. Keduanya, menjadi kebiasaan kita, kalau nasi lemak itu murah, RM1, mahu dua atau tiga bungkus diambil. Cuba lihat tangan kita lepas habis satu bungkus, ada atau tidak kesan-kesan hitam karbon pada jari kita? Lagi berminyak nasi lemak itu, lagi hitam jari kita. Apatah lagi melalui bungkusan seterusnya.
Rumusan
Pihak berwajib seharusnya mengeluarkan arahan yang tidak bercanggah dengan kursus pengendalian makanan sedia ada. Ini adalah agar pengendalian dan pengguna tidak keliru dalam aspek keselamatan makanan. Banyak pilihan boleh digunapakai dalam pembungkusan makanan. Di Yemen, mereka menggunakan kertas putih tebal untuk membungkus roti. Di Jepun, mereka menggunakan bekas polisterin berlapik plastik mudah hancur yang boleh diguna semula. Di Amerika dan Kanada, pengendali makanan menggunakan kertas berwarna perang kitar semula.
Di Malaysia, sudah ada pilihan yang lebih murah dan sesuai dengan keadaan tinggi minyak dalam makanan kita. Sebenarnya ia telah digunakan oleh ramai pengendali makanan dan di sebahagian negeri. Kertas perang berlapik adalah pilihan yang agak praktikal, 100 keping hanya berharga RM3 hingga RM4, sekeping hanya tiga atau empat sen. Jelas ini tidak membebankan dan tidak menjejaskan pendapatan penjual. Mungkin ketiadaan bekalan menjadi punca sebahagian pengusaha makanan kecil-kecilan menggunakan kertas surat khabar.
Letakkan tahap kawalan kesihatan kita di hadapan. Penggunaan jenis pembungkus yang betul akan mengurangkan beban penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit dan kanser, di samping mengurangkan kos rawatan dan pengesanan.
Semoga penyakit kronik berkait dengan dedahan bahan toksik seperti yang terdapat dalam bahan bercetak atau medium persekitaran lain dapat dikurangkan dan dicegah di negara ini. Apakah kaedah kitar semula sesuai untuk surat khabar atau bahan bercetak lain? Ia seharusnya hanya dikitar semula untuk membuat kertas sahaja.
PENULIS ialah Pakar Perunding Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/bahaya-guna-surat-khabar-1.173538#sthash.YlN9wCQr.dpuf

8.9 juta Melayu mudah lupa?

