Oleh NOR AZIRAN YUNUS
SYAHRUL (kanan) hanya mahu
fokus dengan latihan bagi menghadapi aksi Liga Super musim depan.
BEKAS penyerang Harimau Muda A,
Syahrul Azwari Ibrahim menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS)
untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya selepas menjadi rebutan antara
pasukan Bujang Senang dan Kelantan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim
depan.
Baru-baru ini, Syahrul, 23,
menandatangani kontrak selama dua tahun bersama FAS untuk mewakili pasukan
Bujang Senang musim depan, namun hasratnya itu menjadi perbincangan hangat
selepas dibantah oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Difahamkan, selepas kontraknya
bersama Harimau Muda A tamat, Syahrul ada memaklumkan kepada KAFA berhubung
hasratnya untuk mewakili Sarawak dan FAS mengakui mereka mengikat pemain sayap
itu mengikut saluran yang betul.
Katanya, setakat ini belum ada
perkembangan mengenai kekalutan tersebut dan tidak dihubungi mana-mana pihak.
“Buat masa ini, saya masih lagi
pemain Sarawak dan menjalani latihan dengan mereka. Ini kerana saya sudah
menandatangani kontrak dengan mereka.
“Biarlah FAS yang menyelesaikan
perkara tersebut dengan KAFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya ketika
dihubungi di Kuching semalam.
Baru-baru ini Kosmo!
melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM), Datuk Takiyuddin Hassan mengarahkan FAS untuk menamatkan kontrak Syahrul
berpandukan Artikel 22 status perpindahan pemain bola sepak Malaysia kerana ia
mewajibkan bekas pemain Harimau Muda A pulang ke negeri asal selepas ia
dibubarkan.
Selain itu, beliau turut
mengingatkan hukuman berat iaitu penggantungan bakal menanti FAS dan pemain
tersebut jika perkara tersebut tidak dituruti.
Bagaimanapun selepas itu, FAS
membidas Takiyuddin dengan menganggap kenyataan beliau sebagai berat sebelah
dan prejudis terhadap FAS.
Semasa sesi pengenalan pemain
baharu minggu lalu, Syahrul berkata, ‘keserasian’ antara dirinya dengan ketua
jurulatih Sarawak, Datuk K. Rajagobal menjadi faktor utama kenapa dia memilih
untuk menyarung jersi Sarawak musim depan.
Selain itu, katanya, sokongan
padu yang diberikan oleh para penyokong Sarawak juga menjadi tarikan kepada
pemain kelahiran Tanah Merah, Kelantan tersebut untuk berkelana di Bumi
Kenyalang.
“Saya berterima kasih kepada
FAS kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili pasukan ini musim
depan. Saya hadir ke sini kerana coach (Rajagobal) mengetahui apa yang boleh
saya sumbangkan dan saya juga mengetahui apa yang beliau mahukan.
“Selain itu, semangat para
penyokong Sarawak juga sama dengan penyokong Kelantan. Persamaan itu juga
menarik minat saya ke sini,” katanya.
sArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3viVHadS5
sumber-Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment