Masjid Ihsaniah Iskandariah
guna anyaman buluh sebagai dinding
OLEH ROSMAHWATI AHMAD
ZAKARIA | 18 Disember 2015 4:00 PM
MASJId Ihsaniah Iskandariah di
Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak menggunakan buluh sebagai bahan utama
untuk dinding yang menjadikannya unik.
MASJID merupakan seni bina
Islam yang sering mendapat perhatian di seluruh dunia kerana ia merupakan satu
tanda fizikal penting bagi umat Islam terutamanya sebagai tempat beribadat dan
penyatuan masyarakat Islam.
Lazimnya masjid dibina
menggunakan bahan bata, batu dan kayu. Namun begitu, di negara ini terdapat
sebuah masjid yang menggunakan bahan yang amat istimewa iaitu buluh sebagai
bahan binaan utama. Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang boleh didapati dengan
mudah di negara ini. Tumbuhan itu merupakan bahan binaan yang tidak asing lagi
dalam seni bina rumah Melayu pada zaman dahulu, namun penggunaannya sebagai
bahan binaan yang dijadikan dinding masjid telah mendapat perhatian ramai.
Masjid lama ini dikenali dengan
nama masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kuala Dal, Padang Rengas,
Perak. Menurut rekod, masjid ini dibina pada tahun 1936 dan dirasmikan oleh
Sultan Perak ke-30 pada tahun 1938. Pada hari ini masjid Ihsaniah telah berusia
77 tahun masih lagi mengekalkan seni binanya yang unik selepas menjalani kerja
pemuliharaan oleh Jabatan Warisan pada akhir tahun 2008.
Struktur utama masjid dan
beberapa bahagian kecil masjid ini seperti daun tingkap, daun pintu, kepala
tingkap dan pintu diperbuat menggunakan kayu. Ini merupakan sebuah bangunan
masjid dua tingkat yang berbentuk segi empat tepat. Dewan sembahyang terletak
di bahagian atas manakala bahagian bawah pula digunakan sebagai tempat serba
guna pada hari ini.
Terdapat tiga buah pintu masuk
dan pintu masuk ke dewan sembahyang terletak di bahagian tengah yang dibezakan
sebagai pintu utama dengan kehadiran tangga batu di hadapannya. Sejurus selepas
melangkah masuk ke dalam pintu ini pengunjung akan melihat tangga ke bahagian
dewan sembahyang di sebelah atas.
Terdapat empat set tingkap di
sebelah kanan dan kiri di setiap tingkat. Tingkap di bahagian atas turut
dihiasi dengan ukiran kekisi sebagai elemen ciri-ciri keselamatan. Rekaan
bangunan masjid ini menyediakan ruang dengan peredaran udara dan pencahayaan
yang amat baik.
Bahagian menara masjid
disatukan dalam binaan masjid di bahagian depan bersebelahan dengan bahagian
mihrab iaitu tempat yang menandakan arah kiblat. Tidak seperti seni bina Melayu
yang rata-rata menggunakan bumbung tinggi, masjid ini menggunakan rekaan
bumbung rata yang dihiasi dengan ukiran papan cantik di sekelilingnya. Ciri ini
juga merupakan satu keunikan dalam seni bina masjid Ihsaniah Iskandariah.
Sebelum kerja pemuliharaan,
bangunan masjid yang menggunakan anyaman buluh sebagai dindingnya ini hanya
menggunakan warna asal buluh yang dinamakan buluh minyak. Namun selepas
kerja-kerja itu dijalankan ia telah diperindahkan dengan penggunaan cat
berwarna kuning, putih dan hitam yang membentuk motif bunga potong berlian di
mana dalam seni Islam ia turut dikenali sebagai corak geometri.
Seni anyaman buluh ini dikenali
sebagai tepas dalam budaya masyarakat Melayu Perak. Ia dikatakan dianyam oleh
masyarakat tempatan di Kampung Kuala Dal sewaktu pembinaan bangunan asal,
tetapi pada tahun 2008 sewaktu kerja pemuliharaan dijalankan, tiada masyarakat
tempatan yang mahir menganyam kelarai.
Kelarai yang digunakan pada
hari ini dihasilkan di Perlis. Selain daripada itu, ukiran yang digunakan
sebagai hiasan di dalam masjid ini semuanya merupakan motif foliate atau
tumbuhan tempatan seperti motif pokok kacang, bunga tikan seladang, bulan dan
bintang pecah lima. Motif ini diukir menggunakan teknik ukiran tebuk tembus
pola lengkap. Plak perasmian masjid yang asal mempunyai ukiran tulisan Jawi
yang merekodkan nama sultan dan tarikh perasmian masjid.
Hasil ukiran asal
memperlihatkan kualiti dan kehalusan kemahiran para tukang pada waktu itu.
Dihasilkan 100 peratus menggunakan bahan dan kemahiran tempatan, masjid ini
merupakan satu bukti kehalusan dan kualiti warisan kesenian Islam tempatan di
Perak khususnya dan di Malaysia amnya. Lawati dan hargai warisan kesenian Islam
tempatan.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/masjid-daripada-anyaman-buluh-1.170288#sthash.zW1IhGjq.dpuf
No comments:
Post a Comment