ZULKIFLI JALIL  |  29 Disember 2015 6:10 PM
PENGUNDI Cina Parlimen Sungai Besar berbaris panjang untuk membuang
PENGUNDI Cina Parlimen Sungai Besar berbaris panjang untuk membuang
PENGUNDI Cina Parlimen Sungai Besar berbaris panjang untuk membuang undi Sekolah Agama Sekinchan Sungai Besar, Selangor pada Mac 2008. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
KE mana menghilang 8.9 juta orang Melayu yang berumur 21 tahun ke atas? Mengapa mereka masih belum mendaftar sebagai pengundi? Malaskah? Liatkah? Perkara remehkah? Atau memang tak mahu sebab pemikiran tidak mencapai tahap sehebat kaum Cina yang tahu tanggungjawab mendaftar. Itu baharu benda mudah mendaftar pengundi. Kalau untuk mencecah tahap hebat sebagai pemain ekonomi macam orang Cina, baru melangkah setapak dua, sudah tersungkur.
Bukan sengaja atau sahaja-sahaja untuk dibangkitkan ingatan ini, tetapi fakta ini turut diluahkan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Rashid Abd. Rahman.
Sepanjang penulis berurusan dengan Abd. Rashid semasa dalam SPR, beliau berperawakan serius. Tidak suka cakap berlapik. Kalau hendak bertanya kepadanya dalam sidang akhbar atau menerusi te­lefon, mesti yang bertanya itu perlu ada pengetahuan. Kalau tidak, sengaja buka ruang untuk ‘dicilinya’.
Marilah kita ambil serius dan renung dalam-dalam apa kata Abd. Rashid yang kini Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Katanya, bilangan pemilih pada 2013 adalah 13.2 juta. Pengundi Melayu berdaftar sebanyak enam juta tetapi bilangan orang Melayu berjumlah 8.9 juta berumur 21 tahun ke atas, lenyap entah ke mana.
“Orang Melayu adalah 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia tetapi mereka hanya mewakili 58 peratus jumlah pengundi. Kalau semua yang layak ini menunaikan hak, jumlah itu sepatutnya 65 peratus tetapi hakikatnya tidak begitu.
“Segelintir pemimpin Melayu berbangga dengan kuasa yang ada sekarang tetapi lupa untuk menambah pengundi. Sedangkan DAP sedang giat mencari pengundi baharu untuk ditempatkan di kawasan tertentu bagi memenangi pilihan raya akan datang,” kata Abd. Rashid.
Ya, memang benar, DAP menang besar pada pilihan raya umum 2013 kerana orang Cina adalah kaum nombor satu yang begitu rajin men­daftar sebagai pengundi. Le­bih-lebih lagi orang Cina di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
Tetapi bagi orang Melayu, cukup sedih sekali. Mereka tidak rajin mendaftar. Malah, amat malang sekali, ada orang Melayu yang bekerja di dalam kerajaan sendiri tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi kerana malas. Mereka ini terlampau yakin Barisan Nasional (BN) masih akan menerajui negara lagi. Inilah sikap orang Melayu yang suka ambil sikap sambil lewa. Akibatnya, berdikit-dikit DAP sapu kerusi-kerusi Melayu daripada sekutu-sekutu Melayu mereka juga.
Cuba ambil contoh nyata di Pulau Pinang. Kaum Cina hanya 45 peratus komposisi penduduk. Secara logiknya mereka tidak boleh memenangi pilihan raya sendiri. Bagaimanapun apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah Cina adalah 53.38 peratus daripada pengundi berdaftar. Sedangkan jumlah penduduk kaum Cina hanya 45 peratus.
Hal ini berlaku kerana orang Cina di negeri-negeri lain membantu dan menukarkan alamat mereka supaya dapat mengundi di Pulau Pinang. Matlamatnya hanya mahu ‘parti mereka’ memerintah negeri itu.
Cuba lihat orang Melayu di Pulau Pinang. Mereka membentuk lebih 46 peratus daripada jumlah penduduk di Pulau Pinang. Namun orang Melayu yang mendaftarkan diri sebagai pengundi hanyalah 35.7 peratus. Jadi, walaupun kesemua 35.7 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi memilih BN, mereka tidak akan menang berdepan dengan DAP kerana orang yang mendaftar mengundi hanyalah 35.7 peratus daripada 46 peratus.

