ROSALINDA
MD. SAID | 29 Disember 2015 1:19 AM
MOHD.
FIRDAUS (tengah) bersama ibu bapanya, Samsudin @ Mustapha
MOHD.
FIRDAUS (tengah) bersama ibu bapanya, Samsudin @ Mustapha Mamat dan Rohani Long
Ahmad dalam majlis Penganugerahan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu di
Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin. Utusan/AZLAN BAHRUM
KUALA
TERENGGANU 28 Dis. - Mohd. Firdaus Samsudin @ Mustapha, 27, anak Terengganu
pertama yang ditawarkan tempat di salah sebuah universiti paling berprestij di
dunia, Universiti Oxford, kini bergelar Doktor selepas menamatkan pengajian di
peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Biokimia.
Beliau yang
berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu bakal memulakan tugas sebagai Felo
Penyelidik Kimia di University of Southampton, United Kingdom pada 1 Februari
tahun hadapan.
Penerima
Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat kebangsaan
pada 2005 itu dijangka menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan ubat-ubatan
baharu bagi menangani jangkitan bakteria Psuedomonas yang biasanya berlaku
dalam kalangan mereka yang berada di hospital dan mempunyai sistem imunisasi
lemah.
“Saya
ditawarkan pekerjaan di sana (University of Southampton) dan dalam masa sama
akan menyertai kumpulan penyelidik lain untuk menghasilkan antibiotik khusus
yang pertama seumpamanya di dunia bagi menghalang jangkitan kuman di hospital.
“Dengan pengalaman
yang diperoleh kelak, insya-Allah akan diaplikasikan untuk berkhidmat di
Terengganu pada masa hadapan. Kejayaan saya adalah untuk semua dan saya akan
terus menjaga nama baik keluarga, rakyat Terengganu dan Malaysia,” katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Sarjana
Terengganu Yayasan Terengganu (YT) Ke-17 yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk
Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini semalam.
Dalam majlis
itu, Mohd. Firdaus turut meraih Anugerah Khas YT selepas berjaya menamatkan
pengajian dengan cemerlang dari peringkat sarjana selama dua tahun di
Universiti Oxford dan seterusnya sehingga ke peringkat PhD di universiti sama.
Bekas
pelajar tajaan YT itu menerima ganjaran berjumlah RM5,000, seunit komputer riba
dan sijil penghargaan dalam majlis yang turut disaksikan oleh bapanya, Samsudin
@ Mustapha Mamat, 65, dan ibunya, Rohani Long Ahmad, 58.
Mohd.
Firdaus, anak kedua daripada empat beradik kepada pesara kerajaan dan guru
tadika itu bercita-cita menjadi seorang saintis dan berazam untuk memenangi
Anugerah Nobel pada masa depan.
Beliau turut
berterima kasih dan menghargai segala sumbangan kerajaan negeri termasuk tajaan
YT sepanjang pengajiannya di United Kingdom yang melancarkan lagi proses
pengajiannya.
“Semua orang
boleh berjaya menggapai cita-cita dan apa yang paling penting selaku pelajar
tentunya fokus adalah terhadap pelajaran," katanya.
Terdahulu,
kejayaan Mohd. Firdaus membuat kajian mengenai penyerapan ubat yang lebih cepat
ke dalam sel badan menyebabkan Universiti Oxford menawarkannya tempat untuk
mengikuti pengajian peringkat PhD.
Selepas
memperoleh ijazah kelas pertama di Imperial College of London dan baru setahun
mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Oxford, beliau terus
ditawarkan pengajian doktor falsafah.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/anak-terengganu-pertama-masuk-oxford-1.174010#sthash.sNl0N6z9.dpuf
No comments:
Post a Comment