Ad

Thursday 17 December 2015

Jose Mourinho dipecat

18 Disember 2015 12:26 AM
Jose Mourinho
Jose Mourinho
LONDON – Chelsea telah memecat pengurusnya Jose Mourinho, tujuh bulan selepas dia membimbing mereka memenangi gelaran juara Liga Perdana Inggeris, menurut akhbar Britain malam tadi.
Pengurus berusia 52 tahun dan Portugal itu membimbing Chelsea untuk kali kedua, bermula pada Jun 2013.
Chelsea menamatkan musim lalu dengan kelebihan lapan mata dan turut memenangi Piala Liga, tetapi mereka mengalami permulaan yang buruk dalam usaha mempertahankan gelaran apabila kalah sembilan daripada 16 perlawanan liga setakat ini.
Perlawanan akhir Mourinho ialah Isnin lalu yang mana Chelsea kalah 2-1 kepada pendahulu Leicester City.
Pep Guardiola, Guus Hiddink, Brendan Rodgers dan Juande Ramos adalah individu yang diuar-uarkan akan menggantikannya.
Chelsea ketika ini berada hanya satu mata di atas zon penyingkiran liga dan berada 20 mata di belakang Leicester.
Kelayakan ke Liga Juara-juara musim depan menerusi salah satu daripada empat tempat teratas Liga Perdana kelihatan mustahil untuk mereka capai.
Bagaimanapun, The Blues telah pun mara ke pusingan 16 pasukan terakhir pertandingan kelab paling utama di Eropah itu untuk musim ini, yang mana mereka akan menentang juara Perancis, Paris St-Germain pada Februari dan Mac.
Mourinho telah menandatangani kontrak baharu pada 7 Ogos lalu dan merupakan pengurus Chelsea paling berjaya.
Dia memenangi tiga gelaran juara Liga Perdana, dua daripada­nya ketika kali pertama membim­bing kelab London itu antara 2004 dan 2007.
Dia turut memenangi Piala FA pada 2007 dan Piala Liga tiga kali pada 2005, 2007 dan 2015. – AGENSI

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jose-mourinho-dipecat-1.170009#sthash.SyqdZVYI.dpuf

No comments:

Post a Comment