Jika berdasarkan jumlah penduduk Melayu di Pulau Pinang, mereka mempunyai peluang untuk menakluki seluruh Pulau Mutiara asalkan dengan syarat kesemua 46 peratus orang Melayu mestilah mendaftarkan diri sebagai pengundi dan mengundi BN. Tetapi ini tidak akan terjadi kerana orang Melayu yang berminat mengundi hanyalah sebanyak 35.7 peratus, ditambah dari 35.7 peratus terpecah undi pula kepada empat, yakni undi Melayu BN, undi Melayu untuk Pas, PKR dan Parti Amanah pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Di Kuala Lumpur pula, lebih mengejutkan. Berdasarkan statistik pendaftaran pengundi Cina di ibu negara, sejumlah 52.15 peratus orang Cina mendaftarkan diri meskipun penduduk kaum Cina di Kuala Lumpur hanyalah 43.2 peratus. Ini sekali lagi terjadi kerana hampir kesemua kaum Cina di situ sudah mendaftar. Mungkinkah juga mereka sekali lagi mendapat bantuan dari penduduk Cina dari negeri lain untuk mengukuhkan DAP di Kuala Lumpur?
Orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur pula mempunyai majoriti penduduk sebanyak 50 peratus. Peratusan ini lebih besar dari majoriti orang Cina di ibu negara. Tetapi Melayu yang mendaftarkan diri sebagai pengundi di Kuala Lumpur hanyalah sebanyak 37.5 peratus.
Sedih, cukup sedih melihat perangai orang Melayu yang malas menjadi pengundi ini. Sudahlah berpecah-belah, hendak daftar mengundi pun malas. Bukan setakat itu sahaja perangai orang Melayu. Sudah mendaftar, malas pula mengundi.
Di depan mata penulis sendiri, di mana-mana sahaja kawasan dan negeri dalam setiap pilihan raya negeri atau umum yang penulis buat liputan, perangai mahu mengundi di awal pagi boleh dikatakan tidak ada dalam kalangan orang Melayu. Apabila mereka melihat ramai sudah beratur panjang, sebahagian besarnya pengundi Cina, orang Melayu akan melekat di kepalanya, ‘tunggulah nanti tengah hari, ada masa lagi ni’. Tetapi menjelang tengah hari, cuaca tiba-tiba mendung, hujan.
Dengan sebahagian besar orang Melayu yang ambil sikap lewa ini penulis percaya mereka ini tidak mengikuti laporan kaji cuaca atau kini meteorologi. Akibatnya alasan hujan, mereka ‘bermalas-malasan’ di rumah. Natijahnya, kuasa diambil dek orang di atas kertas undi. Diri sendiri hanya menjadi ‘tunggul, melihat kejayaan orang lain sahaja’.
Selama mana parti Melayu mahu bergantung kepada sokongan orang Melayu di luar bandar. Rekod menunjukkan sokongan orang Melayu bandar kepada BN (yang perlu dibaca kepada UMNO sebenarnya) menurun secara besar di kawasan bandar pada 2013. Contohnya Selangor. Pada PRU-13 itu, terdapat 119 daerah Melayu dan hanya 20 dianggap bandar.
BN menyapu bersih 78 daripada 99 kerusi Melayu luar bandar tetapi di bandar, BN hanya mampu me­raih lima daripada 20 kerusi bandar. Sudah-sudahlah Melayu berpecah-belah.
Kalau kamu hanya sibuk hendak memeriahkan atau menyemarakkan majlis, perhimpunan atau demonstrasi tetapi malas hendak mendaftar sebagai pengundi dan kemudian, serius mengundi dari awal pagi lagi, kelak gigit jarilah kamu. Menang sorak kampung tergadailah kamu. Jangan mudah lupa. Jangan jadi pengkhianat kepada tumpah darah kamu sendiri.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/8-9-juta-melayu-mudah-lupa-1.173774#sthash.frg6TiCr.dpuf

Buku teks Sejarah Tahun 6 diedar sebelum 31 Januari ini

31 Disember 2015 7:39 PM
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengedarkan buku teks Sejarah Tahun 6 Sekolah Kebangsaan, yang telah dikemas kini, ke seluruh Malaysia selewat-lewatnya pada 31 Januari depan.
Menurut kenyataan DBP hari ini, buku itu disemak semula berikutan laporan adanya kesilapan pada kedudukan peta Melaka.
Kandungan buku teks Sejarah itu memaparkan kedudukan Melaka di bahagian pantai timur iaitu di atas Kelantan dan ia menjadi viral dalam laman sosial.
DBP juga mengemas kini buku teks Sejarah Tahun 6 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berjalan lancar.
“Buku teks Sejarah Tahun 6 yang baharu (pasaran terbuka) akan berada di pasaran pada 15 Jan dan Bahasa Melayu Tahun 6 SJK (pasaran terbuka) pada 20 Dis 2016,” kata DBP.
Orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pengedaran dan Pemasaran DBP melalui talian 03-41012328 atau Bahagian Komunikasi Korporat DBP melalui talian 03-21479488 untuk mendapatkan keterangan lanjut. - Bernama

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/buku-teks-sejarah-tahun-6-diedar-sebelum-31-januari-ini-1.174879#sthash.SPLYukBU.dpuf

Indra Putra kembali ke Kelantan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin -maiamalina@hmetro.com.my

Kota Bharu: Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Indra Putra Mahayuddin sebagai pemain terbaru menyarung jersi Kelantan.

Beliau mengumumkan perkara itu di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, ketika perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak malam ini.

Pengumuman itu turut dimuat naiknya dalam laman sosial Facebooknya.

"Saya mengumumkan TRW baru sahaja menandatangani kontrak dengan pemain jersi nombor 23, Indra Putra Mahayuddin, malam ini. Selamat kembali Indra," katanya.

Indra yang bermain di posisi penyerang dan tengah pernah bersama Kelantan selama dua musim.

