Monday December 14, 2015
11:18 AM GMT+8
KUALA LUMPUR, 14 Dis — Siapa
kata Hang Tuah tidak wujud? Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia
(IKSEP) tidak setuju dengan pandangan bahawa pahlawan Melayu tersohor itu hanya
mitos dalam teks hikayat.
Pengerusinya Datuk Dr Mohd
Jamil Mukmin yakin Hang Tuah memang wujud berdasarkan teks-teks klasik, seperti
Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, dan juga dokumen-dokumen luar negara.
‘Bukan semata-mata Hang Tuah
wujud pada zaman kesultanan Melayu Melaka, malah kisah kepahlawanannya turut
diceritakan dalam banyak dokumen penting di luar negara,” katanya kepada Berita
Harian hari ini.
Beliau mengulas pandangan
karyawan tamu Jabatan Sejarah di Universiti Malaya (UM) minggu lalu yang
menyatakan Hang Tuah cuma “watak fiksyen” dalam teks-teks klasik tersebut.
Profesor emeritus Dr Rahmat
Adam berhujah bahawa perkataan Hang Tuah tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16,
zaman yang dikatakan kemunculan tokoh kontroversi itu, sebaliknya dikesan buat
pertama kali dalam Hikayat Acheh pada hujung kurun ke-17.
Berdasarkan kajian filologinya,
Rahmat berkata perkataan “Tuah” sebenarnya “tuha” yang bermaksud tua atau
ketua. Ia disebut “tuah” susulan kegagalan penyelidik membaca tulisan jawi lama
dengan betul, katanya lagi.
“Hang adalah perkataan Melayu
purba bermaksud tukang yang mahir. Laksamana Hang Tuah itu gelaran dan bukan
merujuk kepada seseorang yang kita kenal hari ini sebagai Hang Tuah,” Rahmat
dipetik berkata Jumaat lalu.
Mengulas isu “Tuah” atau
“tuha”, Mohd Jamil berkata Hang mewakili nama gelaran pembesar Melaka zaman
itu, sementara Tuah pula singkatan “bertuah”.
“Orang dulu-dulu menamakan
seseorang berpandukan keadaan sekeliling dan kesesuaian pada individu. Sebab
itulah nama Tuah diberikan, mewakili orang bertuah dan berani,” beliau dipetik
berkata.
Perdebatan sama ada Hang Tuah
benar-benar wujud atau mitos muncul kembali sejak dua ahli akademik Jabatan
Bahasa Melayu UPM Dr Rohaidah Kamaruddin dan Dr Hashim Musa awal bulan ini
mendedahkan “maklumat terbaru” tentang tokoh tersebut.
Dr Rohaidah dilaporkan berkata
pahlawan Melaka yang terkenal itu pernah bertemu Leonardo da Vinci, artis dan
ahli sains terkenal Itali zaman itu.
Dr Hashim pula berkata Hang
Tuah pernah menulis surat rasmi kepada Maharaja Ryukyu di Jepun pada abad
ke-15.
- Sumber:
http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/polemik-hang-tuah-banyak-dokumen-asing-sebut-tokoh-ini-kata-iksep#sthash.V9IOqw4g.dpuf
No comments:
Post a Comment