18 Disember 2015 12:25 AM
MOHD. Failee Ghazali (kiri)
bersama adiknya, Mohd. Faizat akan memperkuatkan cabaran Pulau Pinang dalam
persaingan Liga Super musim depan.
PULAU PINANG – Skuad Harimau
Kumbang yang membuat penampilan semula dalam Liga Super musim depan menegaskan
tidak gentar berdepan pasukan-pasukan ternama malah memasang cita-cita tinggi
meraih sekurang-kurangnya satu trofi.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, pasukan itu
telah membuat persiapan rapi termasuk memikat beberapa pemain baharu untuk
melengkapkan pasukan.
Katanya, untuk musim 2016, FAP
telah memperuntukkan RM19 juta untuk perbelanjaan pasukan manakala sebanyak RM3
juta lagi akan digunakan skuad Piala Presiden dan program pembangunan bola
sepak akar umbi.
Selepas lima tahun bersaing
dalam Liga Perdana dan Liga FAM, tambah beliau, Pulau Pinang kini sudah
bersedia membuka lembaran baharu dan mencipta lebih banyak kejayaan.
“Saya secara peribadi berharap
kami mampu berada dalam kelompok enam teratas dalam Liga Super selain cuba
menang satu piala,” katanya dalam majlis memperkenalkan pemain skuad negeri itu
untuk musim depan di sini semalam.
Antara pemain yang berjaya
dipancing termasuk bekas tonggak Kelantan, Mohd. Fitri Omar selain kepulangan
semula penjaga gol Mohd. Firdaus Muhamad yang dipinjamkan kepada Kedah sebelum
ini.
Selain itu, empat pemain
Harimau Muda C yang merupakan anak jati negeri ini iaitu Wan Rohaimi Wan
Rahasdi, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly, Muhammad
Jafri Muhammad Firdaus Chew Abdullah turut menyertai pasukan itu bersama dua
pemain Harimau Muda A, Muhamad Faizat Ghazli dan S. Kumaahran.
Harimau Kumbang juga akan
diperkuatkan oleh bekas penyerang Central Coast Mariners FC (Australia),
Griffiths Brent Reece, Matias Cordoba (Argentina) dan Jose Tadeu (Brazil)
selain mengekalkan pemain pertahanan dari Brazil, Reinaldo Rodrigues Lobo.
Nazir Ariff berkata, sehubungan
itu, tiada alasan untuk skuad Haria Penang Haria gagal musim depan kerana pihak
pengurusan telah memenuhi permintaan ketua jurulatih, Jackson Tiago yang
mencadangkan beberapa pemain baharu.
“Dalam masa sama, kami akan
mengadakan beberapa perlawanan pra musim dan saya mahu semuanya berjalan
lancar.
“Pada musim depan juga, JDT
akan kekal sebagai pasukan pilihan diikuti Selangor yang semakin kuat selain
kami turut berhati-hati dengan pasukan jiran iaitu Kedah,” katanya.
No comments:
Post a Comment