Kepulangannya dijangka memantapkan lagi jentera TRW sekali gus, mengembalikan kegemilangan gergasi Pantai Timur itu dalam saingan Liga Super Malaysia, musim baru.

Semalam, pemain Mohd Daudsu Jamaluddin turut menandatangani kontrak bersama TRW, sekali gus melengkapkan kuota pemain tempatan.

Tumpuan kini adalah mencari pemain import berkualiti bagi mengisi tiga daripada empat kuota yang masih kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 11:07 PM
 
Indra Putra Mahayuddin kembali menyarung jersi Kelantan.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/103669#sthash.eAWy7iz4.dpuf

Nwakaeme bukan pilihan Gergasi Merah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
STATUS pasukan mana menjadi pilihan Nwakaeme (tengah) setakat ini masih misteri setelah Selangor mengesahkan bahawa pemain berasal dari Nigeria itu bukan dalam radar skuad Gergasi Merah.

SELANGOR dijangka mempertaruhkan khidmat penyerang import dari Afrika tetapi bukan bintang sensasi Pahang, Dickson Nwakaeme yang dikaitkan bakal beraksi di Shah Alam dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Sebelum ini, Nwakaeme dilaporkan hampir pasti mengikuti jejak bekas jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan yang dikhabarkan menggantikan Mehmet Durakovic sebagai pengendali baharu skuad Gergasi Merah pada tahun depan.

Begitupun, menurut sumber rapat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), juara 33 kali Piala Malaysia itu semakin menghampiri untuk menandatangani seorang lagi penyerang selepas berjaya mengikat bintang Selangor PKNS, Patrick Ronaldinho setahun dalam misi memperkuatkan skuad itu yang juga akan beraksi dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ujar sumber tersebut, Selangor tidak lagi mengejar khidmat bekas pemain Pahang dan Kelantan tersebut, sebaliknya Zainal telah mengenal pasti seorang pemain dari Afrika untuk dibawa masuk ke dalam skuad kendaliannya pada musim depan.

“Selangor telah berjaya mendapatkan khidmat Ronaldinho dan seorang lagi penyerang dari Afrika (bukan Nwakaeme). Pemain itu sendiri dipilih oleh Zainal yang dianggap memiliki kualiti tersendiri.

“Identiti pemain Afrika itu masih dirahsiakan dan akan diperkenalkan kepada umum pada Januari depan. Status Nwakaeme masih meragukan dan saya fikir Zainal memiliki perancangan tersendiri untuk memperkuatkan pasukan bimbingannya.

“Nwakaeme ke Selangor? Saya tidak tahu tetapi apa sahaja boleh berlaku di dalam bola sepak tetapi difahamkan, FAS akan bergantung kepada keputusan Zainal. Namun buat masa ini, tiada status Nwakaeme dengan Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, sumber itu turut menepis dakwaan kononnya bekas jurulatih, Durakovic telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyelamatkan kariernya selepas membantu skuad Gergasi Merah memenangi Piala Malaysia 2015 dengan menumbangkan Kedah 2-0 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, 12 Disember lalu.

“Laporan itu tidak benar. FAS secara profesional mencapai kata sepakat bersama Mehmet (Durakovic) untuk menamatkan kontrak bersama dan pampasan perjanjian telah pun dibayar kepadanya.

“Harus diingatkan, keputusan FAS ini (melantik Zainal sebagai jurulatih baharu Selangor) telah dibuat sebelum mula kempen Piala Malaysia 2015. Jadi, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan mengamalkan semangat profesional,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3vt3HEAvL Hakcipta terpelihara

Wednesday 30 December 2015

Lelaki temui cangkerang gergasi

 
AFP - SEORANG lelaki tempatan menunjukkan cangkerang Glyptodont yang ditemui di tebing sebuah sungai dekat bandar Carlos Spegazzini, Argentina pada 25 Disember lalu.

BUENOS AIRES, Argentina – Seorang lelaki menemui satu cangkerang haiwan prasejarah selebar satu meter di tebing sebatang sungai di Carlos Spegazzini, 40 kilometer ke selatan Buenos Aires pada 25 Di­sember lalu.

Cangkerang itu dipercayai milik seekor tenggiling gergasi yang dikenali sebagai Glyptodont, kata beberapa pakar kelmarin.

Lelaki itu, Jose Antonio Nievas menyangka cangkerang bersisik hitam itu merupakan sebiji telur dinosaur selepas melihat objek tersebut melekat di dalam lumpur di tebing sungai itu di ladang miliknya.

Nievas memberitahu stesen televisyen tempatan, Todo Noticias bahawa dia me­nemui cangkerang itu separuh tenggelam di dalam selut dan mula menggali di sekeliling objek tersebut.

Beberapa pakar yang melihat gambar objek itu di televisyen memaklumkan ia dipercayai cangkerang Glyptodont.

“Tiada keraguan bahawa ia kelihatan seperti Glyptodont. Haiwan ini pupus beberapa ribu tahun lalu dan fosilnya ba­nyak ditemui di rantau ini,” kata pakar paleontologi di Muzium Sains Semula Jadi Bernadino Rivadavia, Alejandro Kramarz kepada agensi berita AFP.

Glyptodont merupakan nenek moyang kepada tenggiling mo­den. Haiwan itu mempunyai perisai cangkerang bulat yang besar dan mencapai berat sehingga satu tan.

Spesies itu tinggal di Amerika Selatan berjuta-juta tahun lalu. Kramarz menganggarkan spesimen yang ditemui Nievas itu berusia sekitar 10,000 tahun. – AFP

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vsVGhSgb Hakcipta terpelihara

PERUBAHAN WAKTU PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Pada  hari  ini 31.12 dalam  tahun 1932,   buat  kali   pertama   waktu Persekutuan Tanah Melayu   telah  diubah  buat  kali  pertama  dari  jam  11.40  minit  malam  kepada  jam  12.00  malam.  Perubahan  waktu  ini  menjadikan  waktu  Persekutuan  Tanah  Melayu  7  jam  20  minit lebih  awal  dari  Waktu  Greenwich.  Namun  pada  1  September  1941,  sekali  lagi  waktu  Persekutuan  Tanah  Melayu  telah diubah dengan  dipercepatkan  10  minit  bagi  menyelaraskan  waktu  tempatan  dengan waktu  antarabangsa.  Sewaktu  pemerintahan  Jepun,   waktu  Tanah  Melayu  ditukar  lagi  mengikut  waktu  Tokyo  iaitu  2  jam  lebih  awal.  Waktu  tersebut  digunakan  hingga  tamatnya  pemerintahan  tentera  Jepun  pada  tahun  1945.  Waktu  Persekutuan  Tanah  Melayu  digunakan  semula  sehingga 31  Disember  1981  apabila  kerajaan  Malaysia  dengan  rasminya  telah mempercepatkan  waktu  Malaysia  sebanyak  30  minit.  Langkah  itu  diambil  untuk  menyeragamkan  waktu  di  antara  Sabah,  Sarawak  dan  Semenanjung.  Berikutan  perubahan  itu,  waktu siang Malaysia adalah lebih lama dari waktu malam dan meletakkan  waktu  Malaysia  kepada  8  jam  awal  dari  waktu  Greenwich.  Sesungguhnya  peristiwa  perubahan waktu  ini  memberi  erti  yang  besar  dan  bersejarah  kepada  rakyat  Malaysia.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

BANTUAN KERAJAAN PERSEKUTUAN UNTUK TUJUH SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Pada hari ini 31.12.1960, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan bantuan kepada tujuh buah Sekolah Agama Rakyat Cawangan Al-Ulum Batu 20, Telok Anson. Ketika menyampaikan berita tersebut, Ustaz Salleh Othman selaku Pegawai Perhubungan sekolah-sekolah Agama Rakyat Persekutuan menjelaskan bahawa bantuan tersebut diberikan bagi tujuan memajukan lagi sekolah-sekolah agama di Persekutuan. Beliau juga memberitahu bahawa 70% daripada bantuan itu adalah untuk membayar gaji guru-guru sementara 30% lagi adalah untuk kemajuan sekolah. Untuk memperolehi bantuan tersebut sekolah-sekolah berkenaan hendaklah mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan. Di antara syarat-syarat yang mesti dipatuhi ialah:
membuat peraturan sekolah seperti yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan.
belajar 196 hari setahun
murid-murid dicampurkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru sekiranya murid di asingkan mengikut jantina.
guru dan ibubapa sanggup bekerjasama untuk kemajuan pelajaran dan sekolah.
Bantuan yang diberikan ini sesungguhnya menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan turut melaksanakan usaha ke arah memajukan lagi sekolah-sekolah Agama Rakyat.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Afiq cuba nasib bersama Negeri Sembilan

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 9:04 AM

Oleh Mohd Amin Jalil bhsukan@bh.com.my BEKAS penyerang Selangor, Mohd Afiq Azmi. - Foto ihsan Persatuan Bolasepak Selangor SEREMBAN: Bekas penyerang Selangor, Mohd Afiq Azmi, bakal mempertajamkan jentera serangan Negeri Sembilan bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, yang dijadual bermula Februari depan. Pemain berasal dari Perlis berusia 26 tahun itu sah milik skuad Hobin Jang Hobin selepas dua musim bersama skuad Gergasi Merah Kuning. Sumber pasukan berkata, Afiq disahkan bersama Negeri Sembilan dan dijangka bakal bergandingan dengan penyerang dari Australia, Joel Chianese, yang sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Sabah.

"Kehadiran Afiq dijangka mampu memantapkan lagi jentera serangan pasukan ini kerana pemain terbabit dilihat begitu berpengalaman bukan saja dalam liga tempatan malah pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya. "Kita yakin Afiq dapat memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan yang kini dibimbing jurulatih baharu, Gary Michael Phillips, berasal dari Australia dan pernah membimbing skuad Sabah sebelum ini.

"Pengalaman pemain terbabit ketika membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia tahun ini sudah tentu ditagih bagi memastikan Negeri Sembilan melakar kejayaan lebih baik musim depan," katanya semalam. Musim 2015, Negeri Sembilan yang beraksi dalam Liga Perdana mempertaruhkan Francis Forkey Doe bagi menerajui jentera serangan, namun skuad itu yang dibimbing K Devan gagal melakar sebarang kejayaan apabila sekadar berada di tempat keenam carta liga. Dalam pada itu, sumber itu berkata, turut mengikuti jejak Afiq ialah dua rakan sepasukan Shazlan Alias dan Muhd Syamim Othman, yang bersama Negeri Sembilan musim depan.

Menurutnya, Shazlan dan Syamim adalah tonggak pertahanan berpengalaman dan yakin kehadiran mereka mampu menguatkan lagi bahagian benteng pasukan berkenaan yang dibarisi ramai pemain baharu. Katanya, selain itu, bekas pemain FELDA United FC, Mohd Nasriq Baharom turut menjadi antara sandaran baharu dalam skuad Negeri Sembilan. "Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain muda hampir melengkapkan senarai pemain bagi menghadapi saingan musim depan," katanya. Berpandukan senarai terkini pasukan itu, empat pemain yang melengkapkan kuota import skuad Negeri Sembilan ialah tiga pemain dari Australia iaitu Taylor Regan (pertahanan), Andrew Nabbout (tengah) dan Joel (penyerang) manakala seorang lagi ialah Alex Smith dari England beraksi di posisi tengah.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/109782

Liverpool tumpaskan Sunderland 1-0


KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 7:35 AM

 
PENYERANG Liverpool, Christian Benteke (kiri) menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Sunderland dan Liverpool di Stadium of Light di Sunderland, Britain. - Foto AFP LONDON: Christian Benteke sekali lagi muncul wira untuk menghukum pasukan yang sedang bergelut, Sunderland 1-0, awal pagi tadi, sekali gus membawa Liverpool berkongsi mata dengan Manchester United yang menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang Belgium itu memecah kebuntuan 22 saat selepas rehat dan menyumbat gol keenam dalam kempen musim ini, jaringan paling pantas di separuh masa kedua dalam saingan EPL musim ini. Liverpool, yang menewaskan Leicester City 1-0, Sabtu lalu dengan satu lagi gol pada babak kedua dari Benteke kini mengumpul 30 mata daripada 19 perlawanan, tetapi pasukan Juergen Klopp berada di belakang Manchester United dengan perbezaan gol.

Sunderland menduduki tangga kedua paling bawah liga dengan 12 mata selepas lima kekalahan berturut-turut dan ketinggalan tujuh mata dari zon selamat. "Tiga mata, hasil kerja keras," kata Klopp. "Ia bukan aksi yang terbaik yang kami lakukan, kami mengetahuinya, tetapi kami terpaksa berjuang. "Semua orang mahu mengakhiri tahun ini secara positif, kami melakukannya dan Sunderland gagal tetapi kami membawa pulang tiga mata ini ke rumah, tidur dan bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya kepada BBC. Sementara itu, Pengurus Sunderland, Sam Allardyce mengutuk nasib buruk Sunderland. "Seperti bernasib baik, jaringan bertuah buat Liverpool," katanya kepada Sky Sports. - Reuters


SUMBE: http://www.bharian.com.my/node/109766

TRW ikat Indra Putra Mahayuddin

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 12:45 AM

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi Facebooknya sebentar tadi mengumumkan The Red Warriors (TRW) menandatangani Indra Putra Mahayuddin. "Saya mengumumkan bahawa TRW baru saja menandatangani kontrak dengan pemain jersi nombor 23 Indra Putra Mahayuddin malam ini.
 
 "Selamat kembali Indra," kata kenyataan itu. SINGAPURA 29 November 2014. Pemain Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin (no 13) meraikan kemenangan selepas menumpaskan Singapura 3-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, Singapura. NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/109746


Roti Perancis terpanjang di dunia

Milan: Sekumpulan pembuat roti Itali dan Perancis berganding tenaga mencipta roti ‘baguette’ sepanjang 122 meter yang diiktiraf sebagai yang terpanjang di dunia pada Pesta Dunia Expo Milan 2015, semalam.

Hakim Rekod Dunia Guinness mengesahkan roti Perancis itu - yang terkenal dengan bahagian luar keras manakala bahagian dalamnya lembut dan gebu - sebagai yang terpanjang di dunia selepas 60 pembuat roti menghabiskan hampir tujuh jam kelmarin untuk menyiapkannya.

Mereka turut menggunakan ketuhar mudah alih yang direka khas untuk membolehkan roti berkenaan dimasak di luar.

Pembuat roti terbabit menghabiskan 20 meter sejam dan mereka berdepan kesukaran cuaca sejuk selain terpaksa berhati-hati untuk memastikan baguette berkenaan tidak putus.

Pembuat roti, Dominique Anract berkata: “Memang mencabar membuat roti dalam cuaca sejuk seperti ini kerana boleh memberi kesan terhadap doh.

“Tetapi, kami berjaya melakukannya.”

Selain itu, pembuat lepa coklat Nutella, Ferrero, turut menyokong usaha untuk memecahkan rekod baguette sepanjang 111 meter dipegang sebuah rangkaian pasar raya Perancis sebelum ini.

Sebaik disahkan sebagai pemegang rekod baru, roti itu terus dipotong dan disapukan Nutella untuk dikongsikan dengan pengunjung Expo berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 7:01 AM
 
PEMBUAT roti Itali dan Perancis berjaya membuat baguette terpanjang dunia.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/86411#sthash.kLhpM8wo.dpuf

Pengemis raih RM12,000 sehari

Taif (Arab Saudi): Polis yang menahan seorang pengemis Arab di depan sebuah hospital kerajaan di sini terkejut apabila mendapati dia meraih pendapatan lebih SR11,000 (RM12,500) sehari.

Polis menahan lelaki berkenaan yang duduk di pintu masuk hospital itu ketika kempen menangkap pengemis, perbuatan yang diharamkan di Arab Saudi dan negara pengeluar minyak Teluk lain.

“Polis menemui wang tunai SR11,000 pada pengemis berkenaan. Dia mengaku wang itu diperoleh dengan mengemis pada hari itu. Polis juga menemui mata wang asing daripadanya,” lapor portal berita ‘Sada.’

Kebanyakan pengemis yang ditangkap di Arab Saudi dan negara Teluk lain adalah asing.

Mereka biasanya akan diusir dari negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 6:49 AM
 
LELAKI berkenaan dengan wang hasil mengemisnya dalam masa sehari.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/90794#sthash.nqQVmT33.dpuf